Rabu, 26 Jun 2013

Bina Pesawat Terbang Daripada Besi Buruk

Pesawat yang dibina oleh Gabriel Nderitu di halaman rumahnya di Kenya menggunakan enjin kilang makanan haiwan

Nderitu menggunakan bar aluminium, bolt dan kepingan plastik untuk membuat bingkai pesawat ini

Aminu Abubakar sedang mengimpal rangka helikopter yang dibina menggunakan besi buruk pada tahun 2007

Muhammad Abdullahi, 24, berdiri di sisi helikopter yang dibinanya pada tahun 2007

Abdullahi, pelajar fizik Nigeria membina helikopter sendiri menggunakan alatan kereta lama, motosikal dan pesawat Boeing 747

Hasil ciptaan helikopter ini membantu Abdullahi mendapat biasiswa untuk belajar penyelenggaraan pesawat di UK

Abdullahi duduk dalam helikopter ciptaannya yang dibina menggunakan alatan terpakai daripada kereta


Tidak ramai di antara kita mengambil risiko untuk membina pesawat sendiri. 
Namun jurutera amatur di Afrika telah membuat pesawat mereka sendiri dengan hanya menggunakan besi buruk, buku panduan dan penambahbaikan. 
Walaupun kekurangan bahan, latihan dan wang, namun mereka telah berjaya membina pesawat mereka sendiri. 
Pesawat yang dibina oleh Gabriel Nderitu di halaman rumahnya di Kenya, menggunakan enjin yang pernah digunakan untuk kilang makanan haiwan. 
Beliau menggunakan bar aluminium, bolt dan kepingan plastik untuk membuat bingkai dan melekat bahagian-bahagian tertentu dengan gam. 
Manakala tiga penduduk Somaliland, Mohamed Abdi Barkadle, Saed Abdi Jide dan Abdi Farah Lidan membina helikopter mereka menggunakan enjin van lama dan besi buruk kerana tidak mempunyai sokongan kewangan pada tahun 2010. 
Mereka berharap untuk menggunakan pesawat mereka untuk melawan kebakaran. 
Farmhand Onesmus Mwangi pula berjaya membina sebuah helikopter 25 kilogram daripada bahan buangan yang dikutip dari seluruh kampung di Magomano. 
Menurut BBC, pemuda berusia 20 tahun itu berhenti sekolah pada usia 12 tahun dan tidak mempunyai latihan penerbangan. 
Tetapi Mwangi telah berjaya membina pesawat dalam tempoh tujuh bulan walaupun bekerja dalam bidang pertanian sepenuh masa. 
Tidak diketahui sama ada pesawat itu boleh terbang tetapi Mwangi mendakwa pesawat itu telah berjaya naik satu kaki dari tanah. 
Mwangi berkata, "Saya membina helikopter untuk mempamerkan bakat saya, dengan harapan orang akan melabur dan memberi saya peluang untuk membina perkara-perkara yang lebih besar dan lebih baik." 
Tetapi tidak lama selepas Mwangi mengumumkan helikopter nya pada awal tahun ini, majikan beliau telah memecatnya dan polis telah mengharamkan beliau daripada terbang kerana risiko keselamatan. 
Emeka Okafor, kurator Maker faire Afrika, sebuah acara tahunan pan-Afrika yang mempamerkan kebijaksanaan dan inovasi berkata, pencipta penerbangan di negara membangun mempunyai sumber yang terhad untuk mempromosikan hasil ciptaan mereka. 
Beliau berkata, "Pada tahap yang sangat asas, apa yang mendorong mereka adalah rasa ingin tahu" 
Namun terdapat beberapa kisah kejayaan, Mubarak Muhammad Abdullahi, 24, pelajar fizik Nigeria menjadi salah seorang daripada mereka. 
Beliau menghabiskan masa hampir setahun membina helikopter sepanjang 12 meter menggunakan alatan daripada kereta lama, motosikal, dan juga pesawat Boeing 747 yang terhempas. Dia menggunakan wang yang disimpan dari upah membaiki telefon bimbit dan komputer. 
Pesawat berwarna kuning terang yang beliau bina dengan menggunakan enjin Honda Civic siap pada tahun 2007 dan boleh terbang dengan ketinggian lebih dua meter. Hasil ciptaan itu membantu beliau mendapatkan biasiswa untuk belajar penyelenggaraan pesawat di UK.

Khabar Dari Masjidil Haram

Ribuan umat Isalam mengunjungi Kota Makkah untuk melakukan umrah. Foto: Tempo


Pengunjung sibuk mengerjakan ibadah, para pekerja pula sibuk dengan kerja-kerja pengubahsuaian Masjidil Haram. Foto: Tempo

Seorang penduduk tempatan sedang melihat kerja-kerja pengubahsuaian. Foto: Tempo

Umat Islam yang berziarah ke Masjidil Haram sedang melakukan tawaf. Foto: Tempo

Pemandangan di Masjidil Haram pada waktu malam. Foto: Tempo

Kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan dekat Menara Jam Diraja Makkah. Foto: Tempo

Berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan yang baru balik mengerjakan umrah ke Makkah, projek pembesaran dan pengubahsuaian Masjidil Haram sedang berjalan rancak pada sekarang ini. 
Kerja-kerja pembesaran dan pengubahsuaian dilakukan secara drastik dan melibatkan penggunaan jentera-jentera berat seperti kren dan jentolak. 
Ketenteraman dan keselesaan melakukan ibadah di masjid tersebut pada waktu siang agak terganggu sedikit oleh bunyi jentera berat dan habuk. 
Kontraktor dan para pekerja mereka sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja pembinaan sebelum tiba musim haji yang akan datang.



Isnin, 24 Jun 2013

Fenomena Supermoon

Supermoon dilihat di belakang Memorial Jefferson di Washington DC

Supermoon dilihat di atas Patung Liberty, New York

Supermoon di atas kuil Poseidon, kuil dewa laut purba Yunani

Bagaimanapun Supermoon sukar dilihat di Malaysia kerana negara sedang dilanda jerebu


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia malam tadi menyaksikan fenomena kedudukan bulan paling hampir dengan bumi yang dikenali sebagai Lunar Perigee atau Supermoon. 
Fenomena itu hanya berlaku sekali setahun. Bulan yang disaksikan oleh orang ramai malam tadi merupakan bulan paling besar boleh dilihat oleh rakyat negara ini. 
Bagaimanapun, jerebu buruk yang melanda beberapa kawasan telah mengganggu orang ramai melihat fenomena tersebut. 
Satu kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) semalam memberitahu, orang ramai dapat melihat bulan berada pada fasa penuh dan uniknya bulan penuh kali ini merupakan bulan penuh yang terletak paling hampir dengan bumi iaitu pada jarak 356,989 kilometer. 
“Keadaan ini berlaku kerana bulan mempunyai orbit yang sedikit bujur, bukan berbentuk bulat sempurna dan ini menyebabkan jarak bulan dengan bumi sentiasa berubah-ubah. 
“Kesan fenomena jarak bulan yang dekat dengan bumi menyebabkan berlaku air laut pasang surut yang besar berbanding pada hari-hari kebiasaan,” kata kenyataan itu lagi. - Kosmo

Pesawat Nahas Semasa Pertunjukan Udara

Pesawat yang mengambil bahagian dalam acara Vectren Air Show kelmarin terhempas dan meletup

Sebelum nahas berlaku, pelagak ngeri Jane Wicker duduk di atas sayap pesawat ini

Pesawat kemudian hilang kawalan dan Jane Wicker yang sebelumnya duduk di atas sayap pesawat telah tergantung

Sebelah sayap pesawat kemudian menyentuh tanah

Saksi di tempat kejadian berkata, mereka mendengar jeritan sebelum pesawat terhempas

Seorang saksi berkata, beliau percaya pesawat itu terbang 'terlalu rendah dan terlalu perlahan'

Seorang juruterbang dan seorang pelagak ngeri terkorban dalam nahas ini

Jane Wicker terbunuh akibat kejadian itu

Turut terbunuh bersama Jane Wicker ialah juruterbang pesawat, Charlie Schwenker

Jane Wicker, seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya


DAYTON, Ohio - Sebuah pesawat yang mengambil bahagian dalam acara Vectren Air Show kelmarin terhempas dan meletup. 
Dalam insiden itu, seorang juruterbang dan seorang pelagak ngeri terkorban. 
Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Dayton, Linda Hughes dan Pegawai Lebuh Raya Negeri Ohio, Leftenan Anne Ralston mengesahkan kejadian tersebut. 
Kejadian malang itu berlaku sekitar pukul 12.45 petang waktu tempatan. Tiada penonton dilaporkan cedera dan acara itu dibatalkan sebaik sahaja kemalangan berlaku. 
Satu klip video menunjukkan pesawat tersebut berpusing ketika pelagak ngeri, Jane Wicker duduk di atas sayapnya. Ia kemudian gagal dikawal dan terhempas di atas padang dan terbakar. 
"Secara tiba-tiba saya dengar orang ramai menjerit dan nampak bebola api," kata seorang penonton, Stan Thayer. 
Pertunjukan udara yang disifatkan sebagai antara yang tertua di Amerika Syarikat itu biasanya mampu menarik kira-kira 70,000 penonton setiap kali dianjurkan. - AP/Kosmo

Patung Purba Di Muzium Berpusing Sendiri

Kurator artifak Campbell Price, 29, yang menjadi individu pertama mengesan keanehan berkenaan

Patung setinggi kira-kira 25.5 sentimeter itu mula dipamerkan kepada orang awam sejak 80 tahun lalu dalam kotak kaca

Kakitangan muzium memasang kamera untuk merakamkan keadaan patung berkenaan pada setiap saat selama seminggu

Berdasarkan rakaman pada malam pertama, mereka terkejut apabila mendapati patung berkenaan berpusing sendiri

Pada tengah hari esoknya patung itu berpusing hampir satu perempat pusingan menghadap ke kiri

Pagi esoknya sekali lagi patung itu berpusing lebih jauh dari kedudukan asal

Pada hari terakhir patung telah berpusing hampir 360 darjah membelakangi pengunjung muzium


MANCHESTER - Satu patung purba dari Mesir yang dipamerkan di sebuah muzium menimbulkan kegemparan apabila ia bergerak dan dipercayai ada kaitan dengan kewujudan semangat dalam objek itu yang cuba keluar dari situ. 
Patung batu berusia 4,000 tahun itu dilaporkan berpusing perlahan-lahan sehingga 360 darjah walaupun berada dalam kotak kaca yang dikunci rapi. Patung setinggi kira-kira 25.5 sentimeter itu mula dipamerkan kepada orang awam sejak 80 tahun lalu dan didakwa menjadi persembahan kepada dewa Osiris. 
Masyarakat Mesir purba menganggap Osiris sebagai dewa kematian. Hanya beberapa kakitangan Muzium Manchester dibenarkan mengakses patung berkenaan. Seorang daripada mereka ialah kurator artifak Campbell Price, 29, yang menjadi individu pertama mengesan keanehan berkenaan. Kata Price, kebanyakan pakar Mesir purba tidak percaya kepada benda karut, tetapi dia masih tertanya-tanya bagaimana kedudukan patung itu boleh berubah sendiri. “Pada satu hari saya dapati patung ini menghadap ke arah lain dan sehari kemudian, ia beralih ke arah lain. 
“Tiada objek lain yang dipamerkan di muzium ini beralih kedudukan dan ia sangat luar biasa,” katanya. Menurut Price, masyarakat Mesir purba percaya patung dewa seperti itu boleh menjadi tempat alternatif kepada roh seseorang selepas kematiannya. “Tetapi mereka pun akan terkejut jika patung seperti ini bergerak sendiri,” katanya. 
Disebabkan kejadian aneh itu, kakitangan muzium kemudian memasang kamera untuk merakamkan keadaan patung berkenaan setiap saat selama seminggu. 
Berdasarkan rakaman itu, mereka terkejut apabila mendapati patung berkenaan membuat pusingan 360 darjah. Antara penjelasan yang dapat difikirkan ialah, kesan gegaran daripada tapak kaki pengunjung muzium, atau akibat trafik di luar bangunan. 
Bagaimanapun, ia masih gagal menjelaskan mengapa patung itu tidak pernah bergerak sendiri sebelum ini. Price berkata, selama beberapa dekad patung itu diletakkan dalam bekas kaca dan ia tidak pernah bergerak sendiri. Sesetengah pihak percaya patung itu membawa sumpahan firaun dan membawa kecelakaan kepada sesiapa yang mencurinya dari kubur zaman silam. - Agensi/myMetro

Jumaat, 21 Jun 2013

Dahulu Planet Marikh Ada Oksigen

Kenderaan robotik Spirit milik NASA yang digunakan untuk mengkaji meteorit dan batu-batu di atas permukaan Marikh

Ini ialah meteorit Marikh yang jatuh ke Bumi

Ahli-ahli sains membandingkan data meteorit yang jatuh ke Bumi dengan data batu di Marikh

Ahli sains percaya oksigen wujud di Marikh lebih awal daripada di bumi.


Saintis percaya, Marikh mempunyai suasana yang kaya dengan oksigen lebih daripada satu bilion tahun sebelum bumi. 
Pemeriksaan ke atas meteorit dan batu-batu di planet itu menunjukkan oksigen telah menjejaskan permukaan Marikh kira-kira empat bilion tahun yang lalu. 
Di bumi, oksigen tidak terbina dalam kuantiti yang ketara dalam atmosfera sekurang-kurangnya selama 1,500 juta tahun. 
Ahli-ahli sains membandingkan meteorit Marikh yang jatuh ke bumi dengan data daripada pemeriksaan batu oleh kenderaan robotik Spirit agensi angkasa Amerika NASA. 
Perbezaan dalam komposisi antara kedua-duanya dapat menjelaskan banyaknya oksigen pada masa lalu dalam sejarah Marikh. 
Spirit telah meneroka bahagian yang sangat purba di Marikh yang mengandungi batu-batu lebih daripada 3,700 juta tahun. 
Batu-batu itu menyimpan mercu tanda pendedahan awal kepada oksigen sebelum 'dikitar semula', ditarik ke kawasan cetek di pedalaman planet dan kemudian dimuntahkan melalui letusan gunung berapi. 
Meteorit gunung berapi Marikh, pada sisi lain, berasal dari bahagian yang lebih dalam di planet itu yang kurang terjejas oleh oksigen. 
Meteorit Marikh sampai ke bumi selepas diletuskan ke ruang angkasa lepas oleh letusan besar-besaran. 
Penyelidikan baru yang diterbitkan dalam jurnal Nature, mempunyai implikasi bagi kemungkinan wujudnya kehidupan lampau di Marikh. 
Di bumi pada awalnya, suasana itu secara beransur-ansur dipenuhi dengan oksigen percuma oleh mikrob fotosintesis. Saintis memanggilnya sebagai Pengoksigenan Acara Besar (Great Oxygenation Event - GOE). 
Hubungan antara oksigen dengan kehidupan di Marikh adalah kurang jelas. 
Oksigen mungkin dapat dihasilkan oleh biologi, atau oleh satu tindak balas kimia di dalam atmosfera. 
Saintis utama Profesor Bernard Wood, dari Universiti Oxford, berkata, "Implikasinya adalah bahawa Marikh mempunyai suasana yang kaya dengan oksigen pada satu masa, kira-kira 4,000 juta tahun yang lalu, sebelum kebangkitan atmosfera oksigen di bumi kira-kira 2,500 juta tahun yang lalu. 
"Pengoksidaan memberikan Marikh warna yang tersendiri, ia adalah berkemungkinan bahawa 'planet merah' ini basah, panas dan berkarat berbilion-bilion tahun sebelum atmosfera Bumi menjadi kaya dengan oksigen." 
Pada bulan Mei, saintis mendedahkan bahawa mereka menemui batu-batu kecil di Marikh yang menunjukkan sungai pernah mengalir di planet ini dan memberikan lebih kebarangkalian kepada teori bahawa ia pernah menyokong kehidupan. 
Batu-batu kecil bulat ditemui oleh pasukan misi kenderaan robotik Curiosity NASA dan diterbitkan dalam jurnal Science. Batu-batu kecil itu hanya terbentuk apabila ia dibawa oleh air pada jarak yang jauh, kata penyelidik. 
Ia adalah kali pertama bukti aliran air yang berterusan di Marikh telah didedahkan. 
Penemuan batu sebelum pengumuman lapan hari lalu menjadi bukti kuat bahawa air yang cukup baik untuk diminum telah ditemui oleh Opportunity, kenderaan robotik NASA yang lebih awal. 
Bukti wujud air di Marikh telah ditunjukkan oleh penemuan berturutan di Marikh tetapi sehingga kini mereka semua telah mencadangkan ia adalah aliran asid sulfurik. Ini adalah kali pertama air telah didapati dalam bentuk yang mungkin boleh diminum. 
Penemuan itu meningkatkan kemungkinan bahawa salah satu blok bangunan yang paling penting untuk hidup pernah wujud di planet ini, dan mungkin masih berada di sana. - Mail Online

Khamis, 20 Jun 2013

Kampung Melayu Tertua Di Sarawak Terbakar

Kebakaran yang berlaku di Kampung Datuk merupakan antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak. Foto: Bernama


SIBU - Lebih 600 orang tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 buah rumah di Kampung Datu, antara perkampungan Melayu tertua di Sarawak, di sini musnah dalam kebakaran besar hari ini. 
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu, Mutalib Jaafar berkata kebakaran itu berlaku pada kira-kira pukul 4 petang dan 47 anggota dari dua balai di sini dan Kanowit berjaya mengawal kebakaran lima jam kemudian. 
"Sehingga kini kita belum menerima sebarang laporan kemalangan jiwa dan kita akan meneruskan siasatan berkenaan punca kebakaran ini," katanya semasa dihubungi Bernama. 
Sementara itu Penghulu Kampung Datuk, Hussain Abdul Rasit berkata kira-kira 600 orang mangsa telah didaftarkan dan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Abang Ali berdekatan kampung itu. - Bernama


Foto
Kira-kira 100 rumah terbakar di Kampung Datu Lama, semalam. Foto: myMetro

Foto
Pemandangan dari udara kebakaran yang berlaku di Kampung Datu Lama. Foto: myMetro

Foto
Kampung Datu Lama hanya tinggal nama. Foto: myMetro
SIBU - “Sebaik tiba di rumah, saya lihat penduduk berlari sambil menjerit api... api... api dan ada juga yang menangis,” kata Mohamad Nur Hafiz Majidi, 28, ketika menceritakan kebakaran membabitkan hampir 100 rumah di Kampung Datu Lama, di tepi Sungai Rajang di sini, semalam. 
Kebakaran yang berlaku sekitar 3.45 petang itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk kampung tradisi berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan berharga berikutan api marak dengan cepat selain kedudukan rumah terlalu rapat. 
Menurutnya, api dipercayai bermula dari sebuah rumah tidak berpenghuni sebelum merebak ke rumah bersebelahan. 
“Rumah tidak berbumbung itu sudah lama ditinggalkan pemiliknya. Kebakaran bermula dari rumah itu, mungkin disebabkan cuaca terlalu panas sebelum merebak rumah lain. 
“Ketika kejadian, kebanyakan penduduk keluar bekerja dan kepulangan mereka dikejutkan dengan kejadian menyedihkan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Hilir ketika dihubungi di sini, semalam. - myMetro


Kereta Pelancong Kemalangan Dirempuh Kereta Api

Orang ramai berkerumun di lokasi kemalangan kereta pelancong dirempuh oleh kereta api. Foto: Bernama

Foto
Kejadian berlaku jam 5.35 petang di Jalan Lintas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Foto: myMetro 

Foto
Akibat rempuhan, kenderaan ini berpusing dan terbabas sebelum melanggar kereta Perodua Myvi. Foto: myMetro

KOTA KINABALU - Tiga pelancongan Hong Kong cedera manakala seorang lagi terselamat apabila kereta yang mereka naiki dirempuh kereta api di Jalan Lintas berhampiran jejambat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dekat sini, hari ini. 
Dalam kejadian pukul 5.35 petang itu, kereta sewa jenis Hyundai yang dinaiki oleh empat pelancong termasuk dua wanita dipercayai gagal berhenti di lintasan kereta api di persimpangan ke KKIA. 
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut. 
"Pihak kami dimaklumkan bahawa kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Beaufort berlangggar dengan sebuah kenderaan. 
"Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa berpusing dan terbabas sebelum melanggar kereta Perodua Myi dan sebuah basikal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada butiran lanjut tentang identiti mangsa. 
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K.Ramin berkata pihaknya terpaksa memotong pintu kenderaan terbabit untuk mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit. 
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.45pm dan mengerahkan satu jentera bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian. 
Kesemua pelancong berkenaan difahamkan adalah bersaudara dan dalam perjalanan ke lapangan terbang itu untuk menaiki penerbangan pulang ke negara mereka malam ini. 
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang melawat lokasi kejadian, berkata beliau terharu dengan kejadian di luar jangkaan itu. 
"Mengikut laporan awal pemandu kereta api, pemandu berkenaan telah menggunakan brek kecemasan untuk mengelakkan daripada melanggar kereta mangsa. Bagaimanapun, kereta api itu mengambil masa untuk berhenti," katanya. 
Mengikut laporan awal, Pairin berkata kenderaan lain sudah berhenti setelah diberi isyarat tangan oleh pengawal landasan kereta api kecuali kereta mangsa. 
Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, mengarahkan supaya pihak berkenaan memasang papan tanda yang lebih besar dan palang atau pagar yang boleh digunakan secara manual untuk memberhentikan kenderaan. - Bernama


Rabu, 19 Jun 2013

Gambar UFO Yang Dirakam Melalui Telefon Bimbit

Objek berwarna putih di atas dikatakan di antara imej UFO yang terbaik yang dapat dilihat setakat ini

Lambert meminta orang lain di Bracknell yang telah melihat UFO untuk berhubung dengan dia

Gambaran artis tentang UFO


Gambar sepasang cakera misteri bercahaya bergerak pantas di langit bandar Berkshire, Bracknell telah berjaya dirakamkan. 
Steve Lambert, 42, sedang membuat panggilan telefon di luar Running Horse Pub apabila dia ternampak UFO pada jam 8 malam pada hari Jumaat lalu. 
Pengajar memandu dari Basingstoke, Hampshire itu berkata, "Saya sedang minum bersama teman wanita saya dan anaknya." 
Beliau menambah, "Saya pergi keluar untuk membuat panggilan telefon apabila ada sesuatu yang menarik perhatian saya. 
"Waktu itu sekitar jam 8 petang masih ada sedikit cahaya matahari tetapi mendung. 
"Ia menuju ke barat daya dan lebih cepat daripada mana-mana pesawat biasa. 
"Saya hanya melihatnya kurang daripada lima saat. 
"Saya telah melihat banyak perkara lucu di langit dan saya sentiasa amalkan cuba untuk mengambil gambar dengan cepat menggunakan telefon mudah alih saya. 
"Saya ingin tahu jika ada orang lain melihatnya dan sama ada terdapat mana-mana saksi lain. 
"Saya benar-benar ingin tahu apa yang sedang berlaku di luar sana - mungkin ada kehidupan di luar sana." 
Lambert telah memuatkan foto itu di Facebook untuk mendapatkan pandangan kawan-kawannya tentang misteri tersebut dan kini mahu mendengar daripada sesiapa sahaja yang menyaksikan UFO. 
Bekas pakar UFO di Kementerian Pertahanan mengatakan gambar itu adalah 'salah satu yang terbaik' yang pernah dia lihat. 
Nick Pope, yang menyiasat laporan saksi UFO antara 1991-1994 berkata, "Bentuk dan warna seolah-olah menafikan perkara-perkara lain seperti lampu pesawat atau tanglung Cina. 
"Ia akan menjadi menarik untuk diketahui jika ada orang lain melihatnya, atau jika apa-apa yang luar biasa telah dikesan melalui radar." 
Ini adalah kali kedua UFO dilihat di Bracknell tahun ini selepas satu objek misteri dilihat hanya dua batu dari jarak gambar ini diambil. 
Pada bulan Februari seorang lelaki yang tidak mahu namanya disebutkan berkata, dia melihat objek berwarna oren, merah terang dan kuning, yang 'berjalur melintasi langit dalam masa tiga saat'. 
Awal bulan ini tiga penumpang jet melihat UFO di atas ibu pejabat Scientology Britain semasa pesawat mereka menghampiri Lapangan Terbang Gatwick, berdasarkan satu laporan yang didedahkan baru-baru ini. 
Juruterbang pesawat melihat 'dua cakera rata perak', semasa terbang pada ketinggian 100 kaki. 
Pengawal trafik udara kemudian ternampak enam UFO pada radar mereka sebelum objek itu tiba-tiba hilang. 
Penyiasat mengandaikan kemungkinan objek tersebut adalah belon atau layang-layang tetapi, dengan kejadian terbaru, insiden dianggap belum dapat dirungkaikan.

Isnin, 17 Jun 2013

Masyarakat Islam British Cadang Boykot Kurma Israel




LONDON - Masyarakat Islam British merancang melancarkan kempen memboikot kurma dari Israel menjelang Ramadan, susulan pencerobohan berterusan rejim Israel di wilayah Palestin. 
Media tempatan melaporkan, jurucakap Persatuan Islam Britain (MAB) berkata, kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa kurma terbabit diambil dari Tebing Barat oleh pengeluar Israel. 
Memetik laporan Press TV, menurutnya , Israel memperoleh hasil lumayan daripada eksport kurma yang ditanam di dalam kawasan Tebing Barat, tetapi menafikan hak ke atas penduduk Palestin. - Sinar Harian