Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 26 Julai 2013

Bekas Presiden AS Terima Ancaman Bunuh

Jimmy Carter semasa Perjanjian Damai Mesir-Israel 1978 di samping Anwar Sadat dan Menehem Begin

Carter semasa melawat Kemboja pada tahun 2009

Carter bersama warga Palestin semasa melawat Baitulmaqdis pada tahun 2010

Jimmy Carter mendedahkan bahawa beliau menerima paling banyak ancaman bunuh sejak meninggalkan jawatan presiden berbanding mana-mana bekas presiden yang lain. 
Presiden Amerika Syarikat dari Parti Demokrat satu penggal itu berkata, beliau menjadi subjek tiga cubaan bunuh sejak beliau meninggalkan White House pada Januari 1981. 
Butir-butir plot pembunuhan tidak dinyatakan, namun Carter menggambarkan mereka sebagai warga tempatan, yang bermaksud bakal pembunuh itu adalah rakyat Amerika sendiri. 
Beliau bergiat aktif sejak meninggalkan jawatan presiden dan kerap keluar negara, ke Korea Utara, Afrika, dan Timur Tengah. 
"Apabila saya dalam perjalanan di luar negara, hampir setiap kali saya menerima maklumat daripada Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) yang menyatakan saya dalam berbahaya," ujar bekas Presiden itu kepada penulis Larry Sabato, menurut The Washington Examiner. 
"Kadang-kadang mereka meminta saya tidak pergi, namun saya pergi juga. Mereka dan saya hanya ketawa mengenainya. Jadi saya menjadi lebih prihatin tentang keselamatan saya semasa menjalankan urusan Carter Center di luar negara berbanding semasa saya berada di White House." 
Tiada maklumat yang dikeluarkan setakat ini berkenaan apa-apa ancaman terhadap kehidupan bekas Presiden Clinton atau bekas Presiden Bush. 
Presiden Obama mencipta sejarah pada tahun 2007 semasa menjadi Senator apabila beliau menjadi calon presiden yang pertama menerima perlindungan Perkhidmatan Rahsia, sebelum secara rasmi menjadi calon presiden kerana terdapat beberapa ancaman terhadapnya berasaskan kaum. 
Carter, 89, membuat pendedahan tentang prosedur keselamatan ketika bertemu dengan Sabato sebagai sebahagian daripada usaha penyelidikan beliau untuk sebuah buku mengenai warisan Presiden John F. Kennedy. 
Bagi warisannya sendiri, imej awam Carter sebahagian besarnya telah dibentuk pada tahun-tahun kebelakangan ini melalui kerja-kerja amal yang dia lakukan sejak meninggalkan White House. 
Beliau mengasaskan Carter Center untuk menangani isu-isu hak asasi manusia di seluruh dunia, berusaha untuk membantu membasmi penyakit seperti trakhoma dan penyakit cacing Guinea secara global. 
Carter juga memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2002 untuk usaha beliau mencari 'penyelesaian damai' kepada konflik antarabangsa, memajukan demokrasi dan hak asasi manusia. 
Beliau adalah satu-satunya presiden yang menerima anugerah cemerlang itu setelah tidak lagi memegang jawatan.

Bangkai Buaya Besar Gemparkan Penduduk

Penemuan bangkai buaya ini menggemparkan penduduk Bukit Belimbing. Foto: IniKalilah

Foto
Bangkai buaya ditemui oleh dua orang nelayan yang hendak pergi memancing. Foto: myMetro

Punca kematian buaya ini masih misteri. Foto: DCM

Penduduk kampung yang datang untuk melihat sendiri bangkai buaya berkenaan. Foto: DCM

Bandingkan saiz fizikal bangkai buaya dengan saiz tubuh manusia. Foto: DCM

Bangkai buaya diangkat ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun. Foto: IniKalilah

KUALA SELANGOR: Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin. 
Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai. 
“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak. 
“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam. 
Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar. 
“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan. 
“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya. 
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat. 
“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya. 
“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya. - myMetro

Raja Buah Tak Laku Di Bulan Puasa

Mohd Khairul menunjukkan durian yang dijual secara bakul. Foto: Sinar Harian

Apakah harga buah durian yang dijual di Kuala Nerang ini juga jatuh? Foto: Sinar Harian

Apa khabar gerai durian di Balik Pulau ini? Foto: Sinar Harian

Peminat raja buah berkurangan semasa bulan Ramadan. Foto: mStar

BALING - Satu bakul dijual hanya RM50, itulah harga yang ditawarkan oleh kebanyakan peniaga durian di sekitar daerah ini kepada pembeli. 
Faktor persekitaran terutamanya pada bulan puasa kini menjadikan harga raja buah itu semakin jatuh. 
Peniaga, Mohd Khairul Azhar Shuib, 27, berkata, harga buah berkenaan menurun sehingga mencecah 40 sen untuk sekilogram. 
“Biasalah waktu Ramadan, bukan tak ada yang beli, tapi kurang. Kebanyakan pembeli adalah bukan yang beragama Islam,” katanya. 
Menurutnya, durian yang dijual dalam bakul mendapat sambutan menggalakkan terutama kepada pemborong yang ingin mendapatkan bekalan buah terbabit. 
“Harga memang murah, kualiti buah juga baik, jadi jualan memang sangat memuaskan” katanya kepada Sinar Harian. 
Mohd Khairul berkata, dia terpaksa menurunkan harga durian bagi mengelak lambakan buah, tambahan pula musim durian Perak akan bermula. 
“Selepas raya, durian Perak akan mula dijual, jadi, kita kenalah habiskan durian sedia ada, kalau tidak buah akan rosak dan terpaksa dibuang,” katanya. 
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Sobri Aziz, 21, berkata, faktor bulan puasa menjadikan jualan buah durian ini semakin merudum. 
Menurutnya, durian yang berharga RM20 bagi setiap longgok terpaksa diturunkan kepada RM 10 berikutan kurangnya sambutan pembeli. 
“Memang berbeza dengan tahun lepas. Tapi, nak buat macam mana, bulan puasa jatuh pada musim durian pula. 
“Bukan tak ada langsung pembeli, tetapi tidaklah begitu menggalakkan,” katanya. 
Mohd Sobri berkata, orang luar merupakan pembeli utama berbanding penduduk tempatan di sekitar daerah ini. 
“Memang jarang orang tempatan beli, depa pun ada kebun durian. Jadi kebanyakannya memang orang luar yang lalu di kawasan ini,” katanya. 
Ditanya adakah dia akan turut menyambung jualan durian bagi musim durian Perak, Mohd Sobri berkata, dia akan menumpukan pada jualan pisang pula. 
“Saya nak habiskan buah durian ini. Kalau ambil durian Perak, takut jadi lambakan buah pula,” katanya. 
Tinjauan Sinar Harian mendapati, tidak ramai peniaga yang menjual raja buah itu berbanding tahun lepas dan kebanyakannya menjual dalam jumlah yang sedikit. 
Hanya terdapat kira-kira empat gerai buah durian di tepi jalan Pekan Kupang sehingga ke Baling berbanding tahun lepas yang melebihi lima gerai hanya bagi satu kawasan. - Sinar Harian

Mesyuarat MIC Kecoh Baling Kerusi

Gambar hiasan. Foto: Flickr

Gambar hiasan. Foto: Flickr 

BANDARAYA MELAKA - Mesyuarat agung tahunan MIC kawasan Pantai Peringgit, malam kelmarin bertukar kecoh apabila pertengkaran meletus yang turut melibatkan kerusi dibaling ke arah pengerusi cawangan. 
Kekecohan mula meletus apabila sebahagian ahli meminta pengerusi berhenti bercakap apabila beliau memulakan ucapannya. 
Difahamkan, tindakan sekumpulan kecil ahli itu disebabkan rasa tidak puas hati mereka atas beberapa isu yang mereka dakwa membabitkan pengerusi cawangan berkenaan. 
Balingan kerusi itu bagaimanapun tidak mengenai beberapa pemimpin kanan MCA negeri yang turut dijemput untuk mesyuarat berkenaan, yang pada ketika itu sedang berada di atas pentas. 
Berikutan kekecohan, mesyuarat terpaksa ditangguhkan, sementara Ketua Penerangan MIC negeri, Datuk K Basil yang hadir pada malam itu cuba menenangkan keadaan. - Sinar Harian

Khamis, 25 Julai 2013

Kereta Terbang Di Terengganu

Kereta yang dinaiki Junainah dan dua anaknya terbalik selepas terbang merempuh sebuah rumah. Foto: Sinar Harian

Meskipun keadaan kereta rosak teruk tapi Junainah dan dua anaknya tidak mengalami kecederaan parah. Foto; Sinar Harian

KEMAMAN – “Semasa kereta terbang, saya peluk dua anak erat-erat,” kata seorang guru, Junainah Yusof, 43, yang melalui detik mendebarkan apabila kereta yang dipandunya terbang dan merempuh sebuah rumah ketika pulang dari sekolah petang kelmarin. 
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di laluan berbukit dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di Felda Neram 1 untuk pulang ke rumah mereka. 
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa tiga beranak kerana mereka tidak mengalami kecederaan parah meskipun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki terbalik dan remuk teruk. 
Junainah berkata, ketika menaiki bukit dan mahu membelok di selekoh terdapat sebuah motosikal di hadapannya membuatkannya cuba mengelak daripada terlanggar motosikal terbabit hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu meluncur laju dan terbang merempuh sebuah rumah berdekatan. 
“Saya waktu itu hanya fikirkan anak-anak sebab itu saya peluk anak sambil berdoa agar kami selamat. Kami keluar dengan merangkak ikut cermin kerana kereta terbalik. 
“Syukur kepada ALLAH SWT kerana kami semua masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian. 
Gara-gara kejadian itu, Junainah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Felda Neram 1 ini mengalami lebam di beberapa bahagian serta mengalami sakit-sakit badan sementara dua anaknya, Mohd Faris Nabil Sadri, 9, dan Nur Alya Fakihah, 7, mengalami lebam di lengan. 
Katanya, sehari sebelum kejadian berlaku, kereta yang dinaikinya itu baru sahaja selesai diservis (selenggara). - Sinar Harian

Mangsa Penjenayah Tak Kira Siapa

Anak perempuan ACP Amiruddin Jamaluddin disamun di persimpangan lampu isyarat di Sentul, KL. Foto: Astroawani

ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira 10.05 pagi


KUALA LUMPUR - Anak perempuan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin disamun di persimpangan lampu isyarat di Sentul di Kuala Lumpur hari ini. 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira 10.05 pagi ketika mangsa yang berusia 34 tahun yang juga ahli perniagaan menghentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat tersebut sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal. 
"Penjenayah dipercayai menggunakan palam pencucuh atau besi untuk memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian penumpang hadapan, sebelum melarikan beg tangan mangsa yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya kepada Bernama. 
Khairi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup penuh berwarna gelap. 
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sementara jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan, katanya. - Bernama

Misteri Kejadian Di Tengah Jalan Raya

Pasangan ini dilihat bertengkar di tengah-tengah jalan raya di Dongguan, Wilayah Guangdong, China

Seorang saksi berkata, lelaki ini yang mula-mula menanggalkan pakaian dan kemudian diikuti oleh teman wanitanya

Bagaimanapun wanita ini telah menanggalkan kesemua pakaiannya

Wanita ini kemudiannya berlari

Masih tidak jelas apa yang berlaku dan orang ramai masih bingung melihat kejadian ini

Tetapi pasangan ini kemudiannya berjalan bersama-sama sambil lelaki ini menutup sebahagian tubuh teman wanitanya

Keadaan cuaca di Dongguan, Wilayah Guangdong, China ketika itu terlalu panas. 
Pasangan muda Cina ini yang sedang berdiri di tengah-tengah jalan tiba-tiba menanggalkan pakaian mereka. 
Mula-mula lelaki yang menanggalkan pakaiannya, kemudian diikuti oleh teman wanitanya. Mereka melakukan perbuatan itu dengan selamba. 
Bagaimanapun teman wanita lelaki ini menanggalkan kesemua pakaiannya. 
Tetapi saksi Jiang Dayu yang merakamkan kejadian ini dengan telefon bimbitnya tidak dapat mengambil gambar dengan jelas. 
"Pasangan ini pada mulanya bergaduh di tepi jalan, kemudian berpindah ke tengah-tengah jalan," katanya. 
"Mereka benar-benar tidak menghiraukan lalu lintas, pemandu yang membunyikan hon dan orang ramai yang ada di sekeliling mereka." 
Bagaimanapun selepas puas bertengkar, pasangan ini akhirnya dapat menyelesaikan perbezaan pendapat di antara mereka, lalu berpelukan dan kemudian beredar dari tempat kejadian bersama-sama. 
Namun sebab mengapa wanita ini menanggalkan kesemua pakaiannya masih misteri.


Kemalangan Kereta Api Paling Dahsyat Di Sepanyol

Kereta api tergelincir dan berlanggar di antara satu sama lain

Kejadian kemalangan berlaku di luar bandar Santiago de Compostela, Sepanyol

Di antara mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri


Orang ramai menyaksikan kemalangan kereta api yang paling dahsyat di Sepanyol dari atas jembatan

Kepulan asap keluar dari gerabak kereta api

Seorang mangsa wanita berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat

Usaha menyelamat mangsa kemalangan diteruskan hingga ke malam

Pasukan kecemasan menjalankan pemeriksaan untuk mencari mangsa kemalangan
Kemalangan berlaku dekat bandar Santiago de Compostola


Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh selepas kereta api tergelincir di Sepanyol semalam. 
Kejadian berlaku di selekoh landasan di utara bandar Santiago de Compostela. 
Gambar yang disiarkan oleh media Sepanyol menunjukkan kepulan asap keluar dari gerabak kereta api. 
Spanish News Agency menyebut sumber polis dan hospital mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 70 orang telah mengalami kecederaan. 
Kemalangan itu berlaku hanya beberapa meter dari stesen kereta api utama di bandar ini. Beribu-ribu orang telah bergerak ke bandar ini menjelang perayaan utama Kristian hari ini. 
Menurut laporan tempatan, kejadian itu adalah yang paling teruk dalam rangkaian kereta api Sepanyol dalam tempoh lebih 40 tahun. 
Seorang saksi berkata bahawa ramai yang terbunuh dan cedera parah terhimpit apabila gerabak mula berlanggar di antara satu sama lain. 
Ricardo Montesco, yang berada dalam kereta api pada masa itu memberitahu stesen radio Cadena Ser, "Kejadian berlaku begitu pantas. 
"Ia seolah-olah ketika sampai di selekoh kereta api mula berpusing, dan gerabak menindih di antara satu sama lain. 
"Ramai orang terperangkap di bahagian bawah. Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak dan kami menyedari kereta api itu terbakar. 
"Saya berada di gerabak kedua dan terbakar. Saya melihat mayat." 
Kereta api itu dianggarkan membawa sekitar 218 penumpang pada satu masa antara Madrid dan Ferrol di pantai utara Galacia. 
Dalam kejadian itu, 13 gerabak telah tergelincir dari landasan manakala empat terbalik. 
Mayat dan mereka yang cedera dilihat bertaburan di atas landasan. 
Saksi lain mendakwa bahawa mereka mendengar letupan sebelum kereta api itu mengalami kemalangan. 
Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy dikatakan telah memanggil mesyuarat tergempar menteri-menteri kabinet dan akan melawat tapak kemalangan itu pagi ini. 
Santiago de Compostela, tempat kelahiran Perdana Menteri Rajoy, terkenal sebagai destinasi laluan 'ziarah purba' penganut Katolik. 
Perayaan utama di bandar ini ialah memberi penghormatan kepada mayat St James, salah seorang daripada 12 murid Jesus. 
Makam sahabat di bandar ini merupakan destinasi yang terkenal di El Camino de Santiago yang dikunjungi oleh orang Kristian sejak Zaman Pertengahan. 
Bagaimanapun perayaan telah dibatalkan berikutan kemalangan itu.


Rakaman video kejadian kemalangan menunjukkan kereta api bergerak laju di selekoh

Kereta api kemudian tergelincir dari landasan dan melanggar tembok

Semasa kemalangan berlaku, kereta api malang ini membawa 218 penumpang

Salah seorang pemandu memberitahu, dia telah memecut selaju 190 km sejam di selekoh yang sepatutnya hanya 80km sejam

Gerabak kereta api diangkat dari landasan menggunakan kren

Kerja membaiki dan membersihkan landasan segera dilakukan

Gerabak kereta api yang rosak dipindahkan dengan segera

Pemandangan dari udara di lokasi kemalangan

Para petugas sibuk melakukan kerja pembersihan

Kaum keluarga terdekat dan sahabat handai mangsa kemalangan masih bersedih

Perdana Menteri Mariano Rajoy (tengah) bersama Menteri Kerja Raya Ana Pastor (kanan) tiba di tempat kejadian

Satu demi satu gerabak kereta api yang terlibat kemalangan dipindahkan dari kawasan landasan

Kejadian kemalangan berlaku satu jam sebelum matahari terbenam

Semoga kemalangan dahsyat seperti ini tidak berlaku di negara kita


SANTIAGA DE COMPOSTELA - Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 140 lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di luar bandar lama barat laut Sepanyol di sini, petang kelmarin. 
Mayat ditutupi selimut dilihat bersebelahan gerabak terbalik dengan asap keluar berkepul-kepul dari bangkai gerabak dengan kejadian dianggap antara nahas kereta api terburuk Eropah. 
Anggota bomba cuba mencari mangsa yang terselamat sementara anggota perubatan dalam ambulans dan bomba mengelilingi tempat kejadian. 
Kerajaan mengandaikan punca kejadian itu, yang berlaku ketika kemuncak festival keagamaan penting bandar itu, sebagai kemalangan. 
Sabotaj atau serangan agak mustahil, kata sumber rasmi, walaupun kemusnahan itu mengembalikan ingatan kepada pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 yang mengorbankan 191 orang. 
Kereta api Santiago de Compostela dikendalikan syarikat Renfe membawa 247 penumpang ketika ia tergelincir di saat bandar itu bersiap sedia menyambut festival Saint James, apabila ribuan penganut Kristian dari seluruh dunia memenuhi jalanan. 
Lembaga pelancongan bandar berkata, semua keraian termasuk ‘High Mass’ di gereja dibatalkan kerana seluruh bandar berkabung akibat nahas. 
“Kejadian berlaku amat pantas. Kereta api mula tergelincir di selekoh dan gerabak menimpa antara satu sama lain,” kata penumpang, Ricardo Montesco kepada stesen radio, Cadena Ser. 
“Ramai penumpang terperosok. Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar. Saya berada dalam gerabak kedua dan kebakaran berlaku. Saya lihat mayat,” tambahnya. 
Perdana Menteri, Mariano Rajoy, yang dilahirkan di bandar ini melawat tempat kejadian pagi semalam, kata jurucakapnya. 
“Oleh kerana satu tragedi baru saja berlaku di Santiago de Compostela pada kemuncak hari besar, saya hanya dapat menyampaikan simpati mendalam sebagai rakyat Sepanyol dan penduduk Galicia,” kata Rajoy dalam satu kenyataan. 
Akhbar El Pais memetik sumber kepada siasatan sebagai berkata kereta api itu bergerak dua kali ganda had laju dibenarkan ketika melalui selekoh tajam. 
Kedua-dua Renfe dan syarikat kerajaan Adif, yang bertanggungjawab menyelenggara landasan, membuka satu siasatan terhadap punca kejadian gelincir itu, kata Renfe. 
Satu sumber rasmi berkata, tiada kenyataan dibuat berkaitan punca nahas sehingga kotak hitam kereta api diteliti namun berkata ia kemungkinan besar satu kemalangan. 
“Kami akan melupakan teori ia disebabkan sabotaj atau serangan pengganas,” katanya. - REUTERS/AGENSI/ Berita Harian

Penduduk Bantah Meter Air Buatan Israel

Penduduk Brighton, East Sussex ini meminta syarikat pembekal air mengganti meter air buatan Israel di rumah mereka

Meter air yang dikeluarkan Syarikat Arad dari Israel

Sebuah syarikat pembekal air di Britain telah menggantikan meter air buatan Israel yang dipasang di rumah para pelanggan mereka yang membantah 'penindasan Palestin'. 
Caroline dan Edmond O'Reilly meminta Southern Water menggantikan meter tersebut kerana pengeluarnya, Arad Technologies, dituduh membuat 'untung' di Tebing Barat. 
Syarikat itu telah bersetuju untuk memasang meter yang dibuat oleh pengeluar yang lain. 
Kempen pro-Palestin mendakwa keputusan membuka beribu-ribu meter pelanggan lain yang membuat bantahan adalah atas alasan etika. 
Puan O'Reilly, dari Brighton, East Sussex berkata, "Surat itu menyebut, mereka sepakat untuk menukar meter mereka pada minggu ini kerana kurang senang dengan asal-usulnya." 
Menurut Puan O'Reilly, bantahan itu adalah berdasarkan serangan Kerajaan Israel terhadap tanah Palestin dan hubungan Arad dengan Kerajaan Israel. 
Dia berkata, "Sejak tahun 2000 Israel secara sistematik telah memusnahkan infrastruktur bekalan air Palestin dan Arad merupakan pembekal kepada kerajaan Israel. 
"Sekiranya kita menutup mata, kita berpakat secara sulit menyokong satu cara yang sistematik untuk melakukan diskriminasi terhadap orang-orang yang tidak mempunyai kuasa terhadap negeri mereka yang seolah-olah cuba untuk menekan rakyat Palestin keluar dari Palestin." 
Arad Technologies dikatakan telah memasang 3,200 meter air dalam zon perindustrian penempatan di Tebing Barat. 
Syarikat Israel itu mendapat kontrak £36 juta (RM176 juta) dengan Southern Water pada bulan Februari 2010 untuk menyediakan meter, perkhidmatan bacaan meter dan data perkhidmatan hosting di seluruh Hampshire, Surrey, Kent dan Sussex. 
Ia baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk memasang 500,000 meter di rumah di seluruh kawasan tersebut pada tahun 2015 dalam usaha untuk mencapai sasaran kerajaan untuk mengurangkan penggunaan air purata 148-130 liter per orang per hari pada tahun 2030. 
Kos memasang meter syarikat ialah £200 (RM977) bagi setiap rumah. - Mail Online