Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 20 Januari 2013

Wanita Mati Terkena Peluru Di Klang

Anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Taman Sejati, Klang, semalam. Foto: Berita Harian

Beberapa anggota polis memeriksa kereta Proton Waja yang dinaiki seorang penjenayah dan teman wanitanya di Taman Sejati, Klang kelmarin. Foto: Kosmo!

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian satu kes tembak selepas anggota polis mengejar suspek. Foto: myMetro


KLANG - Seorang wanita berusia 22 tahun yang menaiki sebuah kereta curi bersama seorang lelaki maut selepas terkena tembakan oleh anggota polis apabila enggan mematuhi arahan supaya berhenti dalam kejadian di Taman Sejati di sini, malam tadi. 
Mangsa yang duduk di sebelah suspek lelaki yang memandu kereta jenis Waja, cedera parah di bahagian badan selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang anggota polis ke arah suspek berusia 31 tahun. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohamad Adnan Abdullah berkata, kejadian bermula pada 7.35 malam apabila sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta dipandu suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti di Jalan Batu 3 Lama di sini. 
Beliau berkara pemandu Waja terbabit bagaimanapun enggan berbuat demikian lalu memecut kenderaannya dan ketika dikejar polis, suspek bertindak melanggar beberapa kereta lain sebelum berhenti di satu kawasan di Taman Menara di sini. 
"Salah seorang anggota polis keluar untuk melakukan pemeriksaan tetapi kereta suspek tiba-tiba mengundur dan cuba merempuh polis itu sehingga memaksa anggota terbabit melepaskan satu das tembakan amaran. 
"Pemandu itu kemudian memecut laju kereta sehingga ke Taman Sejati di sini sebelum berhenti di depan sebuah rumah dan cuba merempuh kereta peronda sekali lagi. Tindakan suspek yang berbahaya itu menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum suspek menyerah diri," katanya di sini hari ini. 
Mohamad Adnan berkata hasil pemeriksaan polis menemui seorang wanita di bahagian tempat duduk penumpang yang mengalami kecederaan di bahagian badan berdasarkan kesan darah yang ditemui di pakaiannya. 
Beliau berkata polis seterusnya menghubungi ambulans dan pembantu perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat terkena satu das tembakan. 
Mohamad Adnan, berkata hasil pemeriksaan lanjut polis menemui sebilah parang di tempat duduk penumpang belakang bersama satu paket serbuk putih dipercayai dadah dan semakan turut mendapati kereta Waja itu pernah dilaporkan hilang di Klang pada 15 Januari lepas. 
"Siasatan ke atas suspek lelaki yang mempunyai alamat terakhir di Taman Sentosa di sini mendapati dia mempunyai enam rekod kesalahan lama membabitkan kes samun, pecah rumah, dadah dan melarikan orang. 
"Polis juga akan menyiasat hubungan sebenar antara suspek dengan mangsa dan motif sebenar kejadian," katanya sambil menambah siasatan ke atas nombor pendaftaran kereta berkenaan turut mendapati cukai jalan telah tamat tempoh. 
Mohamad Adnan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat sementara suspek yang tidak mengalami kecederaan disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 (A) Kanun sama selain kesalahan dadah. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.