Harga Makanan Naik Lagi?
|
Gambar hiasan. |
Tanpa kita sedari, indeks harga makanan dunia telah meningkat pada kadar 6% dan makanan bijirin meningkat pada purata 17% pada bulan Julai 2012 berdasarkan laporan Badan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO).
Kemarau yang sedang berlaku di Amerika Syarikat dan Rusia, dan banjir yang melanda China, Filipina dan Pakistan telah menjejaskan hasil pertanian dan mengurangkan bekalan, menyebabkan kenaikan harga makanan tidak dapat dielakkan.
Di Amerika Syarikat, kemarau panjang yang sedang melanda negara itu telah menjejaskan pengeluaran jagung dan soya sehingga menyebabkan harganya mencecah tahap tertinggi. Manakala kemarau di Rusia dan negara-negara sekitar Laut Hitam mengurangkan bekalan gandum.
Melihat situasi ini, besar kemungkinan harga barangan makanan dunia akan naik lagi pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
Soalnya, adakah Malaysia cukup bersedia menghadapi masalah ini? Seperti yang kita sedia maklum, bekalan beras kita di import dari China, Thailand, Vietnam, Pakistan dan India. Bagaimana jika faktor cuaca menyebabkan negara-negara berkenaan mengurangkan atau menghentikan eksport beras demi memenuhi keperluan dalam negeri mereka?
Sedangkan Malaysia baru diperingkat cadangan hendak meningkatkan pengeluaran padi melalui Belanjawan 2013! Melalui belanjawan itu, kawasan tanaman padi akan ditambah dan skim insuran untuk petani diwujudkan. Sejumlah RM140 juta diperuntukan bagi mewujudkan 4 jelapang padi baru seluas 19,000 hektar yang dijangka akan menghasilkan 104,000 beras.
Namun perlu diingat, mewujudkan kawasan padi baru memerlukan peruntukan infrastruktur pengairan yang sangat tinggi. Apatah lagi kos pengeluaran padi di Malaysia merupakan yang paling tinggi di rantau ini. Sedangkan kadar pengeluaran per hektar di Malaysia lebih rendah dari Vietnam, selain hasilnya berasnya yang kurang berkualiti.
Bagaimana dengan tepung? Bukankah tepung dihasilkan daripada gandum? Apa akan terjadi jika pengeluaran gandum terus merosot? Bagaimana dengan harga bahan makanan berasaskan tepung seperti roti, biskut, mi, kuih dan lain-lain? Adakah harga roti canai akan naik lagi atau saiznya menjadi lebih kecil?
Bagaimana dengan makanan berasaskan soya? Bagaimana dengan air soya, susu soya, minyak soya, tauhu kering atau tauhu basah dan lain produk makanan hasilan soya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.