Isnin, 31 Mac 2014

Mahkamah Perintah `Rambo Bentong' Bela Diri

Rabidin Satir atau digelar 'Rambo Bentong' (tengah) diperintah membela diri atas tuduhan membunuh dan merogol. Foto: myMetro

Annie Kok Yin Cheng, 17 ditemui mati dengan leher dikelar pada Ahad, 8 Mac 2009 di rumahnya Kampung Ketari. Foto: The Star


TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan perogol bersiri, Rabidin Satir atau digelar 'Rambo Bentong' membela diri atas tuduhan membunuh dan merogol seorang remaja, Annie Kok Yin Cheng, 17, lima tahun lalu. 
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. 
Terdahulu, dalam hujah penghakiman, Ab Karim menyatakan keputusan itu dibuat berdasarkan bukti DNA diperoleh dari pakaian dan badan mangsa yang dikemukakan pihak Timbalan Pendakwaraya adalah sepadan dengan DNA milik tertuduh. 
Berdasarkan bukti itu, mahkamah mendapati tertuduh adalah orang terakhir yang berada bersama atau berhampiran mangsa pada hari kejadian. 
Rabidin , 43, didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara pukul 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong dekat sini. 
Dakwaan terhadap tertuduh dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. 
Lelaki itu turut didakwa merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. 
Rabidin yang tidak bekerja diwakili peguam Richard Bong Chong Fook, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa. 
Tertuduh kemudiannya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan mahkamah menetapkan perbicaraan untuk bela diri bermula Rabu ini. - Berita Harian

Ibu Bunuh Anaknya Yang Disyaki Gay

Jessica Dutro didakwa memukul anaknya Zachary Dutro Boggess, 4, sehingga mati

Zachary Dutro-Boggess ditemui tidak sedarkan diri pada 14 Ogos 2012, di rumah perlindungan Good Neighbor Center

Teman lelaki Dutro, Brian Canady (tengah) mengaku bersalah kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut 


SEORANG ibu dihadapkan ke mahkamah di Oregon kerana dituduh memukul anak lelakinya yang berusia empat tahun sehingga mati selepas mengesyaki mangsa mirip seorang gay. 
Jessica Dutro dari Portland, Oregon, didakwa memukul anaknya Zachary Dutro Boggess hampir setiap hari sehingga mangsa mati pada Ogos, 2012. 
Hakim yang mendengar pertuduhan itu turut meneliti bukti daripada mesej Facebook yang dihantar Dutro kepada teman lelakinya yang memberitahu dia bimbang dengan tindakan mangsa yang bercakap dan berjalan seperti seorang gay. 
Wanita itu turut menulis mesej bahawa dia marah dan telah menghukum anaknya. 
Zachary dipercayai maut kerana mengalami kecederaan pada tubuh badan akibat didera hampir setiap hari oleh ibu kandungnya. - mStar

Lelaki Panjat Pagar Rumah Putih Ditahan

Seorang lelaki ditahan oleh Perkhidmatan Rahsia pada hari Ahad kerana memanjat pagar Rumah Putih

Pennsylvania Avenue di hadapan Rumah Putih kini ditutup kepada pejalan kaki selepas kejadian memanjat pagar itu


WASHINGTON - Seorang lelaki ditahan selepas memanjat pagar Rumah Putih, menurut Perkhidmatan Rahsia. 
Jurucakapnya, Brian Leary berkata ia berlaku sejurus sebelum jam 4 petang (2000 GMT) dan individu berkenaan "segera ditangkap". 
Katanya, pertuduhan terhadap lelaki itu masih belum dilakukan. 
Identiti lelaki itu juga belum didedahkan. 
Presiden Barack Obama kembali ke ibu negara daripada lawatan ke luar negara pada lewat Sabtu. - AFP/Berita Harian

Isteri Schumacher Bina Bilik Rawatan Di Rumah

Isteri Michael Schumacher membelanjakan £10 juta (RM54.4 juta) bagi membina bilik rawatan di rumah mereka

Semalam genap tiga bulan Schumacher kemalangan ketika bermain ski yang menyebabkan kepalanya terhentak

Sejak itu, bekas juara formula satu itu terlantar di Grenoble University Hospital Centre

Rumah mewah Schumacher di pinggir Tasik Geneva, di Switzerland

Saat indah Schumacher bersama isterinya, Corinna sebelum dia ditimpa musibah ketika bermain ski


GENEVA - Isteri Michael Schumacher dilaporkan membelanjakan £10 juta (RM54.4 juta) bagi membina bilik dengan kelengkapan perubatan penuh di rumah mereka bagi membolehkan suaminya dirawat di rumah. 
Walaupun doktor sudah memberitahu Corinna Schumacher, 45, yang suaminya mungkin tidak akan sedar dari koma, dia tetap mahu meneruskan niatnya membina kelengkapan itu di kediaman mereka di pinggir Tasik Geneva, Switzerland. 
Semalam genap tiga bulan kemalangan yang menimpa Schumacher, 45 ketika bermain ski yang menyebabkan kepalanya terhentak dan terpaksa diletakkan dalam keadaan koma bagi mengelakkan otaknya terus membengkak. 
Sejak itu, bekas juara formula satu itu terlantar di hospital dan kehilangan 25 peratus dari beratnya - kini hanya 54 kilogram. - myMetro

‘Darth Vader’ Jadi Calon Presiden Ukraine

“Darth Vader” bersama pengiring “Stormtroopers” dari Parti Internet Ukraine (UIP). Foto: AFP

Vader sering dilihat berada di Dataran Kemerdekaan Kiev ketika tunjuk perasaan lalu diiringi Stormtroopers. Foto AFP

Vader mengumumkan pencalonannya merebut jawatan presiden Ukraine dengan janji mengembalikan kegemilangannya. Foto: Reuters

Aktivis Parti Internet Ukraine (UIP) berpakaian kostum Stormtroopers sedang mengedar risalah. Foto: AFP

Darth Vader asalnya adalah watak jahat dalam filem Star Wars ciptaan George Lucas. Foto: AAP


KIEV - Ketika Ukraine cuba menstabilkan keadaan negara itu selepas dilanda pelbagai krisis, “Darth Vader” mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden negara itu dengan janji mengembalikan kegemilangannya. 
Seorang penunjuk perasaan yang berpakaian seperti watak jahat dalam filem Star Wars itu sering dilihat berada di Dataran Kemerdekaan Kiev ketika tunjuk perasaan musim sejuk lalu sambil diiring “Stormtroopers” - tentera elit dalam filem berkenaan, semalam diumumkan sebagai calon presiden dari Parti Internet Ukraine (UIP). 
Dia menjadi terkenal kerana penampilannya itu. 
“Selepas mengadakan perbincangan di peringkat parti, kami memutuskan untuk mencalonkan Vader bertanding jawatan berkenaan,” kata pemimpin parti, Dmitry Golubov. 
Dengan memakai kostum serba hitam menyerupai watak berkenaan, dia terbabit dalam beberapa tindakan politik di negara itu sebelum ini. 
Pada November 2013, dia dengan diiringi Stormtroopers memasuki dewan bandar raya Odessa dan mengumumkan dirinya datuk bandar. 
Menurut laporan media tempatan, dia juga menuntut sebidang tanah di bandar itu bagi meletakkan “kapal angkasanya”. 
“Walaupun berseorangan, saya mampu menukar sebuah republik menjadi empayar bagi mengembalikan kegemilangan Ukraine, mengembalikan wilayah yang sudah hilang dan mengembalikan kebanggan negara ini,” katanya. 
Parti itu turut membayar wang pendaftaran calon “luar biasa” mereka. 
Pilihan Raya Presiden Ukraine dijadualkan pada 25 Mei selepas Viktor Yanukovych yang pro-Moscow digulingkan bulan lalu. - AFP/myMetro

Buat Kerja Bodoh, Bertaruh Telan Garfu

Ujian X-ray yang dijalankan doktor ke atas Radu Calincescu, 25, menunjukkan garpu tersekat di tekaknya

Bagaimanapun doktor memberitahu Radu mereka “tidak ada masa” untuk mengeluarkan garpu berkenaan


BACAU (Romania) - Seorang lelaki cuba menyembunyikan kesalahannya ketika mendapatkan rawatan kerana mengalami kesakitan pada kerongkongnya. 
Dia enggan memberitahu doktor yang dia menelan garpu sebelum itu. 
Ujian X-ray yang dijalankan ke atas Radu Calincescu, 25, menunjukkan objek berkenaan tersekat di tekaknya. 
Radu menelan garpu berkenaan kerana bertaruh dengan rakannya bagi membuktikan kekuatannya, lapor Daily Mail. 
“Saya mabuk ketika itu dan bertaruh dengan rakan yang saya mampu menelan garpu itu tanpa tercedera. 
Saya memasukkannya ke dalam mulut dan dapat menelannya. 
“Kini saya sedar ia tindakan yang amat bodoh. 
Saya rasa, buat sementara waktu, saya tidak akan bertaruh lagi,” katanya. 
Bengang dengan kenyataan itu, doktor memberitahu Radu mereka “tidak ada masa” untuk mengeluarkan garpu berkenaan. - myMetro

Lelaki Larikan Jentera Bomba

Seorang lelaki bertindak nekad melarikan sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang

Lelaki itu memandu jentera bomba secara melulu dan melanggar beberapa kenderaan lain


TELUK INTAN - Seorang lelaki bertindak nekad melarikan sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dengan memandu kenderaan itu sejauh 25 kilometer ke Teluk Intan di Bagan Datoh, pagi tadi. 
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, suspek yang membawa kenderaan secara melulu melanggar beberapa kenderaan termasuk mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera ringan akibat terjatuh. 
Ketua Polis Daerah Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan anggota bomba yang mengejar kenderaan yang terbabas di lampu isyarat berhampiran kawasan Batak Rabit menghala Teluk Intan, kira-kira setengah jam kemudian. 
Menurutnya, suspek yang disyaki kurang siuman kini ditahan untuk siasatan lanjut. - myMetro

Pasukan Universiti Kalah, Penyokong Mengamuk

Polis menangkap seorang peminat pasukan bola keranjang Universiti Arizona yang mengejek mereka kelmarin

Pelajar Universiti Arizona bertempur pasukan Polis Tucson kelmarin

Seorang lelaki mencabar pasukan polis


TUCSON - Anggota-anggota polis menyembur lada ke arah ratusan penyokong pasukan bola keranjang Universiti Arizona di sini kelmarin. 
Tindakan itu dilakukan selepas para peminat tersebut yang juga pelajar universiti berkenaan membaling botol bir dan bunga api ke arah anggota-anggota polis. 
Para peminat tersebut melakukan perbuatan itu selepas pasukan bola keranjang universiti berkenaan kalah kepada Wisconsin dengan keputusan 64-63 pada pertandingan akhir Persatuan Atletik Kolej Kebangsaan di Anaheim, California kelmarin. 
Menurut seorang pegawai polis, Sarjan Pete Dugan, para peminat universiti itu tidak mengalami sebarang kecederaan. 
Bagaimanapun, katanya, seramai 10 orang ditangkap polis ekoran kejadian itu. 
Dugan berkata, para peminat itu meninggalkan bar dan restoran dekat kampung universiti berkenaan selepas perlawanan tersebut berakhir. 
Menurutnya, botol bir yang dibaling dan bunga api tersebut membahayakan keselamatan anggota-anggota polis. - AP/Kosmo!

Ahad, 30 Mac 2014

Cerita Tentang Gamat Langkawi

Kandang gamat merupakan plot-plot khas menempatkan induk gamat bagi pembenihan dan penternakan

Jabatan Perikanan telah berjaya menjalankan penyelidikan dan penternakan gamat atau nama saintifiknya Holothuria scarba

Induk gamat liar yang baru ditangkap.


Terfikirkah anda bagaimana bentuk ‘kandang’ gamat. Adakah fungsinya sama dengan kandang yang terdapat di darat atau pun ia lebih unik? 
Persoalan itu sering berlegar-legar di fikiran penulis ketika mengikuti lawatan Jabatan Perikanan ke Kampung Teluk Yu, Langkawi, Kedah. 
Tapi, mengapa gamat memerlukan kandang kerana ia bukan hidup di darat sebaliknya sejenis haiwan laut. 
Hakikatnya, kandang itu ialah plot-plot khas menempatkan induk gamat bagi pembenihan dan penternakan. 
Ia antara projek komuniti bersama persatuan nelayan untuk mengumpul induk gamat di perairan Langkawi. 
Sejak dijalankan setahun lalu, ia mengumpulkan lebih 120 induk seberat 250 gram ke atas dan dilepaskan di plot berkeluasan 0.5 hektar. 
Jika dulu, pusat pembenihan gamat banyak ditumpukan di Pusat Pembenihan Ikan Marin di Pulau Sayak, Kedah, kini fokus terarah di Kampung Teluk Yu. 
Ia bertujuan menampung keperluan bekalan gamat kepada penternak haiwan itu bagi keperluan jangka panjang. 
Kejayaan Jabatan Perikanan menjalankan penyelidikan dan penternakan gamat atau nama saintifiknya Holothuria scarba membuka dimensi baru dalam landskap akuakultur negara. 
Kajian mendapati permintaan pasaran gamat dunia mencecah kepada RM15 bilion setahun. Pasaran besar itu memberi peluang kepada penternak berminat untuk mengusahakannya secara komersial. 
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, Ismail Abu Hassan berkata, kajian serta penyelidikan untuk mengeluarkan benih gamat menghasilkan benih mencukupi. 
Beliau berkata, penyelidikan di Pusat Pembenihan Ikan Marin di Pulau Sayak itu akan dikembangkan ke kawasan ternakan di Pulau Langkawi. 
“Beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk ternakan gamat iaitu Teluk Yu, Pulau Tuba, Kuala Temoyong dan Pantai Chenang,” katanya. 
Katanya, kawasan itu terlindung daripada arus deras dan angin kencang serta dasarnya berpasir bercampur lumpur. 
“Malah, di sini juga akan dibina hatceri untuk pengeluaran benih gamat,” katanya. 
Katanya, lebih 1200 spesies gamat ada di dunia, tetapi hanya dua jenis mendapat sambutan dan dikomersialkan iaitu gamat putih dan gamat emas (Stichopus horrens). 
Gamat putih boleh dimakan sebagai perencah makanan laut, manakala gamat emas untuk perubatan atau minyak. 
Gamat putih banyak terdapat di perairan Langkawi. 
“Gamat seberat 250 gram amat sesuai untuk dijadikan induk bagi pembiakan,” katanya. 
Lazimya benih gamat liar yang diasuh daripada kecil akan mengambil masa selama satu setengah hingga dua tahun untuk matang. 
Terdapat dua kaedah pembiakan iaitu secara seksual dan aseksual. 
Kaedah pembiakan gamat tidak memerlukan suntikan hormon sebagaimana ikan untuk merangsang pembiakan, malah ia berlaku secara semula jadi. 
“Induk jantan akan mengeluarkan sperma dan pengeluaran telur oleh induk betina,” katanya. 
Kajian mendapati, seekor induk betina mampu mengeluarkan sejuta telur setiap pusingan. 
Telur yang berjaya menjalani persenyawaan yang sempurna akan menetas dalam tempoh 24 jam. 
Menurutnya, pada hari pertama menetas ia akan dibekalkan Diatom Chactoceras sebagai makanan. 
“Pemberian makanan dua hingga tiga kali sehari kepada Larvae yang baru menetas ini dilakukan sehingga ia berumur dua bulan sebelum dilepaskan ke sangkar ternakan di laut. 
“Ternakan gamat boleh dilakukan dengan kaedah ‘pan-culture’ atau kandang atau jaring ‘polythelin’ yang lebih ekonomik dan efisien. 
“Sangkar jaring bersaiz 50 meter itu mampu memuatkan 5,000 benih gamat berusia empat hingga enam bulan. 
“Lazimnya, ia mengambil masa lapan hingga setahun untuk membesar,” katanya. 
Pemprosesan gamat perlu menjalani beberapa peringkat. 
Gamat yang bersaiz 250 gram akan ditangkap, dibuang perutnya dan direndam dalam larutan bergaram. 
“Selepas direbus, sekali lagi ia dipilih mengikut gred dan saiz sebelum dikeringkan,” katanya. 
Gamat kering katanya mendapat sambutan baik di pasaran dan mampu mencecah sehingga RM350 sekilogram. 
“Ia mendapat permintaan tinggi di China, Amerika, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Dubai dan beberapa negara Arab. 
“Ia dikatakan mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk penjagaan kesihatan,” katanya. 
Menyedari potensinya, Jabatan Perikanan berusaha mewujudkan ladang ternakan gamat pertama di Langkawi dengan penyertaan seramai 462 peserta. 
Namun, buat permulaan hanya 10 peserta dipilih untuk menternak spesies itu membabitkan kawasan seluas 10 hektar di Pulau Yu. 
Katanya, jabatan turut memperkenalkan konsep ternakan usaha sama tiga penjuru dengan melantik syarikat peneraju, kumpulan Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPeP). 
Jabatan mensasar pengeluaran 500,000 benih setiap pusingan jika semua kemudahan prasarana berjalan lancar. 
“Setiap penternak akan diberikan empat kandang ternakan seluas satu hektar dengan kadar pelepasan benih 5,000 ekor tiap satu kandang. 
Penuaian hasil mula dilakukan berperingkat mengikut kematangan dan saiz. Ia akan dilakukan secara berperingkat setiap tiga bulan. 
“Sebelum tempoh penuaian hasil, syarikat peneraju akan membayar elaun pendahuluan bulanan kepada penternak terbabit. 
“Jabatan optimis peserta mampu memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM3,000 seorang,” katanya. 
Eksport gamat negara hanya sekitar 400 tan metrik bernilai RM140,000 setahun berbanding permintaan pasaran bernilai RM15 bilion. - Mohamed Semail/myMetro

Tok Guru Mohon Maaf

“Maafkan segala kesilapan saya selama saya memimpin Kelantan,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumah Tok Guru Nik Aziz


KOTA BHARU - “Maafkan segala kesilapan saya selama saya memimpin Kelantan,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya di sini, semalam. 
Beliau berkata, masalah kesihatan yang dihadapi mungkin balasan ALLAH SWT untuk membersihkan dosanya di atas kesalahan dilakukan sepanjang memimpin Kelantan sejak 23 tahun lalu. 
“Sakit saya ini mungkin kifaarat ALLAH SWT di atas dosa atau kesalahan yang saya lakukan sepanjang memimpin Kelantan,” katanya dipetik dalam entri laman sosial Facebook miliknya, di sini, semalam. 
Solat Subuh berjemaah itu turut disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kebetulan berada di Kelantan dalam siri jelajah Reformasi 2.0 di Padang Perdana, di sini, kelmarin. 
Difahamkan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan itu semakin merosot kebelakangan ini sehingga menghalang beliau menyampaikan kuliah Jumaat sejak beberapa minggu lalu. 
Malah beliau yang sepatutnya menyertai siri jelajah Reformasi 2.0 bersama Anwar tidak dapat berbuat demikian difahamkan kerana masalah kesihatan. 
Ketika sihat, Nik Aziz akan ke pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim yang ditubuhkan pentadbiran baru kerajaan negeri selepas beliau meletakkan jawatan Mei lalu. 
Institut itu ditubuhkan untuk memastikan pemikiran Nik Aziz yang juga Adun Chempaka terus dapat dimanfaatkan walaupun beliau tidak lagi menjadi menteri besar. - Sinar Harian

Wanita Ini Tidak Percaya MH370 Terhempas

Sarah Bajc, pasangan kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Philip Wood tidak percaya pesawat itu terhempas

Philip Wood, suami kepada Sarah Bajc 


SHAH ALAM – Pasangan kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Philip Wood iaitu Sarah Bajc percaya pesawat itu tidak terhempas. 
Sebaliknya, beliau dalam satu temu bual dengan saluran BBC News merasakan seolah-olah wujud motif lain di sebalik kehilangan pesawat tersebut. 
“Setiap jenayah mesti ada niat dan motif di sebaliknya. Ada 30 jurutera pertahanan dalam pesawat itu dengan kemahiran yang unik. 
“Mereka boleh menjadi sesuatu yang berharga untuk mana-mana negara yang mencari kelebihan untuk peralatan tentera mereka. Ada banyak motif di sebaliknya, tapi saya tak nampak ada motif untuk seseorang membuatkan pesawat terhempas,” katanya. 
Menurut Bajc, beliau tidak memiliki kepakaran dan hanya membuat andaian berdasarkan common sense. 
Namun, katanya, pandangan sama juga banyak disuarakan pakar penerbangan dalam laman Facebook yang diwujudkan dengan nama ‘Finding Philip Wood’. 
“Kebanyakannya berpandangan pesawat itu dirampas, bukannya terhempas. Jadi saya pelik mengapa usaha pencarian hanya tertumpu di lautan. 
“Saya percaya ada sesuatu berlaku disebaliknya dan ramai merasakan kerajaan cuba mengelirukan kami,” katanya. - Sinar Harian

Misteri Tiga Pesawat Terbang Tinggi Di Texas

Imej yang dirakamkan Muskett menunjukkan sebuah pesawat berbentuk tiga segi terbang di Amarillo pada 10 Mac lalu

Objek misteri ini telah membingungkan pakar penerbangan

Pada tahun 1956, majalah-majalah Britain telah menyiarkan gambar pesawat rahsia Lockheed U-2


AMARILLO, Texas - Pakar-pakar penerbangan dan peminat objek terbang tidak dikenali (UFO) gagal untuk mengenal pasti tiga buah pesawat yang terbang tinggi di sini pada 10 Mac lalu, lapor portal berita metro.co.uk semalam 
Beberapa buah gambar menunjukkan dua buah pesawat berbentuk tiga segi terbang dengan mengeluarkan jalur wap di langit. 
Menurut laman blog pertahanan, Ares, ia mungkin gambar pesawat rahsia milik tentera yang berjaya dirakamkan. 
Gambar-gambar tersebut dirakamkan oleh jurugambar Steve Doughlass dan Dean Muskett di Lapangan Terbang Antarabangsa Amarillo di sini. 
Mereka merakamkan gambar itu semasa melihat tiga jalur wap di langit. 
"Setakat pengetahuan saya, gambar itu dirakamkan buat kali pertama sejak tahun 1956," kata seorang blogger, Bill Sweetman. 
Pada tahun 1956, majalah-majalah Britain menyiarkan gambar pesawat rahsia Lockheed U-2 yang terbang dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Lakenheath di Brandon, United Kingdom. - Agensi/Kosmo!

Sabtu, 29 Mac 2014

Gempa Bumi 5.1 Magnitud Landa Los Angeles

Keadaan di sebuah pasar raya di Orange County selepas gegaran gempa bumi

Pihak berkuasa berkata ini mungkin hanya permulaan. Gempa bumi lebih besar mungkin menyusul dalam tempoh tiga hari

Barang-barang bertaburan di lantai dan para pelanggan bertempiaran lari

Keadaan lengang apabila para pelanggan bergegas meninggalkan pasar raya untuk menyelamatkan diri

Bagaimanapun kerosakan ini disifatkan sebagai minimun

Walaupun kerosakan adalah minimum namun banyak perkakas mudah rosak seperti pinggan mangkuk pecah

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk supaya berhati-hati perabot dan barang-barang berharga

Para pengunjung taman syurga dunia Disneyland bertempiaran lari menyelamatkan diri semasa gegaran

Sebuah kereta terbalik akibat gempa bumi di Carbon Canyon Road


LOS ANGELES - Gempa bumi berukuran 5.1 magnitud menggegarkan bandar metropolitan Los Angeles, lewat malam tadi. 
Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada jam 9.11 malam waktu tempatan berhampiran Brea di wilayah Orange, kira-kira 32 kilometer dari tenggara Los Angeles. 
Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan. - AP/Berita Harian (14:42 PM)

BEIJING: Gempa bumi berukuran 5.3 pada skala Ritcher melanda La Habra, California hari ini. 
Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa dengan kedalaman 1.9 kilometer berada di kedudukan 33,9287 latitud utara dan 117,9222 longitud barat, demikian lapor agensi berita Xinhua - BERNAMA/Berita Harian (12:36 PM)

Kapal Tunda Disangka Pesawat Terhempas

Objek yang kelihatan di tengah laut mulanya disangka sebagai pesawat terhempas

Apabila didekati, ia sebenarnya sebuah kapal tunda


MADRID, Sepanyol - Perkhidmatan Kecemasan Kepulauan Canary milik Sepanyol tersilap sangka apabila mempercayai maklumat yang disalurkan seorang lelaki yang mendakwa dia melihat sebuah kapal terbang di permukaan Lautan Atlantik kelmarin. 
Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan itu menyatakan, lelaki tersebut melihat objek seperti kapal terbang penumpang di atas lautan semasa berjalan di tepi pantai Pulau Gran Canaria. 
"Dia (lelaki tersebut) memberitahu kami, terdapat sebuah kapal terbang dan kami mula melakukan misi pencarian," tambahnya. 
Ketika beberapa buah helikopter penyelamat dan polis dikerahkan ke kawasan pencarian, pihak Menara Kawalan Trafik Udara Gran Canaria mengesahkan kepada perkhidmatan kecemasan bahawa objek yang dilihat itu ialah kapal terbang. 
Pihak perkhidmatan kecemasan kemudian menghantar kenyataan di laman Twitter dengan membuat pengesahan bahawa sebuah kapal terbang terhempas 3.21 kilometer dari pantai. 
Bagaimanapun, beberapa buah helikopter di lokasi kejadian mengesahkan bahawa objek tersebut bukan sebuah kapal terbang. 
Namun, objek itu sebenarnya adalah sebuah kapal tunda yang kelihatan seperti sebuah kapal terbang. - Agensi/Kosmo!

Pesawat Baru Tentera Udara India Terhempas

Pesawat pengangkut yang baru dimiliki Tentera Udara India (IAF) terhempas 72 batu di barat lapangan udara pangkalan Gwailor

Tragedi pesawat empat enjin buatan Amerika Syarikat ini menimbulkan tanda tanya di kalangan juruterbang berpengalaman

Keadaan di lokasi pesawat Tentera Udara India terhempas


NEW DELHI - Sebuah pesawat pengangkut yang baru dimiliki, C-130J Tentera Udara India (IAF) terhempas 72 batu di barat lapangan udara pangkalan Gwailor pagi semalam, mengorbankan lima anggota dalam penerbangan itu. 
IAF belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai berapa ramai anggota dalam pesawat itu. 
Insiden terhadap pesawat empat enjin buatan Amerika Syarikat itu menimbulkan tanda tanya di kalangan juruterbang berpengalaman ekoran rekod keselamatan baik dan pesawat itu yang mudah dikendalikan. 
Seorang juruterbang kanan Tentera Udara berkata, kemalangan itu “pelik” dan beliau menjangkakan kru pesawat tidak boleh melakukan apa-apa atau berlaku kebakaran ketika penerbangan. 
Operasi menyelamat masih dilakukan di lokasi pesawat berkenaan terhempas, menurut sumber tentera udara. “Pesawat itu berlepas dari Agra pada jam 10 pagi untuk misi penerbangan latihan rutin. - Berita Harian

Dibebaskan Dari Penjara Kerana Tubuh Besar

Jude Medcalf, 23, setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan kerana katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya

Medcalf disahkan menghidap sindrom Klinefelter yang menyebabkan dia terus membesar

Saiz sel penjara ini dan katilnya terlalu kecil buat Medcalf


DEVON (England) - Seorang penjenayah setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan selepas hakim menyatakan katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya. 
Jude Medcalf, 23, dari Newton Abbot melakukan jenayah selepas dia disahkan menghidap sindrom Klinefelter. 
Penyakit itu mengganggu sistem tumbesarannya, menyebabkan dia terus membesar. 
Dalam satu kejadian terbaru, dia menakutkan seorang wanita dengan melepaskan tembakan menggunakan pistol tiruan melalui sebuah tingkap sebelum melarikan hadiah Krismas bernilai £30 (RM163) dan sejumlah wang daripada pejabat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS), lapor mahkamah Exeter Crown. 
Mahkamah diberitahu yang Medcalf kemudiannya ditemui dengan makanan yang dicuri dari kelab The Sloop ketika kakitangannya leka. 
Dia dibebaskan dari penjara selepas mahkamah mendapati dia sudah 75 hari ditahan. 
Ketika dalam tahanan, dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana tiada katil atau pakaian penjara yang muat dengannya. 
Medcalf yang turut menghidap masalah kecelaruan kromosom hingga menyebabkan dia bersikap keanak-anakan dikenakan hukuman enam bulan tahanan rumah dan 12 bulan khidmat komuniti. 
Pendakwa raya, Brian Fitzherbert memberitahu mahkamah Medcalf menembak teman wanitanya selepas mendapati wanita itu menghubungi polis kerana dia menyerang kereta rakannya di Torquay. 
Tembakan itu bagaimanapun terkena cermin tingkap. 
“Wanita itu ketakutan. Dia tidak mengetahui pistol yang digunakan tiruan,” kata Brian. 
Medcalf mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan melakukan jenayah dengan senjata itu ketika dia mula dibicarakan. - AFP/myMetro