Ahad, 27 Oktober 2013

Ahli Politik Indonesia Dituduh Guna Sihir

Penyokong gabenor wilayah Banten, Ratu Atut Chosiyah dipercayai guna ilmu hitam

Sekumpulan pelajar membacakan surah Yasin bagi melindungi penyiasat Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK)

Ratu Atut Chosiyah meninggalkan ibu pejabat Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) selepas disoal siasat

“Biar Atut dilindungi pawang, KPK dilindungi Tuhan,” kata ketua KPK Arabaham Samad (kanan)


BANTEN - Puluhan pelajar pesantren dan ulama dari seluruh Banten semalam mengunjungi ibu pejabat badan pencegah rasuah Indonesia dalam usaha untuk ‘melawan’ ilmu hitam yang dipercayai digunakan penyokong gabenor wilayah berkenaan Ratu Atut Chosiyah dan keluarganya. 
Dudung Abdurrahman, antara pelajar yang turut serta berkata, kumpulan itu membaca surah Yasin bagi melindungi Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) daripada sebarang cubaan menghalangnya menyiasat rasuah dalam dinasti politik Banten. 
“Ini usaha kami untuk memberi sokongan moral kepada KPK supaya ia tidak takut dengan sebarang perbuatan ilmu hitam,” kata Dudung. 
Khabar angin tersebar luas mengenai keluarga Ratu Atut sejak penangkapan adiknya Tubagus Chaeri Wardhana (Wawan) berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya daerah Lebak. 
Ratu Atut dikatakan dilindungi oleh sekumpulan Jawara, pemimpin berpengaruh yang mahir dalam ilmu persilatan dan dukun. 
Seorang pawang Ki Gendeng Pamungkas yang mendakwa mengenali keluarga Ratu Atut berkata, penyiasat KPK yang menjalankan siasatan terhadap keluarga itu akan terkena ilmu hitam. 
“Kumpulan pawang di Banten, Sukabumi dan |Cianjur Selatan akan menyerang serentak pemimpin KPK,” kata Pamungskas seperti yang dipetik oleh portal berita Tribunenews.com. Gabenor Banten itu dituduh merasuah Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Akil Mochtar dalam kes keputusan pilihan raya majlis perbandaran baru-baru ini. 
Sementara itu, KPK tidak menghiraukan khabar angin mengenai penggunaan ilmu hitam itu. “Biar Atut dilindungi pawang, KPK dilindungi Tuhan,” kata ketua KPK Arabaham Samad. - Agensi/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.