Jumaat, 8 Mac 2013

Khabar Dari Sabah

'Raja Muda Sulu' Terbunuh
Mayat seorang penceroboh Sulu yang ditemui kelmarin. Mayat ini diletakkan atas karpet. Mungkin ini mayat 'Raja Muda Sulu'

Raja Muda Azzumuddie Kiram (anak panah merah). Foto: ABN News

LAHAD DATU - Saki-baki kumpulan pengganas Sultan Sulu diyakini berada dalam keadaan lemah ekoran Jeneral Raja Muda Azzumuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan di Sabah terbunuh bersama 31 anggotanya dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini. 
Sehingga semalam, jumlah musuh yang terbunuh sejak pertempuran bermula pada 1 Mac lalu seramai 52 orang. Bagi pihak pasukan keselamatan pula seramai lapan pejuang negara gugur. 
Bagaimanapun, dalam pertempuran terbaharu kelmarin dan semalam, tiada kematian atau kecederaan dialami pihak pasukan keselamatan. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, 31 daripada pengganas termasuk seorang ketua puak musuh yang berpangkat Jeneral maut dalam pertempuran yang berlaku di Kampung Tanjung Batu petang kelmarin. 
Seorang lagi pengganas berjaya ditembak mati pasukan keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada pukul 11 pagi semalam. 
"Sejak petang semalam (kelmarin) hingga pukul 11 pagi ini (semalam) pasukan keselamatan terlibat dalam beberapa pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan sekitar Kampung Tanduo," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. 
Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan status seorang Jeneral yang terbunuh ialah Azzumuddie yang merupakan adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III. 
"Setakat ini kita belum dapat mengesahkan identiti Jeneral yang terbunuh berikutan keadaan yang berisiko dan membahayakan anggota keselamatan bagi mengeluarkan mayat-mayat pengganas yang terbunuh," kata beliau. - Kosmo!

Penceroboh Sulu Cakap Melayu Minta Rokok
Penduduk Kampung Tanjung Labian ini sempat membawa kerbau peliharaannya meninggalkan kampung buat sementara.

LAHAD DATU - Seorang penduduk Kampung Tanjung Batu melalui saat cemas apabila ditahan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata semasa menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya berdekatan Kampung Tanduo di sini, namun mujur mereka hanya meminta rokok. 
Menceritakan detik cemas pada Isnin lalu, Abdul Rahman Seilani, 53, berkata, dia terserempak dengan sekumpulan kira-kira tujuh lelaki bersenjata dan berpakaian celoreng di jalan raya di kampung itu kira-kira pukul 9 pagi. 
"Ketika saya lalu di depan mereka, seorang daripada lelaki itu meminta rokok daripada saya dalam bahasa Melayu. 
"Saya kemudian memberikan mereka sekotak rokok yang saya ada dan mereka memberikan wang RM50 tetapi saya tidak mengambilnya," katanya ketika ditemui di Dewan Fajar Harapan di Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari sini semalam. 
Bimbang dengan keselamatan diri, Abdul Rahman mengambil keputusan untuk segera meninggalkan kampung menerusi pesisir pantai untuk ke Kampung Tanjung Labian yang terletak bersebelahan kampungnya. 
"Saya kini tinggal bersama anak di kuarters pekerja Felda di Fajar Harapan," katanya. 
Dewan Felda Harapan di Felda Sahabat itu menempatkan penduduk dari tujuh kampung yang berpindah berikutan tindakan pasukan keselamatan menggempur kedudukan pengganas di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini. - Kosmo!


Makin Ramai Pengganas Terbunuh Di Lahad Datu
Kubur yang ditemui di Kampung Tanduo, Lahad Datu

Mayat penceroboh ditanam dalam kubur yang ditemui

Lagi mayat penceroboh Sulu yang ditemui di Kampung Tanduo. Foto: Melvister.Com

Antara senjata yang digunakan oleh penceroboh Sulu

Apakah yang dicari oleh mereka ini? Adakah keberanian dan kematian mereka benar-benar bermakna atau sia-sia?

LAHAD DATU - Sejumlah 52 pengganas ditembak mati sejak 1 Mac lalu, termasuk 31 dan seorang lelaki dipercayai berpangkat Jeneral dalam Op Daulat, di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, di sini, selain Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna. 
Kesemua 32 pengganas itu ditembak ketika cuba melarikan diri daripada serangan pasukan keselamatan terbunuh di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, sejak operasi petang semalam hingga petang ini. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam operasi kira-kira jam 4.15 petang kelmarin, pasukan keselamatan yang menjejaki saki baki kumpulan pengganas terbabit ditembak di tiga lokasi berasingan di Kampung Tanduo dan selepas berbalas tembakan, seorang pengganas ditembak mati manakala yang lain melarikan diri dalam hutan. 
Katanya, operasi kemudian diteruskan di Kampung Tanjung Batu yang terletak bersebelahan dan berlaku pertempuran sengit menyebabkan 31 pengganas termasuk seorang ketua mereka berpangkat Jeneral tumpas, kira-kira 11.30 pagi tadi. 
"Sehingga ini, operasi masih diteruskan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu. Tumpuan lebih di Kampung Tanjung Batu kerana dipercayai saki baki kumpulan terbabit melarikan diri di kawasan itu,” katanya dalam sidang media memaklumkan operasi harian Op Daulat bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Pusat Media Felda Residence Sahabat, di sini, petang ini. 
Sementara itu, Zulkifeli berkata, pihak keselamatan juga sudah mengepung kedua-dua kawasan berkenaan dan akan bertindak seterusnya. 
Katanya, pihaknya juga mengarahkan semua anggota berwaspada menjalankan operasi dan tiada kematian atau kecederaan baru anggota dilaporkan sehingga ini. - myMetro

Mat Bom Sudah Ditahan Polis
Pasukan keselamatan memeriksa penunggang motosikal yang menuju ke Tanjung Labian, semalam. Foto: myMetro

LAHAD DATU - Lapan lelaki termasuk seorang warga emas dikenali sebagai Mat Bom bersama lapan pengikutnya dipercayai saki-baki pengganas ditahan ketika cuba masuk ke Dewan Serbaguna Embara Budi untuk menyamar sebagai penduduk kampung, petang kelmarin. 
Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berpakaian seperti orang awam cuba mengaburi pasukan keselamatan, namun tidak berhasil selepas dia ditahan di depan pintu pagar dewan berkenaan yang dikawal ketat polis bantuan FELDA. 
Menurut sumber, hasil pemeriksaan polis bantuan yang curiga dengan tindak-tanduk lelaki itu bersama lapan pengikutnya akhirnya membongkar taktik liciknya selepas dia difahamkan antara dalang membawa pengganas masuk ke Kampung Tanduo. 
“Mat Bom yang juga penduduk Kampung Tanduo didakwa sering menghasut penduduk kampung supaya memberontak di sini. 
“Dia juga sering mengedar risalah mengenai Kesultanan Sulu kepada penduduk kampung dan menghasut supaya mentaati Sultan Sulu,” katanya. - myMetro
 Cerita lanjut tentang Mat Bom boleh dibaca di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.