Rabu, 27 Ogos 2014

Lebih 1.3 Juta Tunai Haji Tahun Ini







RIYADH Arab Saudi - Lebih 1.3 juta jemaah haji luar negara dijangka menunaikan ibadah tersebut tahun ini, dengan negara Asia Selatan akan menghantar kontinjen terbesar sebanyak 410,000 orang diikuti negara Arab sebanyak 250,000 jemaah. 
Ahli Jawatankuasa Haji dan Umrah Arab Saudi, Saad Al-Qurashi berkata, kira-kira 150,000 jemaah tempatan termasuk ekspatriat akan sama menunaikan haji. 
"Daripada jumlah itu, seramai 41,000 akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan haji kos rendah," katanya dipetik oleh Arab News. - Sinar Harian

Lelaki Tertinggi Meninggal Dunia

Leonid Stadnyk, lelaki yang dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia pada usia 44 tahun. Foto: Reuters

Ibu Stadnyk mengukur ketinggiannya. Foto: Reuters


LONDON - Lelaki yang dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia semalam pada usia 44 tahun. 
Leonid Stadnyk, yang dikatakan terlalu ‘pemalu’ sehingga enggan diukur untuk membolehkannya direkodkan dalam buku rekod dunia Guinness dipercayai 21 inci lebih tinggi daripada bekas pemain bola sepak England Peter Crouch. 
Petani yang berasal dari perkampungan Podoliansty, Ukraine, dilaporkan meninggal dunia disebabkan pendarahan otak akibat masalah kesihatan berlanjutan. 
Stadnyk pernah dilaporkan berkata: “Pada saya, ketinggian luar biasa ini satu sumpahan, hukuman daripada Tuhan. Ia bukannya sesuatu yang patut dibanggakan. 
“Saya tidak tahu apa dosa dilakukan sehingga dihukum sebegini. Sepanjang hidup ini saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain. 
“Saya tidak mahu terkenal disebabkan ketinggian luar biasa ini dan tidak ingin direkodkan dalam buku rekod Guinness,” katanya. 
Malah, dia juga tidak pernah berkahwin kerana bimbang membawa kesusahan kepada pasangannya. 
Stadnyk mula menunjukkan ketinggian luar biasa pada usia 12 tahun apabila ketumbuhan tidak berbahaya dalam otaknya mengakibatkan badannya mengeluarkan hormon pembesaran berlebihan. 
Pada satu masa, keadaan dihidapinya itu yang dikenali sebagai ‘giganticism’ menyebabkan dia membesar hampir satu kaki setiap tiga tahun. 
Dia juga memakai kasut bersaiz 27 (mengikut ukuran United Kingdom) disebabkan kakinya berukuran hampir 18 inci manakala tapak tangannya mempunyai ukur lilit lebih sekaki.  
Jurucakap Guinness berkata, pihaknya memutuskan untuk menyenaraikan warga China Xi Shin sebagai lelaki tertinggi dunia pada ketinggian hampir 7 kaki 9 inci disebabkan keengganan Stadnyk memberikan kerjasama.- Agensi/ myMetro

Penumpang Bergaduh Pesawat Mendarat Cemas

Sebuah pesawat milik syarikat United Airlines terpaksa membuat pendaratan luar biasa selepas dua penumpangnya bergaduh

Kejadian berlaku selepas seorang penumpang lelaki menghalang wanita di hadapannya daripada menurun penyandar tempat duduk

Lelaki itu menggunakan alat ini untuk menghalang wanita itu merebahkan tempat duduknya

Peralatan ini boleh dibeli di pasaran namun diharamkan oleh kebanyakan syarikat penerbangan utama di AS


NEW YORK - Sebuah pesawat milik syarikat United Airlines terpaksa membuat pendaratan luar biasa selepas dua penumpang penerbangan berkenaan bergaduh kerana berebut ruangan tempat duduk. 
Kejadian tersebut berlaku pada Ahad lalu selepas seorang penumpang lelaki menghalang seorang wanita di hadapannya daripada menurun penyandar tempat duduk kerana dia sedang menggunakan komputer riba. 
Ketika kejadian pesawat itu dalam penerbangan domestik dari Newark, New Jersey ke Denver, Amerika Syarikat. 
Seorang pramugari kemudiannya meminta lelaki itu membenarkan wanita tersebut menurunkan penyandar tempat duduknya tetapi lelaki berkenaan tetap enggan. 
Wanita tersebut yang tidak berpuas hati terus bangun dan membaling lelaki itu dengan cawan berisi air. 
Pergaduhan yang tercetus antara kedua-dua penumpang yang berusia 40-an itu menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa mendarat di Chicago. 
Kedua-dua penumpang itu tidak ditahan pihak berkuasa tetapi mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan semula. - AP/ Kosmo!

Penerbangan Malindo Air Tergendala Akibat 'Bom'

Unit Bom menjalankan pemeriksaaan dalam pesawat Malindo Air, namun tidak menemui apa-apa. Foto: myMetro

Sebelum itu para penumpang pesawat dikuarantin sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan


KUALA LUMPUR - Penerbangan sebuah pesawat Malindo Air ke Pulau Pinang dengan membawa 37 penumpang dan anak kapal tergendala selama beberapa jam berikutan ancaman bom sebelum berlepas dari lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. 
Syarikat itu, dalam satu kenyataan, berkata kapten penerbangan dimaklumkan mengenai kemungkinan ancaman bom semasa menaiki pesawat dan sebagai prosedur operasi standard, syarikat penerbangan itu memaklumkan menara kawalan dan pihak berkuasa. 
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo, Raja Sa’adi Raja Amrin berkata, pesawat itu yang dijadual berlepas ke Pulau Pinang pada 3.40 petang, telah dibawa ke satu kawasan terpencil untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan mereka dikuarantin sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan. 
"Unit Pemusnah Bom menjalankan usaha mencari secara menyeluruh dalam pesawat dan bagasi penumpang dan memberi pelepasan bahawa pesawat itu selamat," kata Raja Sa'adi dalam satu kenyataan di sini malam Selasa. 
Beliau berkata, penumpang termasuk seorang bayi dihidangkan makanan dan mereka dipindahkan untuk menaiki pesawat lain yang berlepas ke Pulau Pinang pada 9.30 malam. 
Sambil memberi jaminan bahawa keadaan itu ditangani secara profesional, Malindo Air menegaskan bahawa syarikat itu memandang serius ancaman ke atas keselamatan penumpang. 
Di SUBANG, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata, penerbangan pesawat itu terpaksa ditangguhkan selepas seorang penumpang lelaki mengeluarkan perkataan 'bom' kepada petugas Malindo Air semasa proses pemeriksaan pas pelepasan. 
"Semasa pemeriksaan, lelaki itu menunjukkan pas pelepasan sambil mengatakan "kenapa nak periksa sekali lagi, bukan ada bom pun". 
"Ketika itu, petugas penerbangan itu tidak berbuat apa-apa malah hanya memaklumkan insiden itu kepada pegawai atasan beberapa minit sebelum penerbangan," katanya kepada pemberita di Balai Pelepasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. 
Beliau berkata, juruterbang pesawat berkenaan kemudian memaklumkan maklumat itu kepada pusat kawalan sebelum menangguhkan penerbangan itu. 
Azmi berkata, kemungkinan lelaki itu tidak sedar perkataan 'bom' adalah satu perkataan yang sangat sensitif dalam industri penerbangan yang melibatkan keselamatan penumpang serta anak kapal. 
"Sejurus menerima maklumat itu, Unit Anjing (K9) dan Unit Bom telah tiba dan menjalankan pemeriksaaan dalam pesawat berkenaan, namun tidak menemui apa-apa. 
"Pegawai Malindo berkenaan juga diminta untuk mengecam penumpang yang berkata bom, namun beliau gagal mengecam. Dia tak ingat," katanya. 
Walaupun begitu, pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, katanya. - mStar


Sokongan Penduduk Israel Kepada Netanyahu Merosot

Roket J80 yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Tel Aviv menyebabkan penduduknya merasa bimbang

Iron Dome gagal memintas kesemua roket Hamas yang menyerang Israel

Kanak-kanak Israel bermain di tempat perlindungan bom di selatan bandar Ashkelon, berhampiran Gaza

Penduduk Israel yang cedera akibat serang roket Hamas

Populariti Netanyahu merosot dengan tinggal hanya 38 peratus penduduk Israel menyokongnya

"On August 25, Israel’s Channel 2 reported support for Netanyahu was down to 38 percent, and had dropped “by 17 percent in the past four days alone,” according to The Times of Israel."


Satu tinjauan yang dijalankan Stesen Chanel 2 televisyen Israel, pada hari Isnin (25/8/2014) menunjukkan sokongan penduduk Israel kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah merosot.  
Tinjauan mendapati hanya tinggal 38 peratus sahaja penduduk Israel yang masih menyokong Netanyahu. Sedangkan, semasa permulaan serangan ke atas Gaza pada 18 Julai lalu, 82 peratus menyokong Netanyahu.  
Berdasarkan tinjauan tersebut, kemerosotan sokongan berpunca daripada serangan roket Hamas yang berterusan dan serangan oleh gerakan penentangan lain di Gaza terhadap kawasan Israel.
Hal yang sama berlaku di kawasan Israel yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza yang menjadi sasaran terbuka serangan mortar dari Gaza. Hanya 24 peratus sahaja yang menyokong dasar Netanyahu terhadap penduduk tempatan di kawasan tersebut. Manakala 63 peratus lagi menyatakan bahawa dasar Netanyahu sangat tidak bijaksana berhubung hal tersebut. - dakwatuna 


Selasa, 26 Ogos 2014

Hakim Arah Kemaluan Lelaki Diukur

Seorang lelaki di bandar Leer dituduh menunjukkan kemaluannya kepada seorang gadis. Foto Dewan Bandaran Leer.

Bagaimanapun dia mendakwa, kemaluannya terlalu kecil. Foto pusat bandar Leer

Hakim mengarahkan pejabat koroner di Oldenburg mengukur kemaluan lelaki itu


LEER (Jerman) - Seorang lelaki yang dituduh menunjukkan kemaluannya kepada seorang gadis belasan tahun memberitahu mahkamah, kemaluannya itu terlalu kecil untuk membolehkan seseorang melihatnya. 
Lelaki berusia 54 tahun yang hanya dikenali sebagai Herbert O didakwa mempamerkan kemaluannya kepada gadis itu ketika dia menghantar bungkusan kepada mangsa, Ogos tahun lalu. 
Gadis itu bersama ibunya membuat laporan polis terhadap Herbert yang berasal dari Leer, Jerman. 
Herbet, dalam perbicaraannya semalam memberitahu mahkamah, kemaluannya terlalu kecil untuk dilihat gadis itu, malah turut meminta isterinya memberi kenyataan di mahkamah. 
“Maaf sayang, kemaluan awak terlalu pendek untuk terjuntai dari seluar,” kata isterinya kepada mahkamah di Leer. 
Peguam bela, Lutz Winkler meminta hakim Ulrike Andrees mengukur organ sulit tertuduh bagi mengesahkan dakwaan itu. 
Andress bagaimanapun menolak, sebaliknya mengarahkan pejabat koroner di Oldenburg mengukurnya. 
“Saya akur jika si isteri sendiri mendedahkan perkara itu,” kata Andrees. 
Winkler mahu memastikan anak guamnya bebas daripada tuduhan itu dan menolak hukuman denda untuk menyelesaikan kes berkenaan, Mahkamah mungkin perlu menanti beberapa bulan untuk mencapai keputusan. 
“Ini kes pertama seumpamanya di mahkamah,” kata pegawai mahkamah Norbert Bruns. - myMetro

Telur Terbesar Di Dunia Dilelong Di London

Fuller memegang telur burung gajah yang akan dilelong di rumah lelongan Summers Place Auctions di Billingshurst

Telur burung gajah ini berasal dari Madagascar

Replika rangka dan telur burung gajah

Perbandingan telur burung gajah (kiri) dan telur burung unta (kanan)


LONDON – Sebutir telur burung paling besar di dunia dijangka dijual pada harga £50,000 (RM262,174) pada satu acara lelongan yang berlangsung di Billingshurst di West Sussex dekat sini hari ini. 
Telur berkenaan berasal daripada spesies burung gajah yang hidup di Madagascar sebelum ia pupus 200 tahun dahulu. 
Telur sepanjang 30.48 sentimeter itu sangat besar sehingga boleh memuatkan sebanyak tujuh biji telur burung unta dan 100 biji telur ayam. 
Rumah lelongan Summers Place Auctions percaya telur berkenaan boleh dijual antara £30,000 (RM157,318) hingga £50,000 (RM262,174) sebiji. 
Kurator di Summers Place Auctions, Errol Fuller berkata, pakar telah mengesahkan telur berkenaan adalah yang paling besar di dunia dan tiada haiwan lain yang dapat menandinginya. - AGENSI/ Kosmo!

Gadis Ini Melukis Guna Mesin Taip

Potret Ratu Elizabeth II yang dilukis Rathbone dengan menggunakan mesin taip. Foto: Metro

Potret Hammersmith Bridge, yang menjadi mercu tanda bandar raya London. Foto: Metro

Rathbone bersama mesin taip yang pernah digunakannya untuk menghasilkan lukisan. Foto: Metro


LONDON - Seorang artis di sini menghasilkan lukisan kompleks dengan hanya menggunakan mesin taip tanpa sebarang bantuan peralatan lukisan, lapor portal berita Metro.uk kelmarin. 
Wanita tersebut, Keira Rathbone berkata, dia mula mendapat idea untuk menghasilkan pelbagai lukisan dengan menggunakan mesin taip selepas bosan menulis menggunakan peralatan berkenaan. 
"Idea untuk melukis menggunakan mesin taip timbul beberapa tahun lalu ketika saya duduk berseorangan di dalam bilik. 
"Saya kemudiannya mengambil sekeping kertas dan mula menekan setiap huruf yang ada pada mesin taip untuk menghasilkan pelbagai objek," katanya. 
Rathbone kini sudah menjual beberapa lukisan di seluruh dunia melalui internet dan lukisan unik wanita itu turut dijual di pasar raya Selfridges. - AGENSI/ Kosmo!

'Along Ceti' 18 Tahun Ditahan Polis Sabah

Ancaman Along (foto hiasan)

Mangsa Along (foto hiasan)

Godaan Along (foto hiasan)

Padah menimpa Along (foto hiasan)


KOTA KINABALU - Polis Sabah menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau Along. 
Ketua jabatan itu, Superintendan Saiman Kasran, berkata lelaki berusia 18 tahun dan berasal dari Johor Bahru itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Penampang pada Jumaat lalu. 
"Turut dirampas daripada suspek sebuah kereta dan beberapa dokumen yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 
Saiman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1,000,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sekiranya kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan. 
Beliau berkata, polis menerima aduan daripada seorang kontraktor lelaki berusia 37 tahun yang mendakwa dirinya diganggu oleh 'Along' berhubung pinjaman wang yang dibuatnya sejak Mei lalu. 
"Menurut aduan pada 19 Ogos lalu, pengadu mendakwa meskipun banyak hutang dijelaskan olehnya tetapi 'Along' tersebut masih lagi datang menagih hutang daripadanya," katanya. 
Saiman berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kegiatan Along supaya menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di talian 088-454690 atau mana-mana balai polis. 
Sementara itu, katanya polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang dikehendaki polis iaitu Amar Izzudin Abdul Majid, 25, yang beralamat di Blok A 18-06, Regalia Residence, Jalan Sultan Ismail, 50400, Kuala Lumpur. 
Beliau berkata, lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai 'Ku Iskandar Ku Fais' disiasat berhubung beberapa kes penipuan pelaburan emas daripada institusi kewangan di Kudat yang membawa pulangan wang lumayan. 
Katanya, setakat ini, terdapat lima kes yang sama dilaporkan di Kudat dengan nilai kerugian sebanyak RM26,400 dan suspek dipercayai masih berada di Kota Kinabalu atau Kudat. 
"Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Haslina Hasan (H/P 0195507373) atau Balai Polis Kudat 088-612222 dengan segera," katanya. - BERNAMA

Isnin, 25 Ogos 2014

Gempa Bumi 6.0 magnitud Landa Utara San Francisco

Sebuah bangunan di Napa rosak dalam gempa bumi yang berlaku awal hari ini 

Keadaan di sebuah pasar raya selepas gempa bumi

Keadaan di sebuah kedai arak

Anggota bomba sedang memadamkan api kebakaran 

Sebuah bangunan bersejarah di Napa turut rosak

Seorang penduduk sedang memeriksa kerosakan rumah bergeraknya selepas kejadian gempa

Foto yang dihantar ke media sosial menunjukkan kerosakan yang berlaku di sebuah rumah

Serpihan bata bangunan di sebatang jalan raya di bandar Napa


NAPA, California - Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda utara San Francisco awal hari ini menyebabkan kira-kira 100 orang cedera, kerosakan pada bangunan bersejarah dan kediaman terbakar serta gangguan bekalan elektrik di sini. 
Gempa yang dianggap paling kuat di negeri itu sejak 25 tahun mencemaskan penduduk yang sedang tidur apabila ia melanda pada kira-kira jam 3.20 pagi waktu tempatan. 
Pusat gempa pada 10 kilometer selatan bandar raya Napa terletak kira-kira 80 kilometer timur laut San Francisco. 
Ketua Bomba tempatan, John Callahan berkata, tidak dapat dipastikan sekiranya terdapat kematian tetapi tiga orang mengalami kecederaan parah termasuk seorang kanak-kanak selepas dihempap tempat pendiangan. 
Enam kebakaran berlaku termasuk membabitkan enam buah rumah bergerak. 
Sementara itu, Pusat Perubatan Queen of the Valley berkata, pihaknya merawat kira-kira 120 pesakit yang cedera akibat gempa bumi itu. 
Gempa bumi berkenaan dirasai di sepanjang Teluk San Francisco. - Reuters/ Berita Harian

Chef Maut Dipatuk Kepala Ular Tedung

Seorang tukang masak yang berasal dari Foshan, Peng Fan dilaporkan sedang menyiang seekor ular tedung

Peng bercadang membuang kepala ular itu ke dalam tong sampah tetapi dia dipatuk oleh kepala ular itu

Pakar ular, Yang Hong-chang berkata, semua reptilia boleh hidup sehingga satu jam selepas kepalanya terputus

Apabila kepala ular dipotong, sistem badannya terhenti namun masih ada tindak balas boleh berlaku dan ia mampu mematuk


GUANGZHOU - Seorang chef mati dipatuk ular tedung 20 minit selepas kepala reptilia berkenaan dipisahkan dari badannya untuk dimasak. 
Dalam kejadian itu, tukang masak berasal dari Foshan, Peng Fan dilaporkan sedang menyiang seekor ular tedung. Restoran berkenaan memang dikenali ramai kerana menyediakan hidangan istimewa menggunakan daging ular tedung Indochina. 
Media semalam melaporkan, Peng bercadang membuang kepala ular itu ke dalam tong sampah apabila dia dipatuk. Sumber berkata, badan ular itu biasanya dimasak sup manakala kepalanya dibuang begitu saja. Ia adalah hidangan popular di Guangdong dan banyak ditawarkan di restoran mewah wilayah berkenaan. 
Pelanggan restoran itu, Lin Sun, 44, berkata, dia datang bersama isterinya ke restoran berkenaan untuk meraikan hari lahir apabila tiba-tiba suasana menjadi kecoh. 
“Kami tidak mengetahui apa yang berlaku, tetapi dapat mendengar jeritan dari dapur. “Kami nampak pekerja restoran menghubungi doktor. “Apabila bantuan perubatan tiba, dia sudah meninggal dunia,” katanya. 
Selepas mendengar berita itu, dia dan isterinya segera meninggalkan restoran berkenaan. Mangsa patukan ular tedung Indochina biasanya mengalami sesak nafas kerana toksik dalam bisa ular melumpuhkan sistem pernafasan. 
Jurucakap polis berkata, ia adalah kes luar biasa tetapi dikategorikan sebagai kemalangan. 
“Tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan Peng. “Sepatutnya vaksin antibisa boleh membantu, namun ia tidak sempat diberikan. Ia memang tragik,” katanya. 
Pakar ular, Yang Hong-chang berkata, menyatakan semua reptilia boleh hidup sehingga satu jam selepas terputus sebahagian atau keseluruhan badannya. 
“Memang ada kemungkinan ular itu masih hidup walaupun kepala dan badannya sudah terpisah. “Apabila kepala ular dipotong, sistem badannya terhenti namun masih ada tindak balas boleh berlaku dan ia mampu mematuk,” katanya. - Agensi/ myMetro

Yahudi Juga Kutuk Israel?

Ratusan mangsa Holocaust yang terselamat dan keturunan mereka mengutuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza

Mereka menandatangani sepucuk surat yang disiarkan sebagai iklan dalam akhbar New York Times

Mereka juga menggesa orang ramai supaya memboikot sepenuhnya Israel

Mereka melakukan kecaman itu selepas profesor Yahudi Elie Wiesel membeli iklan ini

Mangsa Holocaust juga menuduh Israel melakukan 'pembunuhan beramai-ramai' di Gaza


NEW YORK - Ratusan mangsa Holocaust yang terselamat dan keturunan mereka menandatangani sepucuk surat yang disiarkan sebagai iklan dalam akhbar New York Times bagi mengutuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza. 
Mereka juga menggesa orang ramai supaya memboikot sepenuhnya Israel. Menurut surat itu, mereka terdorong melakukan kecaman berkenaan selepas aktivis politik dan profesor Yahudi Elie Wiesel membeli iklan di media massa utama seluruh dunia untuk menuduh Hamas sebagai pembunuh kanak-kanak. 
Wiesel juga membandingkan kumpulan pejuang Palestin itu dengan Nazi. Surat ditandatangani 327 Yahudi mangsa Holocaust itu ditaja Rangkaian Antarabangsa Yahudi Antizionis dan mereka menganggap Elie menodai sejarah untuk menghalalkan serangan Israel ke atas Gaza. 
Surat itu menyatakan: “Kami meluat dan marah terhadap memanipulasi sejarah oleh Elie Wiesel bagi menghalalkan usaha Israel memusnahkan Gaza dan membunuh lebih 2,000 warga Palestin yang kebanyakannya kanak-kanak. Tiada apa boleh mewajarkan pengeboman ke atas tempat perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, rumah, hospital dan universiti. Tiada alasan untuk menyekat bekalan air dan elektrik ke atas Palestin.” Rangkaian Antarabangsa Yahudi Antizionis itu turut menyalahkan Amerika Syarikat kerana membantu Israel dalam operasi di Gaza tindak-tanduk mereka melindungi negara Yahudi itu daripada dikecam. 
“Penghapusan bangsa bermula dengan kesenyapan dunia,” kata surat itu. 
Surat berkenaan diakhiri dengan gesaan supaya Israel menghentikan sekatan ke atas Gaza dengan serta-merta serta penegasan supaya kezaliman itu ditamatkan sepenuhnya. - Agensi/ myMetro