Selasa, 25 September 2012

Antara Dua Persepsi



Seorang usahawan yang sedang sakit terlantar merasakan tidak terdaya lagi hendak meneruskan perniagaannya. Lalu dia membahagikan perniagaannya kepada dua orang anak lelakinya. Usahawan itu juga berpesan kepada isterinya agar pulang ke kampung, jika dia meninggal dunia. 

Beberapa bulan kemudian, usahawan itu merasakan ajalnya telah semakin hampir. Lalu usahawan itu segera berwasiat kepada dua anak lelakinya dengan disaksikan oleh isterinya. Wasiat usahawan itu kepada kedua-dua anaknya ialah:

1. Jangan terkena cahaya matahari semasa hendak pergi berniaga  

2. Jangan menagih hutang piutang daripada para pelanggan.

Selepas usahawan itu meninggal dunia, isterinya pulang ke kampung. Namun selepas beberapa tahun, dia merasa rindu kepada kedua-dua anaknya. Lalu dia pun berangkat ke kota. Mula-mula, dia pergi ke kedai anaknya yang sulung. 

Sebaik berjumpa, berlakulah dialog berikut: 

"Apa khabar mu wahai anakku?" tanya ibu kepada anaknya.


"Khabar tak berapa baik wahai ibuku," jawab anaknya dengan wajah yang sugul. 
Ibu itu memandang sekeliling kedai anaknya. Dia cuba membandingkan keadaan kedai itu sebelum dia balik kampung beberapa tahun yang lalu. Tidak nampak peningkatan. Sebaliknya barang-barang dalam kedai itu tinggal sedikit. Lalu ibu itu pun bertanya lagi kepada anaknya: 
"Bagaimana perniagaan mu?" 
"Perniagaanku sedang menghadapi masalah dan mengunggu masa hendak gulung tikar" 
"Apakah kamu mengingkari wasiat ayahmu?" 
"Tidak ibu..." 
"Habis, mengapa perniagaanmu hendak gulung tikar?" 
"Sebab, setiap hari saya terpaksa menyewa teksi dari rumah ke kedai ini agar saya tidak terkena cahaya matahari. Maka saya terpaksa membayar sewa teksi yang mahal. Saya juga tak pernah menagih hutang daripada para pelanggan yang berhutang. Maka saya sentiasa mengalami kerugian." 
Siibu menggeleng-gelengkan kepala apabila mendengar jawapan anaknya itu. Dia merasa sedih kerana tidak berupaya hendak membantu. 
Selepas itu, ibu berkenaan pergi pula ke kedai anaknya yang kedua. 
"Apa khabarmu wahai anakku?" tanya ibu. 
"Alhamdulillah, khabar baik wahai ibuku," jawab anaknya dengan wajah yang ceria. 
"Ibu apa khabar?"


"Alhamdulillah baik..." jawab ibu pendek. 
Dia memandang sekeliling kedai anaknya. Nampak perbezaan. Barang jualan nampak lebih banyak berbanding dulu. Para pelanggan juga datang silih berganti. Lantas ibu itu menyoal anaknya: 
"Bagaimana perniagaanmu?" 
"Alhamdulillah, bertambah maju ibu..." 
"Adakah kamu mematuhi wasiat ayahmu?" 
"Ya, semestinya. Setiap hari saya akan pergi berniaga sebelum matahari terbit dan hanya akan pulang ke rumah selepas matahari terbenam. Saya pergi dan balik dengan berjalan kaki. Dengan itu saya tidak perlu membayar sewa teksi. Saya juga tidak terkena cahaya matahari. Masa saya berniaga juga panjang. Saya juga tidak pernah menagih hutang daripada para pelanggan saya kerana saya tidak pernah memberi hutang kepada mereka. Maka setiap hari saya mendapat hasil jualan secara tunai. Sebab itu perniagaan saya bertambah maju." 
Siibu tersenyum mendengar jawapan anaknya itu. Dia juga merasa gembira kerana kedai anaknya semakin maju.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.