Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 30 September 2012

Akibat Memohon Kejayaan Dunia

Gambar hiasan.


Lebai Suhud didatangi oleh seorang ibu. Ibu itu minta Lebai Suhud mendoakan anak lelakinya supaya lulus peperiksaan Senior Cambridge dan dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tetapi ibu itu hampir kecewa apabila Lebai Suhud membentak keras di hadapannya. Tidak patut Lebai Suhud marah ikut perasaan. 
“Awak nak anak awak masuk neraka ke?” 
Tersinggung ibu itu dengan sikap guru agama yang selama ini dihormatinya. Mana mungkin Lebai Suhud dapat menentukan sama ada anaknya masuk syurga atau neraka. Bukankah hanya Allah sahaja yang maha mengetahui? 
Hanya orang sempit fikiran sahaja yang menganggap belajar di sekolah Inggeris boleh masuk neraka. Sebab itu dia tidak percaya orang warak macam Lebai Suhud boleh berfikiran sedemikian. Tapi kali ini orang tua itu sendiri yang mengejeknya. Lebai Suhud macam tidak bersetuju anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negeri. 
Sedangkan sudah beberapa kali Lebai Suhud memberitahu orang kampong supaya menghantar anak-anak mereka belajar sampai ke luar negeri. 
“Takkanlah belajar ke luar negeri boleh masuk neraka tuan haji,” desak ibu itu agar Lebai Suhud doakan juga. 
Lama Lebai Suhud terdiam. Kemudian dengan suara lemah dia berkata, “kalau macam tu kemahuan awak, sama-samalah kita berdoa.” 
“Macam mana nak buat tuan haji?” 
“Suruhlah anak awak tu ke mari,” ujar Lebai Suhud pendek semacam menanggung kebimbangan. 
“Biar dia sama-sama bangun sembahyang tahajud tengah malam di surau ni,” tambah Lebai Suhud dalam keadaan serba salah. 
Selepas lulus peperiksaan Senior Cambridge, dapatlah juga anak perempuan itu melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tetapi Lebai Suhud percaya kejayaan budak itu adalah kerana usaha budak itu sendiri. Agak lama juga budak berkenaan belajar di luar negeri sehingga lulus mendapat ijazah. 
Namun apabila pulang ke tanah air, ibu berkenaan terkejut pula apabila melihat anaknya berkepit dengan perempuan mat salleh semasa tiba di lapangan terbang. Walau pun anaknya memperkenalkan perempuan itu sebagai isterinya, namun ibu berkenaan tetap rasa tidak berkenan. 
Anaknya kemudian memegang jawatan tinggi di kota. Bukan main bangga ibu itu bercerita kepada orang kampong.
Gambar hiasan
Namun ibu itu rasa kurang senang apabila datang berkunjung ke rumah anaknya di kota. Dia amat tidak berkenan dengan perbuatan menantunya yang gemar berpakaian menjolok mata. Dia juga merasa sedih melihat botol-botol arak tersusun di atas rak di ruang tamu. Selama ibu itu di rumah anaknya, dia juga tidak pernah melihat anaknya mendirikan solat. 
Setelah melihat perubahan anaknya, ibu itu datang lagi menemui Lebai Suhud. Teresak-esak ibu itu menceritakan tentang anaknya yang kini banyak menghabiskan masa dengan melakukan maksiat. Segala teguran ibu itu tidak diendahkan oleh anaknya. 
“Tolonglah tuan haji, doakan supaya anak saya ingatkan Allah,” rayu ibu itu dengan rasa hiba. 
“Kejayaan dunia kalau dikejar begitulah jadinya,” ujar Lebai Suhud lemah.


Dipetik dari siri cerita Tok Awang Ngah.

Sabtu, 29 September 2012

Penyebab Kolestrol

Gambar hiasan.


Satu kajian terhadap penggunaan klorin dalam air paip telah dilakukan oleh Joseph M. Price (M.D.) di Amerika Syarikat. Kajian beliau diterbitkan pada tahun 1981 dengan judul Coronaries/Cholestrol Chlorine oleh Jove Books, New York. 
Menurut beliau, klorin merupakan bahan yang sangat aktif bertindak lalas dengan lemak dan kolestrol yang menyebabkan terjadi plak berwarna kuning yang mengendap (deposited) pada permukaan arteri atau saluran darah. Endapan plak berkenaan boleh menyebabkan arteri menjadi keras. Lama-kelamaan arteri akan menjadi sempit dan pecah. Jika hal ini berlaku, seseorang itu akan terkena strok. 
Pendapat beliau itu berdasarkan hasil ujikaji menggunakan 100 ekor ayam jantan berumur 100 hari. Ayam berkenaan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan mengandungi 50 ekor ayam. Kumpulan pertama diberikan air yang mengandungi klorin berserta makanan. Manakala kumpulan kedua diberikan air tanpa klorin bersama makanan. 
Hasil ujikaji mendapati, selepas tujuh bulan, terdapat plak berwarna kuning pada arteri di bahagian abdomen ayam dalam kumpulan pertama. Tetapi tidak seekor ayam pun dalam kumpulan kedua menghidapi penyakit arteri! 
Beliau juga mendapati orang Eskimo yang tinggal di Kutub Utara tidak menghadapi masalah penyakit jantung walaupun mereka memakan makanan yang tinggi kolestrol berbanding orang lain kerana mereka minum air salji yang bebas klorin. 
Selain itu beliau juga berhujah bahawa 75 tahun sebelum klorin dimasukkan ke dalam air paip, tidak terdapat rekod penyakit jantung di Amerika Syarikat dan Kanada. Tetapi penyakit berkenaan mula dikesan tiga dekad selepas klorin dimasukkan ke dalam air pada tahun 1890! Penyakit jantung mengambil masa selama 10 hingga 20 tahun untuk menyerang seseorang.

Jumaat, 28 September 2012

Jalan Ke Syurga


A Yemeni student got sexually harassed by the Americans five female students in Arizona


Gambar hiasan.


Kisah benar ini dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu. Kisahnya mengenai lima orang pelajar perempuan di negeri Arizona, Amerika Syarikat memasuki apartmen seorang pelajar lelaki dari Yaman, bernama Essam Sharabi. Selepas masuk, para pelajar perempuan itu menutup pintu apartmen supaya Essam tidak dapat melarikan diri. Kemudian  mereka menanggalkan pakaian masing-masing.
Bagaimanapun Essam bertindak melompat keluar dari tingkap bilik tidur dan segera membuat laporan di balai polis kawasan berkenaan. Polis kemudiannya menahan para pelajar perempuan berkenaan.
Selepas siasatan dijalankan, seorang pelajar perempuan memberi kenyataan bahawa pemuda itu mengalami masalah psikologi kerana menolak beberapa kali apabila diajak "dating" dengan alasan, agamanya tidak membenarkan hubungan intim dengan perempuan selain daripada isteri.
Undang-undang Arizona, melarang sebarang bentuk gangguan seksual melainkan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan hubungan.
Nabi Shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Tujuh orang yang akan dinaungi Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya: seorang pemimpin yang adil; seorang pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadah kepada Allah; seorang yang hatinya selalu terkait dengan masjid; dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah; lelaki yang diajak seorang wanita yang cantik dan terpandang untuk berzina lantas ia berkata, "sesungguhnya aku takut kepada Allah"; seorang yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan seorang yang berzikir kepada Allah seorang diri sehingga menitis air matanya."
Hadis riwayat Bukhari, Abu Dawud dan Ibnu Majah.



Khamis, 27 September 2012

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2012

Barack Obama

Mitt Romney
Kurang 40 hari lagi pilihan raya presiden Amerika Syarikat akan berlangsung. Pada pilihan raya kali ini, Barack Obama yang merupakan calon Parti Demokrat dan penyandang jawatan akan ditentang oleh calon Parti Republikan, Mitt Romney. 
Pilihan raya presiden kali ini merupakan yang terakhir yang boleh disertai oleh Obama kerana Perlembagaan Amerika Syarikat tidak membenarkan seseorang presiden memegang jawatan lebih daripada dua penggal. Jika Obama menang, beliau akan menjadi Presiden Amerika Syarikat bagi penggal kedua sehingga tahun 2016.  
Manakala jika Mitt Romney tewas kali ini, beliau masih berpeluang bertanding pada pilihan raya tahun 2016, asalkan beliau mendapat cukup pencalonan daripada Parti Republikan pada ketika itu. Sebaliknya jika Romney menang maka beliau akan dilantik sebagai presiden baru menggantikan Obama. 
Bagaimanapun tinjauan penganalisis politik mendapati, peluang Romney untuk memenangi pilihan raya kali ini agak sukar kerana tinjauan pendapat menunjukkan beliau semakin kurang popular. Ramalan The Economist pula menunjukkan kedudukan Obama semakin kukuh.  
Manakala Nate Cohn yang menganalisis beberapa tinjauan pendapat mengatakan bahawa peluang Romney untuk menang begitu tipis. Willian Galston pula menyimpulkan, kempen Romney begitu teruk. Jika pilihan raya diadakan esok, beliau pasti akan kalah. 
Lebih menekan Romney ialah apabila bekas Gabenor Minnesota, Tim Pawlenty yang menjadi Pengerusi Bersama Kempen beliau telah meletakkan jawatan. Ini menyebabkan harapan Romney untuk memenangi pilihan raya kali ini dilihat semakin pudar. 
Kempen Obama pula dilaporkan menunjukkan kemajuan. Di markas pusat kempen Obama di Chicago, teknologi digunakan dengan amat berkesan, ulas Richard Mc Gregor. Manakala Andres Sullivan melalui Newsweek optimis Obama akan menang pada pilihan raya kali ini.


Jutawan Papa Dari London


LONDON: Yvonne Lawrence, 30, masih tersenyum meskipun beliau kini papa kedana, setelah sembilan tahun hidup dalam serba kemewahan selepas menang loteri RM9.46 juta. 
"Saya kini lebih gembira," dakwa Yvonne yang hilang segala kekayaannya akibat gaya hidup mewah dan juga pelaburan yang merugikan. 
Hakikatnya, jika wang kemenangan daripada tiket 8, 11, 25, 46 dan 47 itu tidak dibelanjakan dan disimpan di bank, Yvonne bakal memperoleh wang faedah RM570,600 setahun dan hidup selesa. 
Kini, wangnya habis dan bekas kakitangan panggung wayang yang berpendapatan RM57,000 setahun itu kini terpaksa mencari kerja, mungkin kerja di pejabat. 
Keluarganya kini bergantung kepada pendapatan suaminya, Nathan yang bekerja sebagai pengimpal. Baru-baru ini mereka terpaksa menjual rumah semi-d serta kereta sport berharga RM228,000 untuk membeli apartmen dua bilik dan kereta Peugeot 307 bernilai hanya RM38,000. 
"Saya melalui tempoh paling menarik dalam hidup, tapi kini saya kembali normal. Saya kini mungkin tidak berwang, tapi saya tak kesal. Yang penting, saya sihat dan kini kami memiliki tiga anak yang baik. Malah, ada kalanya saya gembira kami tidak lagi kaya. 
"Sememangnya saya suka hidup mewah tapi tanpa wang, anak saya pasti lebih menghargai hidup," kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun dan pasangan kembar lelaki, dua tahun itu. 
Yvonne menang hadiah loteri itu ketika berusia 21 tahun dan dalam tempoh enam bulan pertama, beliau pergi membeli-belah setiap hari. 
"Saya beli apa saja, pergi bercuti dengan empat rakan selama dua minggu di Florida dan Bahamas. Saya juga belanja empat rakan saya untuk membeli-belah di New York dan membawa ibu ke Disneyland, Paris. 
"Saya tak perlu lagi kerja, membeli apartmen empat bilik berharga RM1.6 juta dan sebuah kereta Volkswagen Golf. Saya membelanjakan RM234,700 untuk membeli kereta Jeep Cherokee dan RM228,400 untuk membeli kereta Mercedes SLK." 
Yvonne menderma sebahagian wang kemenangannya, sejumlah RM317,100 setiap seorang untuk ibu dan bapanya yang bercerai dan RM507,650 untuk adik lelakinya, Darren. 
Demi melindungi wang kemenangannya, Yvonne turut melabur dalam saham atas nasihat pakar. Semuanya berjalan lancar hinggalah 11 September 2001. Serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York yang menyebabkan pasaran saham dunia merudum merugikan Yvonne sekali gus memaksa beliau menjual sahamnya. 
"Saya takut hilang semua wang saya, menyebabkan saya menjual saham. Saya rugi RM634,350 tapi wang yang saya peroleh kembali saya labur di tempat lain," katanya. 
Beliau membelanjakan RM2.54 juta untuk membeli tiga apartmen di bandar kelahiran Nathan, Gosport, Hants, tapi pasaran hartanah yang merudum menyebabkan beliau kerugian lagi. 
Awal tahun ini, Yvonne terpaksa menjual sebuah apartmen dengan harga hanya RM920,000, kurang RM254,000 daripada harga yang dibelinya. Beliau turut hilang RM63,450 apabila penyewanya lesap begitu saja. 
"Saya tidak boleh buat apa-apa, tapi belajar daripada pengalaman itu," katanya. 
Pada 2002, Yvonne rugi besar apabila bersetuju memenuhi permintaan Nathan menjadi pemain hoki ais profesional di Kanada. 
Selepas membelanjakan RM63,450 untuk majlis kahwin, mereka terus berhijrah ke Kanada. 
"Beliau menjalani kem latihan dan kami menyewa sebuah rumah dan membeli banyak perabot. Ada di antaranya terpaksa kami tinggalkan selepas hasrat Nathan tidak tercapai. 
"Apapun saya puas hati kerana sekurang-kurangnya Nathan mencuba sedaya upaya. Beliau masih lagi bermain di sini, tapi dalam liga lebih rendah," katanya. 
Pada 2004, Yvonne dan Nathan melabur RM3.18 juta untuk menguruskan sebuah gimnasium. 
"Kami sekeluarga berpindah ke Gosport pada masa itu. Sebahagian besar wang kami dilabur dalam hartanah dan kami ingin sesuatu yang menghasilkan wang. Nathan berasakan bisnes gimnasium peluang terbaik. 
"Meskipun tak pasti, saya menurut kehendak Nathan kerana dia bersungguh-sungguh. Pada mulanya, semua berjalan lancar dan kami memiliki 700 ahli. Namun, kos tinggi menyebabkan kami tidak mampu untuk terus beroperasi." 
Awal bulan ini, gimnasium itu terpaksa ditutup dan Yvonne mengaku melakukan kesilapan kerana tidak memperoleh nasihat terbaik sebelum melabur wangnya. 
"Kini saya terpaksa mencari kerja. Meskipun sukar, saya perlu meneruskan hidup untuk membesarkan anak saya. Saya kini mungkin tidak hidup mewah, tapi boleh kongsi pengalaman ini dengan anak dan harap mereka belajar daripada pengalaman ini," katanya.
Sumber: Harian Metro, 09/03/2008

Rabu, 26 September 2012

Apa Khabar Planet Bumi?


Imej Satelit NASA. Sumber: Kosmo Online

Berdasarkan imej satelit yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Aeronautika dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), ais laut di kawasan Artik dikatakan telah menyusut dari garisan kuning (tahun 1979) kepada kawasan yang lebih kecil. Jika trend ini berterusan, ais laut di kawasan itu dijangka akan pupus menjelang hujung dekad ini. 
Ahli sains dan aktivis alam sekitar percaya, fenomena ini berlaku kesan daripada pencemaran alam sekitar yang menyebabkan suhu dunia meningkat. Akibatnya, ais laut menjadi cair dan menyusut. 
Jika fenomena ini berterusan, paras air laut diramalkan akan meningkat dan sebahagian kawasan pantai yang ada pada hari ini akan tenggelam atau berada di bawah dasar laut! Lalu, bagaimana penempatan manusia di pesisiran pantai? Bagaimana dengan kehidupan anak cucu kita pada masa akan datang? Sama-samalah kita renungkan.

Selasa, 25 September 2012

Had Kuasa Manusia



Tergelak sendirian saya apabila terbaca kisah lama tahun 2009 di blog Abu Nuha Corner mengenai pengalaman beliau semasa bertugas di Istana Negeri Sabah. Kisahnya ialah mengenai polis dengan lembu. 
Pada suatu hari Jumaat, beliau ditugaskan menyertai rombongan TYT yang dijadualkan hendak menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Tuaran.  Rombongan berkenaan diiringi oleh lima polis trafik bermotosikal dan rombongan bertolak dari Istana jam 11.45 pagi melalui Jalan Sulaman. 
Beliau berada di kenderaan ketiga bersama pemandu dan pelayan Istana. Kenderaan pertama ialah kereta rasmi TYT. Kenderaan kedua pula ialah kereta polis juruiring atau bodyguard. Tiga polis trafik berada jauh di hadapan bertugas mengosongkan laluan dengan mengarahkan kereta lain ke tepi bagi memudahkan pergerakan rombongan TYT. Manakala dua polis trafik lagi berada dekat sama ada di sisi atau di hadapan kereta TYT. 
Tidak jauh dari persimpangan Kampung Laya Laya Tuaran, banyak lembu melepak di tepi jalan. Tiba-tiba tanpa diduga, beberapa ekor lembu menyeberang jalan raya dengan perlahan. Tiga polis trafik sudah terlalu jauh untuk 'membersihkan' jalan manakala dua polis trafik dekat kereta TYT terpaksa berhenti membuatkan kenderaan rombongan Istana yang lain juga turut berhenti. 
Walaupun polis trafik yang mengiringi rombongan TYT boleh mengarahkan kereta orang lain ke tepi, tetapi mereka akhirnya kalah juga kepada sekawan lembu. Maka, terpaksalah rombongan TYT memberi laluan kepada sekumpulan lembu menyeberang jalan. 
Moral daripada kisah itu ialah, kuasa manusia itu terbatas dan kadang-kadang tidak berkesan kepada makhluk lain!

Antara Dua Persepsi



Seorang usahawan yang sedang sakit terlantar merasakan tidak terdaya lagi hendak meneruskan perniagaannya. Lalu dia membahagikan perniagaannya kepada dua orang anak lelakinya. Usahawan itu juga berpesan kepada isterinya agar pulang ke kampung, jika dia meninggal dunia. 

Beberapa bulan kemudian, usahawan itu merasakan ajalnya telah semakin hampir. Lalu usahawan itu segera berwasiat kepada dua anak lelakinya dengan disaksikan oleh isterinya. Wasiat usahawan itu kepada kedua-dua anaknya ialah:

1. Jangan terkena cahaya matahari semasa hendak pergi berniaga  

2. Jangan menagih hutang piutang daripada para pelanggan.

Selepas usahawan itu meninggal dunia, isterinya pulang ke kampung. Namun selepas beberapa tahun, dia merasa rindu kepada kedua-dua anaknya. Lalu dia pun berangkat ke kota. Mula-mula, dia pergi ke kedai anaknya yang sulung. 

Sebaik berjumpa, berlakulah dialog berikut: 

"Apa khabar mu wahai anakku?" tanya ibu kepada anaknya.


"Khabar tak berapa baik wahai ibuku," jawab anaknya dengan wajah yang sugul. 
Ibu itu memandang sekeliling kedai anaknya. Dia cuba membandingkan keadaan kedai itu sebelum dia balik kampung beberapa tahun yang lalu. Tidak nampak peningkatan. Sebaliknya barang-barang dalam kedai itu tinggal sedikit. Lalu ibu itu pun bertanya lagi kepada anaknya: 
"Bagaimana perniagaan mu?" 
"Perniagaanku sedang menghadapi masalah dan mengunggu masa hendak gulung tikar" 
"Apakah kamu mengingkari wasiat ayahmu?" 
"Tidak ibu..." 
"Habis, mengapa perniagaanmu hendak gulung tikar?" 
"Sebab, setiap hari saya terpaksa menyewa teksi dari rumah ke kedai ini agar saya tidak terkena cahaya matahari. Maka saya terpaksa membayar sewa teksi yang mahal. Saya juga tak pernah menagih hutang daripada para pelanggan yang berhutang. Maka saya sentiasa mengalami kerugian." 
Siibu menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar jawapan anaknya itu. Dia merasa sedih kerana tidak berupaya hendak membantu. 
Selepas itu, ibu berkenaan pergi pula ke kedai anaknya yang kedua. 
"Apa khabarmu wahai anakku?" tanya ibu. 
"Alhamdulillah, khabar baik wahai ibuku," jawab anaknya dengan wajah yang ceria. 
"Ibu apa khabar?"


"Alhamdulillah baik..." jawab ibu pendek. 
Dia memandang sekeliling kedai anaknya. Nampak perbezaan. Barang jualan nampak lebih banyak berbanding dulu. Para pelanggan juga datang silih berganti. Lantas ibu itu menyoal anaknya: 
"Bagaimana perniagaanmu?" 
"Alhamdulillah, bertambah maju ibu..." 
"Adakah kamu mematuhi wasiat ayahmu?" 
"Ya, semestinya. Setiap hari saya akan pergi berniaga sebelum matahari terbit dan hanya akan pulang ke rumah selepas matahari terbenam. Saya pergi dan balik dengan berjalan kaki. Dengan itu saya tidak perlu membayar sewa teksi. Saya juga tidak terkena cahaya matahari. Masa saya berniaga juga panjang. Saya juga tidak pernah menagih hutang daripada para pelanggan saya kerana saya tidak pernah memberi hutang kepada mereka. Maka setiap hari saya mendapat hasil jualan secara tunai. Sebab itu perniagaan saya bertambah maju." 
Siibu tersenyum mendengar jawapan anaknya itu. Dia juga merasa gembira kerana kedai anaknya semakin maju.


Isnin, 24 September 2012

Ancaman Gempa Bumi



Kita sering mendengar kejadian gempa bumi berlaku di berbagai tempat di dunia ini. Kita juga pernah menonton tv, atau sekurang-kurangnya melihat gambar yang memaparkan kemusnahan akibat daripada kejadian gempa bumi. Soalnya, adalah kita tinggal di tempat yang benar-benar selamat daripada ditimpa bencana sedemikian? 

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama, satu gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter telah melanda pulau Mindanao di Filipina pada jam 8.28 pagi, 24 September 2012. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya berkata, gempa bumi itu berpusat di 169km tenggara Davao, Filipina dan 909km timur laut Semporna, Sabah. Walau bagaimanapun gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. Tapi, tidakkah lokasi gempa bumi itu berdekatan dengan kawasan kita? 

Berikut ialah gambar-gambar yang menunjukkan kesan gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang berlaku  pada tahun 2009, di Padang, Sumatera untuk renungan kita bersama.

A man comforts a relative after an earthquake hit Padang, on Indonesia's Sumatra island September 30, 2009. A 7.6 magnitude earthquake struck off the city of Padang on Indonesia's Sumatra island on Wednesday, killing at least 75 people and trapping thousands under rubble, officials said.