Jumaat, 26 Oktober 2012

Khabar Dari Mekah

Jemaah haji di Jabal Rahmah


PADANG ARAFAH - Lautan jemaah haji yang berpakaian ihram membanjiri Padang Arafah di sini, barat Arab Saudi awal pagi semalam untuk menunaikan salah satu daripada lima rukun haji.
Ramai jemaah berkhemah di padang itu dengan kebanyakan mereka tiba sekitar waktu subuh semalam.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak dari 189 buah negara membanjiri kawasan itu dan mendirikan khemah pelbagai warna untuk tidur serta berdoa.
Sekitar 2.5 juta jemaah berada tiba di Padang Arafah.
"Kami datang dari Mekah. Kami berjalan kaki dari Masjidilharam ke Mina dan menaiki bas ke Padang Arafah," kata seorang jemaah haji dari Mesir yang datang bersama keluarganya.
"Semakin penat kami rasa, semakin banyak ganjaran pahala yang Tuhan berikan," kata lelaki itu.
Selepas selesai solat subuh, ramai jemaah haji menuju ke sebuah bukit kecil di Padang Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah.
Sebahagian jemaah berehat dan berdoa di celah batu di bukit tersebut dengan air mata mengalir di pipi mereka.
Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kaki bukit tersebut sebelum baginda wafat.
Para jemaah haji berdoa di Jabal Rahmah.

Sementara itu, seorang lelaki menggesa jemaah haji agar tidak mendaki tangga batu yang licin untuk menuju ke puncak Jabal Rahmah. 
"Nabi dan pengikutnya tidak pernah mendaki bukit ini. Tolong jangan mendakinya," kata lelaki berkenaan dengan menggunakan pembesar suara.
Sejak beberapa tahun lalu, beberapa jemaah haji pernah tergelincir dan terjatuh semasa memanjat bukit tersebut manakala sebahagian lagi meninggal dunia akibat insiden rempuhan.
Sebahagian jemaah tidak menghiraukan nasihat tersebut dan cuba mendaki Jabal Rahmah tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini yang dilaporkan berlaku. 
Jemaah haji kemudian akan bergerak pula ke Muzdalifah yang terletak di antara Mina dan Arafah untuk melontar batu di tiga buah jamrah. - AFP 
_______________________________________________________________________

Semoga ahli keluarga, saudara mara dan sahabat andai kita berserta umat Islam seluruhnya dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna. Semoga mereka mendapat haji mabrur. Semoga giliran kita menunaikan ibadah haji akan tiba jua.
Selamat Hari Raya Aidil Adha.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.