Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 23 Mei 2014

Kemalangan Di Jalan Gua Musang-Kuala Krai

Mangsa bergelimpangan di jalan raya Gua Musang-Kuala Krai selepas kemalangan yang melibatkan bas ekspres

Bas ekspres ini terbabas lalu merempuh seorang mangsa sebelum merempuh van


GUA MUSANG - Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres, van dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 72 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini semalam. 
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata, pekerja syarikat penyelenggaraan jalan, Mohd Zakarman Bedol, 41, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Mangsa sedang mengawal lalu lintas semasa kejadian itu berlaku 12.15 tengah hari. 
Lima lagi yang cedera adalah masing-masing dua daripada syarikat penyelengaraan itu dan tiga pekerja Institut Kerja Raya Malaysia, katanya kepada pemberita di sini. 
Saiful Bahri berkata pemandu bas ekspres terbabit yang berusia 54 tahun bersama 10 penumpang tidak mengalami kecederaan dan mereka kemudian meneruskan perjalanan dengan bas lain. 
Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika lima buah bas ekspres sedang melalui jalan berkenaan dari Kota Baharu ke Kuala Lumpur manakala mangsa yang maut bersama lima yang cedera sedang menjalankan kerja mengorek jalan untuk ujian tahap kualiti jalan yang baharu diturap tar. 
Katanya bas ekspres yang berada di barisan kedua dipercayai terbabas lalu merempuh Mohd Zakarman yang sedang mangawal lalu lintas di situ sebelum merempuh sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik syarikat penyelenggaraan itu yang diletakkan di bahu jalan. 
Saiful Bahri berkata lima lagi mangsa yang sedang menjalankan kerja mengorek jalan bersebelahan dengan van berkenaan, terpelanting dan terjatuh di atas jalan apabila van yang dirempuh bas ekspres itu terkena mereka. 
“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemandu bas ekspres terbabit juga ditahan sementara untuk diambil keterangan,” katanya. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. - Bernama/Harakah Daily


Tentera Thailand Rampas Kuasa

Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocah (tengah) mengumumkan rampasan kuasa melalui siaran media

Jeneral Prayuth Chan-ocah kini memerintah Thailand melalui pemerintahan tentera

Anggota tentera berkawal di Kelab Tentera Darat ketika kumpulan yang menyokong dan menentang kerajaan bermesyuarat

Pihak tentera segera membuat rondaan selepas Jen Prayut bermesyuarat dengan pemimpin-pemimpin anti dan pro-kerajaan

Tentera mengarahkan penyokong pro-kerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah beredar

Lapangan yang sepatutnya menjadi tempat perhimpunan penyokong pro-kerajaan dikawal oleh tentera

Pihak tentera memeriksa kawasan tempat penyokong anti-kerajaan melancarkan protes berdekatan Rumah Kerajaan

Anggota tentera berkawal di luar bangunan Kementerian Pertahanan sebaik Jen Prayut mengumumkan rampasan kuasa


BANGKOK- THAILAND. Tentera Thailand melakukan rampasan kuasa hari ini setelah pihak yang bertelagah gagal mencapai kata sepakat tentang cara untuk menamatkan pergolakan politik yang berlarutan di negara ini selama lebih setengah tahun. 
Panglima tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha mengumumkan perkara itu melalui televisyen tengah hari ini. 
Menurut laporan media tempatan, Jen Prayuth mengemukakan cadangan tentang cara untuk menyelesaikan konflik politik di negara ini, termasuk pengunduran kerajaan sementara, tetapi ditolak.  
Pemimpin tunjuk perasaan daripada kumpulan yang menyokong dan menentang kerajaan juga ditangkap.  
Pihak bertelagah yang bermesyuarat di Kelab Tentera Darat sejak dua hari lepas gagal mencapai persetujuan berhubung penyelesaian terhadap konflik politik yang melanda Thailand. 
Kerajaan sementara dan kumpulan penyokong kerajaan dikenali sebagai Baju Merah, yang yakin mencapai kemenangan melalui peti undi, mahu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.  
Kerajaan sementara, yang enggan berundur untuk memberi laluan kepada pembentukan Kabinet berkecuali, mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya agar pilihan raya umum diadakan pada 3 Ogos.  
Bagaimanapun, pembangkang dan Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat mendesak kerajaan sementara berundur dan perdana menteri baharu yang berkecuali, dilantik. 
Mereka juga mahu pembaharuan dilakukan sebelum pilihan raya umum diadakan.  
Bagaimanapun, keadaan di ibu negara Thailand ini, tenang. - Bernama

 Rampasan Kuasa Kali Ke-19


Rampasan kuasa tentera bermakna kehadiran tentera yang lebih besar di ibu negara

Penyokong anti-kerajaan bersorak selepas tentera mengambil alih kuasa pemerintahan


BANGKOK - Ketua Tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha berkata, langkah merampas kuasa semalam diambil sebagai memastikan keamanan kekal di negara itu. 
Sejurus sebelum itu, semua tokoh utama yang terbabit dalam konflik politik di Thailand dibawa dari Kelab Tentera tempat berlangsung pertemuan membincangkan langkah mencari penyelesaian kemelut semasa ke bangunan berek di kawasan lain. 
Kecuali wakil Senat dan agensi pengendali pilihan raya Thailand, semua peserta perbincangan itu dibawa menaiki van tentera dengan kawalan ketat. 
Mereka ialah wakil kerajaan sementara diketuai Chaikasem Nitisiri, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat, Suthep Thaugsuban, wakil Barisan Bersatu Menentang Kediktatoran, Jatuporn Prompan, pemimpin Parti Pheu Thai Left Jen Viroj Pao-in dan pemimpin Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva. 
Dalam pengumuman awalnya, Prayuth berkata, tentera dan polis memutuskan untuk menguasai kerajaan bagi mengelak keganasan tercetus. “Thailand kini ditadbir Majlis Keamanan Dan Kawalan Ketenteraman Awam Kebangsaan,” katanya. 
Sementara itu, malam tadi, agensi berita melaporkan tentera kini menggantung perlembagaan Thailand, melarang perhimpunan membabitkan lebih daripada lima orang di sebarang tempat dan semua siaran televisyen serta radio digantung. 
Sebaliknya, semua siaran mesti datang daripada pihak tentera ‘bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat.’ Tidak cukup dengan itu, tentera mengarahkan pemangku perdana menteri Niwatthamrong Boonsongphaisan dan Kabinetnya melapor diri di kawasan yang ditetapkan di Bangkok. - Agensi/myMetro

Khamis, 22 Mei 2014

Pad Brek Tiruan 'Buatan Kampung Baru' Dirampas

Pad brek tulen dan berkualiti tinggi perlu untuk keselamatan ketika memandu kenderaan di jalan raya 

Pad brek perlu diganti apabila telah haus atau digunakan dalam tempoh masa yang lama

Pegawai KPDNKK merampas pad brek tiruan jenama terkenal Jepun yang dirampas di Kampung Baru Seksyen U19, Sungai Buloh


SUNGAI BULOH - Sesiapapun mungkin tidak menyangka alat ganti kenderaan `tulen’ buatan Jepun dibeli sebaliknya dihasilkan sebuah syarikat pengeluar alat ganti tiruan terletak di Kampung Baru Seksyen U19 di sini. 
Syarikat milik lelaki tempatan itu dikesan memperdaya ramai pelanggan di seluruh negara dengan taktik meletakkan pelekat jenama produk terkemuka Jepun pada kotak produk alat ganti tiruan diedarkan. 
Taktik ‘menjual’ nama jenama alat ganti Jepun itu secara haram terbongkar apabila sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, melakukan serbuan mengejut ke lokasi itu jam 1 petang semalam. 
Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, anggota KPDNKK berjaya merampas 8,460 unit pad brek menggunakan jenama terkenal buatan Jepun. 
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Malaysia Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan dilakukan pihaknya sejak seminggu lalu. 
Katanya, siasatan mendapati syarikat terbabit dikesan menghasilkan alat ganti tiruan dengan jenama Jepun sejak tiga tahun lalu. - myMetro

Tunku Bendahara Kedah Mangkat

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Tunku Annuar. Foto: myMetro

Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah berangkat memberi penghormatan terakhir.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim menyiram air mawar di pusara Almarhum Tunku Annuar. Foto: myMetro


ALOR SETAR - Suasana pilu menyelubungi rakyat Kedah yang hadir di Makam Diraja Langgar, di sini, sebaik jenazah Almarhum Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah, 75, tiba di pekarangan makam untuk disemadikan, semalam. 
Jenazah Almarhum Tunku Annuar selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, di sini, jam 5.20 petang selepas diarak 20 kilometer menaiki pedati diraja melalui Jalan Sultanah, Jalan Titi Gajah, Jalan Hutan Kampung dan seterusnya ke Jalan Langgar. 
Terdahulu, Almarhum yang juga Tunku Bendahara Kedah mangkat pada jam 12.20 tengah malam semalam di Hospital Pantai Ipoh, Perak akibat serangan jantung ketika berhenti makan di Ipoh sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar. 
Jenazah Almarhum dibawa pulang ke Istana Kuala Cegar sebelum ke Balai Penghadapan di Istana Anak Bukit untuk disembahyangkan dan dibawa berarak ke Makam Diraja Jalan Langgar pada jam 3.40 petang untuk disemadikan selepas solat Asar. 
Sebaik jenazah Almarhum disembahyangkan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai tanda penghormatan terakhir. 
Almarhum meninggalkan seorang balu, Toh Puan Bendahara Nor Suzana Abdullah dan empat cahaya mata iaitu Tunku Putra Badlishah, Tunku Azudin Shah, Tunku Johanez dan Tunku Marina. 
Upacara pemakaman dihadiri kerabat Diraja Kedah termasuk Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan pemimpin negeri. 
Turut hadir, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bersama Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim Davidson. 
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. - myMetro

Bukan Senang Nak Berbakti

Normah (berdiri) bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya. Foto: myMetro

Normah bersama penghuni buntu mengenang nasib mereka. Pusat jagaan ini diarah tutup oleh pihak berkuasa. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Apapun yang terjadi, saya tetap pertahankan pusat ini dan tidak rela berpisah dengan mereka (penghuni) yang sudah dianggap macam darah daging sendiri. 
“Saya tidak minta apapun, selain mengharapkan belas ihsan dan pertimbangan pihak berkaitan untuk memudahkan saya meneruskan kerja murni ini,” kata Normah Adelan, pemilik Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Nur di Titiwangsa di sini, semalam. 
Normah menyatakan pendiriannya itu selepas pusat yang menempatkan 60 penghuni termasuk warga emas, kanak-kanak dan OKU berusia antara lapan bulan hingga 90 tahun itu diarahkan tutup dan berpindah berikutan beroperasi tanpa kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 
Beliau berkata, dia membuka pusat itu bersama suaminya sejak 2003 namun permohonannya menjalankan operasi pusat itu masih gagal diperoleh hingga kini. 
“Sudah banyak kali saya turun naik pejabat untuk meminta kelulusan namun ia tidak diluluskan dengan alasan lot rumah ini yang berada di bahagian tengah dan tidak sesuai dijadikan pusat untuk menempatkan penghuni selain turut mendapat tentangan daripada penduduk setempat. - myMetro

Rabu, 21 Mei 2014

Peminat Spider-Man Meninggal Dunia

Brayden Denton, 5, (kanan) peminat Spider-Man meninggal dunia akibat sakit kanser otak

Keranda Brayden dibawa dari rumahnya ke tanah perkuburan.

Brayden dan ibunya bersama Spider-Man di Chicago

Brayden meminati Spider-Man sejak berusia 3 tahun

Brayden semasa menyambut hari jadi ke-5 tahun

Kini Brayden telah tiada


INDIANAPOLIS - Perjalanan terakhir seorang ‘wira kecil’ yang tewas dalam pertarungan melawan kanser otak diwarnai dengan kehadiran ramai watak adiwira kegemarannya, lapor media semalam. 
Ketika keranda berisi mayat Brayden Denton dibawa ke tanah perkuburan, enam pengusung memakai kostum seperti Spider-Man, Thor, Hulk, Superman, Iron Man dan Batman bagi mengenang minat mendalam ditunjuk kanak-kanak terbabit ketika hayatnya. 
Menurut ibu Denton, Staci, melihat mereka membawa keranda Denton, dia berpendapat pasti anaknya sangat teruja kerana memang itulah dunia yang diimpikannya. 
“Sejak April tahun lalu Denton menghidapi kanser otak dikenali Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DPIG). 
“Sejak itu dia berjuang untuk sembuh dan menjalani 30 sesi rawatan radiasi,” katanya. 
Sepanjang waktu itu, kata Staci, Denton, 5, mengekalkan minatnya terhadap watak adiwira terutama Spider-Man. 
Menghargai minat ditunjuk Denton, mereka turut menghadiahkan kek hari lahir dengan tema Spider-Man kepada budak terbabit. 
“Walaupun Denton teramat lemah, dia tidak pernah melepaskan peluang menonton Spider-Man,” katanya. 
Idea menggunakan watak adiwira untuk majlis pengebumian Denton diilhami ayahnya selepas budak terbabit meninggal dunia pada 8 Mei lalu. 
Staci yang memakai baju Spider-Man ketika ditemui berkata, di mata Denton, seseorang yang berpakaian kemas bukanlah individu memakai sut dan tali leher. - Agensi/myMetro

Tentera Isytihar Undang-Undang Tentera Di Thailand

Tentera Thailand semalam mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera di negara itu

Tentera menempatkan pasukan mereka di tengah Bangkok dalam usaha ‘menstabilkan negara’

Tentera Thailand berjalan di luar bangunan Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand (NBT)

Tentera Thailand berada di ruang legar stesen tv Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Penyiaran Thailand di Bangkok 

Tentera Thailand mengisytiharkan undang-undang tentera selepas negara itu dibelenggu kemelut politik selama enam bulan

Bagaimanapun kehidupan di bandar raya Bangkok masih berjalan seperti biasa

Penduduk Bangkok meneruskan aktiviti seharian seperti biasa

Tentera Thailand mengambil kedudukan di tengah-tengah persimpangan utama berdekatan pusat membeli-belah mewah di Bangkok


BANGKOK - Tentera Thailand semalam mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera dengan menempatkan pasukan mereka di tengah Bangkok dalam usaha ‘menstabilkan negara’ selepas dibelenggu kemelut politik selama enam bulan. 
Namun, mereka menafikan akan melakukan rampasan kuasa. 
Tindakan mengejut menyaksikan tentera mengambil alih kawalan keselamatan di negara itu dilaksanakan berikutan keadaan tidak menentu dan sehari selepas perdana menteri sementara enggan meletakkan jawatan. Walaupun pengisytiharan itu dibuat menerusi beberapa stesen televisyen di negara itu, kehidupan di bandar raya berkenaan masih berjalan seperti biasa. 
Sekolah, pusat perniagaan dan tapak pelancongan beroperasi seperti biasa manakala keadaan trafik di Bangkok berjalan lancar. 
Berhampiran sebuah pusat beli-belah mewah di Bangkok, orang ramai menyaksikan pasukan tentera lengkap bersenjata berkawal. Pemangku Perdana Menteri Thailand, Niwattumrong Boonsongpaisan berkata, dia tidak dimaklumkan mengenai pengisytiharan itu. 
Dia kemudian memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkembangan terbaru itu, namun lokasi mereka dirahsiakan. 
Dalam kenyataannya, Niwattumrong berkata, kerajaan berharap tindakan yang diambil tentera itu dapat mengembalikan keamanan di Thailand. 
Bagaimanapun, status yang ditulis Menteri Pendidikan Chaturon Chaisang di Facebook menyatakan undang-undang tentera bukan jawapan kepada permasalahan dihadapi negara itu. Malah, katanya, ia mungkin menimbulkan keadaan yang memaksa tentera melakukan rampasan kuasa. 
“Masalah dihadapi Thailand adalah politik dasar yang mesti diselesaikan menerusi demokrasi, bukan ketenteraan atau tindakan keselamatan,” katanya. - AP/myMetro

Akibat Kena Buang Dari Universiti

Danielle Shea (foto kecil) mempunyai cara tersendiri untuk merahsiakan kegagalannya menamatkan pengajian di universiti. 

Danielle ditahan kerana membuat panggilan palsu untuk menggagalkan majlis konvokesyen


HAMDEN, Connecticut - Seorang bekas siswa Universiti Quinnipiac mempunyai cara tersendiri untuk merahsiakan kegagalannya menamatkan pengajian daripada diketahui ibu bapanya. 
Menjelang majlis konvokesyen, Danielle Shea, 22, menghubungi pusat pengajiannya dan mendakwa ada bom menunggu masa untuk meletup di situ. 
Jurucakap polis berkata, Danielle membuat panggilan palsu semata-mata mahu menggagalkan majlis berkenaan, sekali gus mengelak nasibnya yang dibuang belajar daripada diketahui ibunya. 
Danielle dibuang dari universiti itu selepas menghabiskan ribuan dolar wang dihantar ibunya dari semasa ke semasa. Danielle kemudian ditahan polis dan mengaku menelefon pejabat keselamatan universiti untuk melaporkan kononnya ada bom disembunyikan di perpustakaan kira-kira 5.40 petang kelmarin. 
Selepas 17 minit panggilan pertama dibuat, Danielle menelefon kali kedua dan berkata: “Beberapa bom berada dalam kampus dan anda masih belum mengosongkan dewan konvokesyen. Itu bukan idea yang baik.” Selepas pemeriksaan diadakan polis gagal menemui bom yang didakwa, namun pihak universiti tetap memindahkan majlis ke kawasan baru. 
Danielle ditahan di tempat kejadian ketika memakai jubah dan topi graduan. Dia kini ditahan dengan jaminan berjumlah AS$20,000 (RM64,400). - Agensi/myMetro