Ahad, 3 Mac 2013

Berita Dari Semporna

PENDUDUK meninggalkan rumah masing-masing ekoran serangan pengganas Sultan Sulu terhadap pasukan polis di Kampung Simunul, Semporna semalam.


LAHAD DATU - Seorang pegawai dan lima anggota polis terkorban selepas mereka diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu di Kampung Seri Jaya, Simunul dekat Semporna lewat petang kelmarin. 
Kejadian di perkampungan atas air itu turut menyebabkan enam orang dipercayai anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar kecil) berkata, kejadian itu tercetus kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin ketika 25 orang polis mengadakan pemeriksaan di kampung berkenaan setelah menerima maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di situ. 
Menurut beliau, sepasukan 25 orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kemudian telah melakukan pemeriksaan ke kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah. 
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di kampung tersebut, kumpulan bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan penceroboh Sulu terbabit menyerang hendap pasukan berkenaan dengan melepaskan tembakan. 
"Pasukan kita telah diserang dan ditembak oleh kumpulan terbabit sehingga mengorbankan seorang pegawai dan lima anggota," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid. 
Ismail memberitahu, anggota polis itu ditembak ketika mereka sedang menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri. 
Menurut beliau, pihak polis kemudian telah mengerahkan pasukan bantuan ke kampung tersebut untuk membantu baki 19 orang anggota yang terperangkap di situ. 
Operasi pasukan bantuan tersebut selama hampir 24 jam yang berakhir pada pukul 6.30 petang semalam berjaya menyelamatkan 19 anggota terbabit dan mengeluarkan mayat semua anggota polis serta enam anggota kumpulan pengganas. 
Ismail berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna. 
Setakat ini, jelas beliau, kampung tersebut telah dikepung oleh pasukan keselamatan. 
"Baki ahli kumpulan itu masih berada di dalam kampung berkenaan dan kita telah mengepung mereka," ujarnya. 
Pada Jumaat lalu, dua anggota komando VAT 69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terbunuh sementara tiga yang lain cedera dalam insiden pertempuran di Kampung Tanduo. 
Dalam kejadian itu, seramai 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh. 
Sementara itu, Ismail berkata, polis turut menahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo di sini sejak 12 Februari lepas. 
"Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan tersebut. - Kosmo



Penduduk Pukul Lelaki Bersenjata M16 Hingga Mati

Pemandangan di Kampung Air Simunul, Semporna. Foto: Sabahkini


SEMPORNA — Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi. 
Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu. 
Dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini. 
Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata, selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa ‘saya yang menembak polis malam tadi’. 
"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang,” katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan. 
Abdul Hani berkata, penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya. 
Beliau berkata, lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu. 
Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah. 
Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain. 
Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit. 
Cubaan untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd. Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.— BERNAMA


Sepasukan anggota Polis Gerakan Am (PGA) tiba di kuaters Sub Taktikal kira-kira satu kilometer dari Kampung Tanduo di Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Tindakan seorang ahli kumpulan penceroboh Sultan Sulu yang menjadikan 80 penduduk kampung di Kampung Sinalang Lama, Semporna dekat sini sebagai tebusan berakhir apabila dia dibelasah sebelum dibunuh oleh 20 pemuda kampung berkenaan semalam. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pengganas terbabit yang merupakan seorang warga emas berusia 60-an dikatakan cuba mengarahkan semua tebusan berjalan ke sebuah masjid sebelum dia diserang penduduk. 
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, lelaki tersebut merupakan salah seorang daripada kumpulan bersenjata yang berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di Kampung Simunul dekat sini sehingga mengorbankan lima anggota polis. 
Katanya, lelaki itu berjaya menyelinap keluar dari Kampung Simunul melalui kawasan pantai sebelum memasuki kawasan Kampung Sinalang Lama dan menawan 80 penduduk kampung di situ. 
Jarak Kampung Simunul dengan Kampung Sinalang Lama adalah tujuh kilometer. 
"Lelaki berbangsa Suluk yang lengkap bersenjata M16 dan pelancar bom itu telah bertindak mengetuk pintu rumah penduduk kampung sebelum mengarahkan mereka berkumpul. 
"Selepas itu, dia mengarahkan kesemua 80 penduduk kampung menuju ke sebuah masjid," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 
Hamza menambah, ketika dalam perjalanan ke masjid itu, seramai 20 pemuda daripada kumpulan penduduk itu bertindak menangkap sebelum memukul dan membunuh pengganas tersebut. 
"Dari segi undang-undang, perbuatan penduduk kampung itu mungkin kasar, tetapi mereka merupakan tebusan dan berhak mempertahankan nyawa," ujarnya. 
Sementara itu, Hamza berkata, polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sedang menyediakan perincian akhir sebelum mengambil tindakan drastik terhadap kumpulan penceroboh yang masih enggan menyerah diri. 
"Setakat ini, tiga anggota kumpulan penceroboh itu ditahan ketika cuba keluar dari kawasan kawalan di Kampung Tanduo, Lahad Datu. Dua daripada mereka ditahan semalam (kelmarin) dan seorang lagi ditahan pagi ini (semalam)," katanya. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.