Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 31 Oktober 2013

Lelaki Simpan Mayat Isteri Di Rumah

Wong Tuck Wei menyimpan mayat isterinya selama 36 hari di rumah ini di Taman Damai Perdana, Cheras. Foto: Berita Harian

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas abang iparnya berkunjung kediaman mereka Sabtu lalu (foto hiasan). Sumber: mynewshub


KAJANG - Bagi membuktikan cintanya kepada isteri, seorang lelaki tidak sanggup berpisah, malah tetap menyimpan selain melayan mayat wanita kesayangannya. 
Beliau bukan saja menyembunyikan kematian isterinya selama 36 hari, malah dia turut menyikat rambut mayat itu setiap hari kerana menyintai wanita itu. 
Kematian Lim Ah Tee, 42, disembunyikan daripada pengetahuan anak tunggal mereka lebih sebulan dengan menyatakan ibunya sakit dan berehat di dalam bilik di tingkat atas kediaman mereka di Taman Damai Perdana di sini. 
Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas abang Ah Tee berkunjung kediaman mereka Sabtu lalu dan menasihatkan adik iparnya melaporkan kejadian kepada pihak polis. 
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata suami Ah Tee, Wong Tuck Wei, 40, membakar banyak setanggi, membuka kipas dan tingkap bilik selain meletakkan tuala basah di sekeliling tubuh mayat bagi menghilangkan bau busuk. 
“Apa yang peliknya tiada ulat ditemui pada mayat ketika pemeriksaan forensik dibuat. Hanya seekor kumbang ditemui. Keadaan mayat sudah mereput dan daging tertanggal daripada kulit sehingga tinggal tengkorak. 
“Namun, keadaan rambutnya kemas dan cantik kerana disikat setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Katanya, dalam keterangannya Tuck Wei mendakwa bersembang dengan mayat itu yang diletakkan di atas kerusi menghadap ke luar tingkap setiap hari sambil menyikat rambutnya. - Berita Harian

Pengawal Keselamatan Larikan Sedulang Barang Kemas

Seorang pengawal keselamatan bersenjatakan pistol melarikan sedulang barang kemas (Foto hiasan). Sumber: Sinar Harian

Sedulang barang kemas (foto hiasan). Sumber: Kosmo!


PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang memiliki senjata api merompak sebuah kedai emas di KL Festival City Mall, dekat Setapak pada Khamis. 
Rompakan berkenaan berlaku pada pukul 9 pagi dan sumber polis mengesahkan suspek merupakan rakyat Sabah yang menggunakan kad pengenalan palsu. 
Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Supritendan, Khairi Ahrasa mengesahkan insiden berkenaan. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan berkata tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan. 
Beliau berkata suspek merupakan pengawal keselamatan peribadi kedai emas berkenaan. 
Pada 23 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank Norazita Abu Talib selepas dia membuka pintu bilik kebal sebuah bank di Subang Jaya. 
Suspek berjaya melarikan diri dengan wang rompakan berjumlah RM450,000 daripada bilik kebal bank berkenaan. 
Bagaimanapun, polis berjaya menemui semula wang bernilai RM20,000 selepas menahan tiga ahli keluarga suspek dan usaha mengesan pengawal keselamatan berkenaan masih giat dijalankan. 
Suspek juga dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu dengan menggunakan alamat terakhir di Tawau, Sabah. - mStar Online

Polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian. Foto: The Star


KUALA LUMPUR - "Saya minta dia bawa MyKad ketika kerja hari ini, tetapi dia datang samun pula,” kata Robert Lourdusamy, mengimbas detik cemas kedai emas Tomei diuruskan beliau, disamun pengawal keselamatan bersenjatakan pistol, pagi semalam.  
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di KL Festival City dekat Setapak itu, suspek mengacukan pistol ke dada pengurus kedai terbabit, ketika tujuh pekerjanya sedang menyusun barang kemas, sebelum merampas satu dulang berisi 93 utas rantai bernilai lebih RM150,000 sebelum melarikan diri dengan motosikal. - Berita Harian 1.11.2013



KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan yang baru sebulan bekerja tergamak menyamun kedai emas majikannya yang beroperasi di dalam pusat beli-belah KL Festival City, Setapak di sini semalam. 
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, suspek yang dikenali sebagai Hikman Jacob, 23, dari Sabah meluru ke arah pengurus premis lalu mengacu pistol ke arah mangsa. 
Ketika kejadian, selain mangsa, terdapat tujuh orang pekerja sedang menyusun barang kemas di ruang cermin pameran di aras bawah bangunan tiga tingkat tersebut. - Kosmo! Online

Asisten Komisoner Khairy Ahrasa. Foto: Sinar Harian

KUALA LUMPUR - "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi". Itulah yang terjadi kepada pemilik sebuah kedai emas di pusat beli-belah KL Festival, Setapak di sini apabila pengawal keselamatan yang diupah menyamun kedai itu hari ini. 
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisoner Khairy Ahrasa berkata dalam kejadian 9 pagi itu, suspek yang lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api kepada empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher. 
Beliau berkata kejadian yang mengambil masa kira-kira lima minit itu terjadi semasa pekerja premis berkenaan sedang melakukan kerja menyusun atur barang kemas sebelum suspek datang dan mengarahkan pekerja tersebut menyerahkan dulang berisi barang kemas. 
"Polis sedang menyiasat sama ada pengawal keselamatan tersebut melarikan diri dengan motosikal ataupun ada rakannya yang sudah menunggu di luar pusat membeli-belah itu. 
"Kita akan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlebih dahulu," katanya kepada pemberita. 
Khairy berkata polis sedang menjalankan gerakan besar-besaran bagi mengesan suspek yang berusia 26 tahun dan dipercayai berasal dari Sabah. 
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di premis itu selama sebulan. 
Pihak polis sedang menyiasat latar belakang suspek serta rekodnya sebagai pengawal keselamatan dan sama ada dia mempunyai rekod jenayah lampau, katanya. 
"Kita akan semak dengan syarikat keselamatan yang mengupah suspek bekerja dan kita akan siasat senjata api yang digunakan suspek sama ada milik dia ataupun dibekalkan oleh syarikat keselamatan," katanya. 
Kes itu berlaku susulan kejadian seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai wanita sebuah bank di Subang Jaya pada 23 Oktober lalu dan melarikan wang RM450,000. - Bernama/Sinar Harian




KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan yang melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Setapak, di sini, semalam, dikatakan sudah merancang jenayah itu bersama seorang wanita, dipercayai isterinya sejak sebulan lalu. 
Dalam kejadian jam 9.40 pagi semalam, pengawal keselamatan berusia 23 tahun itu melarikan 93 utas rantai emas pelbagai saiz bernilai lebih RM100,000 dalam tempoh dua minit dengan bersenjatakan pistol. 
Berdasarkan saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Siti, 20, yang bekerja di sebuah kios makanan berhampiran kedai emas itu, isteri suspek akan menemani suspek dari waktu pagi hingga habis tempoh bekerja sejak sebulan lalu. 
Menurutnya, dia juga pernah nampak suspek bersama isterinya yang dipercayai warga asing itu merakam gambar barang kemas yang dipamerkan di kedai itu, malah isterinya juga dilihat sering memerhati tindak-tanduk staf lain dan kamera litar tertutup (CCTV) yang berada dalam kedai. 
Katanya, ketika kejadian semalam, dia baru saja membuka kios dan nampak suspek keluar dari kedai emas itu dalam keadaan tergesa-gesa. 
“Saya ingatkan dia sedang mengejar pencuri, tapi rupa-rupanya dia pencuri sebenar. Ketika melarikan diri dia memegang pistol di tangan kanan manakala menggenggam barang kemas di tangan kiri dan menggunakan laluan staf untuk melarikan diri,” katanya.
Mengesahkan mengenai kelakuan mencurigakan suspek dan isterinya, pengurus cawangan kedai emas berkenaan, Robert Lourdusamy berkata, suspek baru saja mula bekerja di premis berkenaan sejak sebulan lalu dan sepanjang tempoh berkenaan, isterinya menjadi peneman setia kepada lelaki itu. 
Robert berkata, dia tidak pernah menghalang wanita itu datang ke kedai berikutan tidak pernah mengganggu hal kerja bagaimanapun selepas berlaku kejadian berkenaan, dia curiga dengan kehadiran wanita itu. 
Menceritakan kembali mengenai kejadian itu, Robert berkata, ketika itu dia bersama lapan pekerja termasuk suspek masuk ke dalam kedai kira-kira jam 9 pagi dan selepas menutup semua pintu, dia mengeluarkan barang kemas yang disimpan dalam peti simpanan dan letak di atas rak kaca. 
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjejaki suspek. - myMetro 1.11.2013

Sebuah makanan segera di LCCT, Sepang. (Foto hiasan). Sumber: booking.com

KUALA LUMPUR - Pengawal keselamatan yang disyaki menyamun kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak, Khamis lepas, ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang hari ini. 
Lelaki rakyat Filipina berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi bersama seorang rakannya yang juga rakyat Filipina ketika menunggu penerbangan untuk ke Sabah. 
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kedua-dua lelaki yang didapati menggunakan kad pengenalan palsu itu ditahan di sebuah restoran makanan segera di lapangan terbang berkenaan. 
"Suspek utama berusia 27 tahun itu mengaku melakukan samun di kedai emas berkenaan. Hasil siasatan lanjut, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Pandan Jaya. 
"Ia membawa kepada penemuan sepucuk pistol Smith and Wesson, lima butir peluru, satu sarung pistol dan beberapa tag harga rantai," kata Amar Singh ketika dihubungi Bernama. 
Beliau berkata suspek utama dan rakannya berusia 28 tahun itu menggunakan kad pengenalan palsu atas identiti dua lelaki Melayu tempatan. 
Dalam kejadian Khamis lepas, seorang pengawal keselamatan lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api ke arah empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher. 
Kejadian yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit itu berlaku semasa pekerja premis itu sedang menyusun atur barang kemas sebelum suspek datang dan mengarahkan mereka menyerahkan dulang berisi barang kemas berkenaan. 
Amar Singh berkata dengan tangkapan itu, kes samun kedai emas membabitkan seorang pengawal keselamatan kedai itu sendiri dianggap selesai. 
Semalam, Bernama melaporkan dua lelaki ditahan dalam serbuan di Shah Alam dan Sentul bagi membantu siasatan kes samun kedai emas itu. - Bernama 3.11.2013

Norena Lamuddin, 27, berasal dari Lambitan, Filipina menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Hasnah Hassan


KUALA L.UMPUR - Polis semalam mengedarkan gambar dan nama seorang wanita dipercayai teman wanita pengawal keselamatan yang merompak kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak pada 31 Oktober lalu. 
Wanita yang dikenali sebagai Norena Lamuddin, 27, berasal dari Lambitan, Filipina itu dicari kerana dipercayai boleh membantu polis mencari sebahagian besar lagi barang kemas bernilai kira-kira RM150,000 yang disamun pengawal keselamatan itu. 
"Kami percaya wanita itu merupakan teman wanita kepada suspek utama dan semakan mendapati wanita itu juga menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Hasnah Hassan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah. - Kosmo! Online 7.11.2013

KUALA LUMPUR - Dua pengawal keselamatan warga Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini berhubung rompakan rantai emas bernilai RM150,000, di kedai emas Tomei Gold & Jewellery di sini, akhir bulan lepas. 
Di Mahkamah Sesyen, Rakib Asla, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan merompak 93 utas rantai emas dengan mengacukan pistol jenis Revolver .38 special model Arminius kepada pengurus kedai emas itu, L. Robert, 52, di LotG-53 KL Festival City, Taman Danau Kota, Setapak, di sini. 
Tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan kedai emas itu, didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan enam kali sebatan, jika sabit kesalahan. 
Rakannya, Hussin Jalain, 29, yang merupakan pengawal keselamatan di premis lain, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan menyimpan harta curi itu iaitu dua utas rantai emas bernilai RM3,000. 
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 
Hussin juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam kali sebatan, jika sabit kesalahan. 
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di restoran makanan segera KFC di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang, pada jam 8.30 pagi, 3 November lepas. 
Pertuduhan terhadap Hussin dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shasheeta Mohamed Hanifah. 
Pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan selepas jurubahasa mahkamah bertanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak, kedua-dua tertuduh mengangguk. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norman Mohd Nasir memohon kepada Mahkamah Sesyen supaya tarikh jatuh hukum bagi kedua-dua kes itu berjalan pada hari sama. 
Hakim, Azman Mustafa menetapkan 19 November ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam. 
Kedua-dua tertuduh yang didakwa di mahkamah kira-kira 4 petang tadi dibawa ke Penjara Sungai Buloh. - Bernama 17.11.2013

Lelaki Kecewa Potong Kemaluan

Seorang lelaki memotong kemaluannya kerana kecewa tidak mempunyai pasangan

Lokasi kejadian


Gara-gara kecewa kerana tidak mempunyai pasangan, seorang lelaki memotong sehingga putus kemaluannya sebelum terpaksa menahan kesakitan sambil berbasikal ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 
Masalahnya, lelaki terbabit bergegas ke situ dengan harapan doktor dapat menyelamatkan kemaluannya tetapi organ berkenaan tidak dibawa bersama. 
Dalam kesakitan doktor meminta lelaki terbabit kembali ke rumahnya untuk mengambil anggota sulit berkenaan sebelum ia dapat dirawat. 
Malang menimpa Yang Hu tidak berakhir di situ. 
Apabila pemuda berusia 26 tahun terbabit kembali ke hospital bersama kemaluannya, dia terkejut apabila diberitahu ia tidak dapat diselamatkan. 
Jurucakap hospital berkata, kemaluan Yang terbiar tanpa darah terlalu lama selepas dipotong. 
“Mustahil kami boleh menyambungnya semula,” katanya. 
Sementara itu rakan Yang berkata, pemuda terbabit semakin tertekan sejak berpindah dari kampung ke bandar Jianxing untuk mencari kerja. 
Walaupun bernasib baik apabila diterima bekerja di sebuah kilang pakaian, Yang kecewa kerana tidak mempunyai teman wanita. 
“Yang akhirnya terlalu kecewa dan yakin tiada mana-mana wanita ingin berkawan dengannya,” katanya. 
Pada Ahad lalu, Yang pulang dari tempat kerja dalam keadaan amat tertekan dan nekad memotong kemaluannya kerana menganggap ia sudah “tidak berguna” lagi. 
“Yang juga percaya tanpa kemaluan, dia tidak lagi memikirkan mengenai teman wanita,” katanya 
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam. 
Sementara itu rakan Yang mengecam tindakan doktor kerana tidak menyediakan ambulans kepada pemuda terbabit selepas mendapati dia cedera parah.- Agensi/myMetro

Ramai Wanita Muda Kini Sakit Jantung

Sakit jantung kini turut menyerang wanita usia 30-an

Sakit jantung sebelum ini biasanya menyerang lelaki


Statistik pengidap penyakit jantung dan diabetes di negara ini semakin ketara akibat pelbagai faktor, khususnya diakibatkan pengabaian gaya hidup sihat. 
Dr Imran Zainal Abidin
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Imran Zainal Abidin, berkata sejak lima tahun kebelakangan golongan muda yang menghidap penyakit jantung meningkat dan bukan lagi yang berusia saja. 
Malah, sebelum ini sakit jantung dideritai wanita selepas empat atau lima tahun menopaus tetapi sekarang, ia turut menyerang wanita usia 30-an. 
Dr Imran berkata, kekurangan hormon seperti estrogen selepas menopaus, antara punca memburukkan keadaan dan semua risiko terhadap penyakit ini harus ditangani sebaik mungkin. 
Katanya, pada 2008 ada kes serangan jantung yang menyerang gadis berusia 17 tahun dan berakhir dengan kematian. 
“Dia datang bersama bapanya dan mengadu sakit dada dan sesak nafas. Selepas kami lakukan bacaan ECG (Eloktro Kardiogram), tekanan darahnya didapati tidak stabil dan meninggal dalam masa 24 jam.
Pemeriksaan ECG 
“Walaupun tanpa gejala, serangan jantung penyebab kepada kematian gadis itu. Kandungan kolesterol dalam darah tinggi. Kolesterol disebabkan gaya pemakanan seseorang. Apabila hempedu tidak dapat memproses dengan baik, kolesterol ini akan menyebabkan serangan jantung. Jadi, saya sarankan orang ramai mengambil makanan berserat dan bijirin,” katanya. 
Dr Imran berkata, antara risiko penyakit jantung ia juga boleh menyebabkan darah tinggi iaitu sebanyak 73.6 peratus dan diikuti merokok sebanyak 47.1, selain amalan gaya hidup tidak sihat dengan mengambil makanan berlemak dan bukan berserat tinggi. 
Bagi diabetes, Malaysia berada di tangga ke 10 rakyatnya menghidap penyakit itu. Jepun pula antara negara paling berjaya dan wajar dijadikan contoh dari segi amalan diet sihat iaitu menggalakkan pengambilan ikan sebagai menu utama rakyatnya, sekali gus dapat mengurangkan risiko diabetes. 
“Tahun lalu, seorang wanita membuat pemeriksaan dan didapati mengalami masalah jantung tersumbat. Jadi, kita perbaiki salur darahnya. Enam bulan kemudian, wanita ini maut kerana serangan jantung. 
“Wanita itu adalah perokok dan mengamalkan sejak di bangku sekolah. Adik-beradiknya juga merokok. Ini menunjukkan, gaya hidup mereka tidak sihat memberi risiko kepada kehadiran penyakit maut ini,” katanya. 
Golongan perokok berisiko tinggi diserang sakit jantung
Beliau berkata, sepatutnya, kesihatan diri diutamakan dan jika mengikut rekod hayat hidup wanita lebih empat kali lebih tinggi berbanding lelaki. Jadi, perlu manfaatkan peluang ini sebaik mungkin dengan menjaga kesihatan. 
Dr Imran yang juga Ahli Majlis Persatuan Jantung Kebangsaan, berkata wanita lebih mudah mendapat penyakit ini antaranya disebabkan sifat semula jadi wanita itu sendiri yang lebih mementingkan keluarga berbanding kesihatan diri. 
“Wanita juga terkenal dengan sifat tahan sakit dan lasak berbanding lelaki yang lebih manja. Jadi, kesakitan yang dirasai dianggap perkara biasa menyebabkan mereka tidak ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dengan lebih cepat. Tetapi apabila pergi ke hospital, ia sudah terlambat. 
“Kandungan kolesterol dalam tubuh wanita lebih banyak berbanding lelaki menyebabkan mudah dijangkiti penyakit,” katanya. 
Kandungan kolesterol dalam tubuh wanita lebih banyak berbanding lelaki
Gejala penyakit juga berbeza antara lelaki dan wanita, iaitu kebanyakan lelaki menghidap sakit jantung mengatakan mereka mengalami sakit dada manakala wanita sering mentakrifkan kesakitan itu cuma sesak nafas. 
“Ada yang kata, pil hormon sebagai rawatan pencegahan sakit jantung. Ada yang melihat menopaus menyebabkan sakit jantung. Pada awal kajian, tiada kesan positif dilihat bagi pengambilan hormon. Tetapi kajian terkini, penggunaan pil hormon mampu mengelakkan sakit jantung. Jadi, ada kemungkinan penggunaannya mampu mengelakkan serangan jantung atau sakit jantung,” katanya. 
Kata beliau, apa yang menjadi masalah hingga kini, apabila pesakit mendapatkan rawatan tidak tahu menerangkan deskripsi sakit mereka. 
“Mereka tidak tahu jenis kesakitan, tempat yang sakit. Selalunya, pesakit jantung rasa tidak selesa pada bahagian dada. Apa yang menjadi masalah, kawasan dada adalah besar. Kadangkala, ada pesakit yang memberitahu dada mereka rasa seolah-olah berat. 
“Selalunya, rasa tidak selesa berlaku antara 5 hingga 10 minit. Ketika pesakit berjalan, ia akan rasa sakit dan selepas berehat, sakit akan hilang. Jika alami gejala ini, segeralah ke hospital,” katanya. 
Sayangi jantung anda. Ambil makanan yang rendah kandungan lemak dan makanan yang berserat

INFO: Kaedah mengawal penyakit jantung
* Makan makanan berserat seperti gandum dan oat.
* Banyakkan makan ikan atau minyak ikan.
* Amalkan kaedah masakan seperti kukus dan bukan goreng.
* Elakkan santan (santan adalah minyak paling teruk untuk kesihatan)
* Elakkan kerap mengambil daging merah
* Elakkan pengambilan telur secara kerap terutama telur burung.
* Elakkan makanan segera. 
Dua kawalan kolesterol
* HDL (baik)
* LDL (jahat)
Bagi kesihatan jantung yang baik tinggikan HDL dan rendahkan pengambilan LDL. Lebih banyak bersenam lebih tinggi HDL seseorang. 
- Nor Hatina Shuib/Berita Harian

Rabu, 30 Oktober 2013

China Pamer Kekuatan Tentera Lautnya

Tentera laut China berbaris di atas kapal selam nuklear yang berpangkalan di pelabuhan Shandong, timur negara itu. Foto: AFP

Sebuah kapal selam nuklear tentera laut China. Foto: AFP

Kapal tentera laut China semasa latihan di Zhoushan di wilayah Zhejiang di timur China tahun lalu.


BEIJING - China semalam mempamerkan kapal selam bertenaga nuklearnya dengan media menyifatkannya sebagai langkah yang tidak dijangka tetapi perlu untuk menunjukkan kepada dunia mengenai keupayaan China dari segi ketenteraan ketika ketegangan serantau semakin meningkat. 
Beberapa akhbar milik kerajaan menyiarkan berita mengenai pasukan kapal selam itu sementara rangkaian televisyen CCTV memberi tumpuan lebih banyak sejak beberapa hari lalu mengenai latihan yang dilalui pasukan kapal selam itu. 
Kapal selam bertenaga nuklear China dilancarkan pertama kali pada 1970, lapor akhbar Global Times. 
“China mempunyai kemampuan untuk memiliki kapal selam bertenaga nuklear yang kedua. Beberapa negara tidak memandang serius mengenai perkara berkenaan ketika mereka mengambil sikap bermusuh-musuhan. 
“China perlu menjelaskan bahawa satu-satunya pilihan yang ada pada mereka ialah jangan mencabar kepentingan China,” menurut rencana pengarang akhbar berkenaan. 
Langkah China mempamerkan kekuatannya itu dibuat ketika hubungan dengan Jepun semakin tegang berkait dengan pertelingkahan mengenai kepulauan Senkaku yang dikuasai Tokyo tetapi turut dituntut oleh China yang menamakannya Diaoyus. 
Beijing turut bertelagah dengan negara Asia Tenggara, khususnya Filipina, berhubung tuntutan wilayah strategi dan kaya dengan sumber asli di Laut China Selatan. 
Keadaan bertambah buruk apabila Amerika Syarikat mengisytiharkan rancangan untuk meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau itu. - AFP/myMetro

Masalah Polis Trafik Obesiti Di Bangkok

Seorang anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di sebatang jalan di Bangkok. Foto: AFP

Kerajaan sedang usaha mengurangkan bilangan anggota polis yang berperut buncit di Bangkok. Foto: AFP

Sarjan Mejar Nitas Saisaard telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram (kg). Foto: AFP

Saisaard telah berjaya mengurangkan lebar lilit pinggang sehingga 7.2 sentimeter (sm). Foto: AFP

Anggota polis trafik sedang mengikuti kelas menurunkan berat badan selama dua bulan melalui program Fit & Firm. Foto: AFP


SAMBIL mengikut rentak lagu-lagu pop Thailand, sekumpulan anggota polis trafik yang berbadan besar dan gemuk bersemangat menjalani latihan senaman. 
Ia merupakan sebahagian daripada skim yang diperuntukkan kerajaan dalam usaha mengurangkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di Bangkok. 
Diet yang tidak teratur dan terikat dengan kerja yang tidak aktif di jalan-jalan kecil di bandar tersebut, menyebabkan ramai polis trafik Thailand terdedah kepada masalah obesiti. 
Kesihatan dan imej awam yang ditampilkan melalui pegawai-pegawai berperut buncit telah menimbulkan kebimbangan. Justeru, mereka telah disaran mengikuti kelas menurunkan berat badan selama dua bulan melalui program Fit & Firm. Seramai 60 anggota polis trafik menyertai program tersebut. 
Selepas dua minggu menghadiri kursus itu, Sarjan Kanan, Mejar Nitas Saisaard berkata, walaupun tubuhnya masih besar, dia telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram (kg) dan mengurangkan lebar lilit pinggang sehingga 7.2 sentimeter (sm). 
"Apabila saya bekerja, ia pasti sukar. Sewaktu bertugas memantau perjalanan lalu lintas di tengah-tengah jalan raya, di antara laluan kenderaan, kadang-kadang saya hampir dilanggar atau terkena cermin sisi kereta," ujar Saisaard, 48, sambil mengelap peluh di dahi selepas kelas kecergasan tersebut. 
Namun, sesi dua kali seminggu termasuk yoga dan aerobik yang dilakukan, Saisaard turut berjalan seiring dengan diet baharu yang terdiri daripada buah-buahan dan sup. Keadaan itu membuatkan Saisaard terpaksa melupakan sajian kegemarannya, makanan goreng di jalanan dan semangkuk nasi putih. 
"Saya gemuk kerana makan pada lewat malam kerana sebagai polis trafik, kami mempunyai jadual yang tidak menentu," kata Saisaard yang pernah menyertai skim yang hampir sama seperti program Fit & Firm, namun tidak berjaya menurunkan berat badannya. 
Biro Polis Metropolitan Bangkok mahu anggota polis yang mempunyai garis pinggang melebihi 91sm, mempertimbangkan tawaran mengikuti program berkenaan. Untuk menarik perhatian mereka, setiap anggota yang berjaya menurunkan berat badan melebihi 10kg akan memenangi hadiah istimewa. 
"Pegawai kanan polis melihat bahawa ramai kakitangan terlalu gemuk. Jadi, mereka membuat keputusan bahawa anggota yang berkenaan perlu menurunkan berat badan. 
"Apabila polis terlalu gemuk, mereka tidak boleh bergerak pantas. Mengurangkan berat badan menjadikan mereka lebih kuat, sihat dan pantas," kata Leftenan Kolonel Suji Suksamai yang turut menyertai program tersebut. 
Sebelum ini, bagi mengatasi masalah obesiti, ketua-ketua polis cuba menggalakkan anggotanya menjalani latihan kecergasan termasuk mengikuti kursus menghilangkan lemak sejak awal tahun 2013. 
Menurut pakar kesihatan, Kawita Kruenjit yang mengetuai beberapa siri senaman dan sesi kesihatan di sebuah hospital swasta Bangkok, masalah anggota polis yang gemuk juga melibatkan isu keyakinan awam terhadap kecekapan badan keselamatan tersebut. 
"Apabila rakyat melihat anggota polis gemuk, mereka mempersoalkan kemampuan mereka untuk menangkap orang jahat," tambahnya. 
Dalam pada itu, polis mengatakan, tekanan yang dihadapi selama 15 jam mengawal lalu lintas di salah satu daripada bandar paling sesak di dunia, menjadi faktor anggotanya menjalani gaya hidup yang tidak sihat dalam aspek pemakanan. 
Bagaimanapun, kecenderungan anggota polis trafik menikmati makanan di gerai jalanan di sekitar Bangkok menyumbang kepada faktor utama masalah obesiti tersebut. 
Perkara ini disahkan oleh Doungrut Wattanakitkraileart dari Universiti Mahidol, yang menyelidik kesihatan pegawai-pegawai polis di Bangkok. 
Hasil tinjauan yang dilakukan pada tahun 2011, lebih separuh daripada 265 anggota polis trafik di wilayah berkenaan menghidap masalah kolesterol tinggi. 
"Makanan yang dijual berhampiran balai polis tidak sihat. Ia berminyak dan banyak menggunakan santan," tambahnya. 
Program Fit & Firm bukan sahaja mengurangkan berat badan tetapi turut menukar amalan dan sikap anggota polis terhadap gaya hidup sihat. 
"Kali pertama selepas 45 minit melakukan senaman aerobik tanpa henti, seluruh badan kepenatan tetapi kini, saya boleh melakukannya," jelas Sarjan Mejar Wichien Noppan yang mempunyai berat badan 90kg. - AFP/Kosmo! Online

Kepada Yang Suka Marah-marah

Ibu, bapa atau guru orang matang. Kalau dah matang, kenapa marah pada budak yang masih mentah?

Ibu, bapa atau guru orang besar. Mengapa orang besar mesti marah pada orang kecil?

Kata banyak pengalaman. Tapi kenapa tak mampu kawal kemarahan?

Kata lulusan tinggi. Tapi kenapa suka cakap jerit-jerit macam orang tak ada akai?

Bagi mereka yang suka marah-marah kat anak sendiri kerana sayang dan untuk mendidik... 
1. Kita adalah orang matang, anak kita masih tak matang, mengapa yang matang perlu marah pada yang tak matang? 
2. Kita orang besar, mereka orang kecil, mengapakah orang yang besar perlu marah pada orang yang kecil? 
3. Kita adalah orang yang berpengalaman, anak-anak tidak pernah lagi melihat dunia... mengapakah harus kita harapkan anak-anak kita faham dan selari dengan pandangan kita... 
Pernahkah terfikir mengapa dua orang marah perlu berjerit antara satu sama lain walaupun duduk bersebelah? 
Pernahkah terfikir mengapa dua orang yang saling menyayangi lebih suka membisik antara satu sama lain walaupun duduk berjauhan, atau di telefon? 
Apabila kita marah, dua hati adalah berjauhan, oleh itu, mereka memerlukan suara/nada yang kuat untuk berhubung. Masalahnya, makin dijerit, makin berjauhan. 
Bagi mereka yang kita sayang, dua hati adalah dekat, jadi tidak perlu untuk menjerit-jerit, hanya perlu membisik sudah terasa dekat. Makin dibisik, makin terasa sayang. 
Itulah keajaiban ciptaan Allah pada sistem badan manusia. 
Maka, persoalannya, jika kita ingin mendidik anak-anak kita... perlukah kita marah-marah padanya walaupun mereka berbuat silap? 
Sekiranya menggunakan pendekatan marah-marah, tanya pula diri, adakah kita mahukan anak kita mendengar kata-kata dengan hati mereka berjauhan dengan kita? 
Atau kita mendidik dengan berbisik, supaya mereka faham dengar dan hati mereka kekal dekat dengan kita? 
Apabila kita sudah mula marah-marah pada anak, tanyalah diri sendiri adakah hati kita dan anak kita sudah berjauhan? 
Hubungan ibubapa dengan anak-anak yang terbaik ialah anak-anak menganggap ibubapa sebagai sahabat karib dengan penuh penghormatan tanpa rasa segan silu untuk berbincang segala masalah dengan ibu bapa. - Tuan Ibrahim Tuan Man/Harakahdaily

Jamie Oliver Sekat Anak Sulung Guna Telefon Bimbit

Jamie Oliver menyekat anak-anak perempuannya memiliki telefon bimbit atau menyertai laman web

Jamie sendiri kerap menggunakan Instagram dan Twitter

Jamie di samping isteri dan anak-anaknya


Chef tv Jamie Oliver menyekat anak perempuannya yang sulung daripada memiliki telefon bimbit atau menyertai laman web seperti Twitter, Facebook dan Instagram kerana tidak mahu dia dibuli. 
Lelaki 38 tahun dan bapa kepada empat anak ini kerap menggunakan laman rangkaian sosial dan memasukkan gambar peribadi keluarga di Instagram. 
Tetapi dia menyekat Poppy dan adiknya Daisy daripada menggunakan laman media sosial. 
Dia memberitahu majalah Closer, "Saya mendapati anak sulung saya telah membuka akaun Instragram secara rahsia, menyebabkan saya tidak gembira dan tidak lama lagi naik atas kepada. 
"Poppy berumur 11 tahun sekarang dan hanya dia di dalam kelasnya yang masih tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit. 
"Bunyinya mungkin kedengaran kasar, tetapi saya bimbang tentang buli yang boleh berlaku di laman-laman ini." 
Oliver yang mengatakan beliau adalah kawan rapat kepada pengasas bersama Instagram Kevin Systrom, seterusnya berkata, "Saya tahu anak-anak perempuan berhadapan masa sukar pada masa lalu di sekolah jika ayah mereka keluar di tv. 
"Saya tidak mahu risiko seperti itu berlaku dalam talian juga. Ia adalah mustahil untuk dipantau." 
Oliver yang memiliki lima jenama restoran dan sebuah sekolah memasak menambah, "Saya tidak tahu berapa lama saya boleh menyekat mereka daripada rangkaian sosial dan telefon pintar, tetapi saya akan cuba selagi saya boleh!" - Mail Online



Kereta Rempuh Pengunjung Dataran Tiananmen

Sebuah kereta merempuh ruang pejalan kaki lalu terbakar di Dataran Tiananmen

Kereta tersebut dipercayai terbabas dan terbakar dan mencederakan beberapa pelancong serta polis yang berada di kawasan itu

Pegawai-pegawai kerajaan mengadakan mesyuarat untuk menilai keselamatan di bandaraya ini

Pada kebiasaannya kawasan ini berada dalam kawalan keselamatan yang ketat

Kereta menyimpang dari jalan di hadapan pintu masuk utara sebelum merempuh pejalan kaki

Pada tahun 1989 kawasan ini menjadi tempat bantahan para pelajar pro demokrasi yang berjaya ditumpaskan oleh tentera

Anggota polis berjalan di hadapan potret Mao Zedong, pengasas pemerintahan komunis China


BEIJING - Lima orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah kereta merempuh ruang pejalan kaki lalu terbakar di Dataran Tiananmen. 
Polis memaklumkan, kereta tersebut dipercayai terbabas dan terbakar sehingga mencederakan beberapa pelancong serta polis yang berada di kawasan tumpuan pelancongan itu. 
"Ketiga-tiga mangsa di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. 
Saksi berkata, dia melihat beberapa kereta bomba, polis dan ambulan bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa. - Reuters
Asap hitam di Medan Tiananmen. Foto: AFP

Anggota polis paramilitari menahan seorang wanita yang melemparkan kertas, dipercayai kertas petisyen berhampiran pintu masuk Kota Larangan, lokasi potret gergasi pengerusi parti komunis China Mao Zedong digantung dan tempat sama kemalangan kereta berlaku semalam (28.10.2013). 
Polis China kini memburu dua suspek dipercayai dari wilayah Zinjiang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan nahas dahsyat di Medan Tiananmen, apabila sebuah kenderaan terhumban ke kawasan pejalan kaki dan terbakar, menyebabkan lima orang terbunuh manakala 38 yang lain cedera. - REUTERS/Berita Harian

Selasa, 29 Oktober 2013

Restoran Kari Kegemaran PM Britain Diserbu

David Cameron bersama isterinya, Samantha dan anak-anak mereka sedang menikmati hidang di Restoran Shan

Serbuan itu merupakan satu kejutan kepada semua kakitangan restoran yang telah dibuka sejak tahun 1999

Hidangan kegemaran Cameron di restoran tersebut ialah ayam rogan josh yang berharga £5,95 (RM30)


Restoran kari kegemaran David Cameron telah diserbu untuk memberkas pendatang tanpa izin. 
Beberapa orang pegawal sempadan telah menyerbu Restoran Shan di Witney, Oxfordshire, awal bulan ini dan menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang kini akan dihantar pulang dari UK. 
Restoran ini dengan bangganya telah memaparkan gambar Cameron bersama kakitangannya di tingkap, dan gambar Cameron makan bersama isteri dan anak-anaknya di laman web mereka. 
Restoran ini terletak di Corn Street, berdekatan pejabat kawasan Cameron. 
Abdul Chowdhury, pengurus restoran berkata, beliau telah memeriksa dokumen ketiga-tiga pekerja itu ketika mereka ditemuduga dan berfikir mereka adalah pendatang sah. 
Hidangan kegemaran Cameron di restoran tersebut ialah ayam rogan josh yang berharga £5,95 (RM30). Isteri Cameron pula menggemari taaka dhaal berharga £3 (RM15) dan jumlah bil biasanya sekitar £55 (RM278). 
Pengurus itu berkata tangkapan merupakan satu kejutan kepada semua kakitangan restoran yang telah dibuka sejak tahun 1999 itu. 
Restoran itu boleh dikenakan denda sehingga £10,000 (RM50,617) bagi setiap pekerja haram. 
Pegawal sempadan berkata, salah seorang lelaki berumur 21, telah tinggal melebihi tempoh visa manakala dua lagi berusia 28 dan 35 tahun, telah memasuki negara itu secara haram. 
Serbuan mengejut itu dilakukan pada jam 8 malam pada hari Jumaat 18 Oktober lalu. 
Pemilik restoran telah mengadu tentang kekurangan chef masakan kari akibat daripada peraturan imigresen kerajaan yang ketat. 
Jurucakap Downing Street enggan mengulas. - Mail Online



Nenek Dari UK Tersilap Penerbangan

Hajat Lamenda Kingdon, 62, hendak Granada, Sepanyol

Tetapi pesawat yang beliau naiki mendarat di Grenada, Pulau Caribbean

Lamenda, penghidap kanser payudara dan tumor otak mahu ke istana Alhamra di Granada bagi menunaikan hajat terakhirnya

Bagaimanapun beliau bernasib baik kerana diberi layanan kelas pertama di Grenada, Pulau Caribbean


LONDON - Hajat seorang nenek ke Granada, Sepanyol tidak kesampaian apabila pesawat beliau mendarat di Grenada, Pulau Caribbean. 
Lamenda Kingdon, 62, penghidap kanser payudara dan tumor otak dari Playmouth berkata, beliau mahu ke istana Alhamra di Granada bagi menunaikan hajat terakhirnya. 
“Saya terkejut apabila kru pesawat mengatakan penerbangan itu bukan ke Sepanyol tetapi ke Grenada, Caribbean,” katanya. 
Menurutnya, jangka masa ke Granada di selatan Sepanyol hanya mengambil masa dua jam berbanding ke Grenada yang mengambil masa 10 jam termasuk merentas Atlantik. 
“Saya mengambil pesawat dari Gatwick menerusi pesawat British Airways dan kesilapan itu hanya disedari selepas dua jam berada dalam pesawat. Tempahan penerbangan dilakukan melalui telefon. Ketika melihat tiket berkenaan, saya fikirdestinasi itu mempunyai perbezaan waktu dan saya hanya membiarkan sahaja,” katanya. 
Sejurus mendarat di Caribbean, beliau diberi layanan kelas pertama dan mengambil penerbangan keesokannya dari St Lucia, Malaga untuk ke Granada dengan dibiayai penuh oleh syarikat penerbangan tersebut, laporan dipetik dari DailyMail. - Sinar Harian