Lembaga Botak Di Samar Senja
Mat Resat memang gemar menjala ikan di sungai sewaktu senja masih samar-samar selepas Maghrib. Kadangkala marah juga ayah mertuanya, Itam Sidin bila mendengar Mat Resat menjala ikan hingga tertinggal solat Maghrib. Lebih teruk lagi apabila solat lima waktupun sengaja dia tinggalkan.
Itam Sidin sudah meleteri anaknya Endon, iaitu isteri Mat Resat akan perkara ini. Tetapi apabila Endon sampaikan pada Mat Resat, dia hanya menjawab dengan sinis, "ayah awak tu berleter tak tentu fasal, dia tak taukah kubur masing-masing..."
Sebab itu Endon tidak mahu lagi meleteri Mat Resat. Terpulanglah pada Mat Resat memikirkan baik buruknya meninggalkan solat lima waktu. Malah bulan bulan puasapun, dia tidak segan-segan tercongok di kepala tangga menghisap rokok daun.
"Nak ke mana awak ni?" tegur Endon sebaik melihat suaminya menggalas jala di bahu menuruni anak tangga.
"Awak tak nampakkah apa yang aku bawa..." sahut Mat Resat keras.
"Fasal nampaklah saya bertanya," kata Endon berdiri di kepala tangga merenungi suaminya yang mendongak ke arahnya.
"Ah, bising tak tentu fasal..." rungut Mat Resat melangkah meninggalkan halaman.
"Hoi, awak tu tak tau ke Maghrib ni?" Endon meninggikan suara. Mat Resat tidak menjawab.
"Saya tak ingin ikan yang awak jala tu, kalau awak tak menjala, di rumah ni tak berlauk ke?" Endon melepaskan geram kerana suaminya menggalas jala ketika Maghrib menjelang tiba.
Mat Resat tidak pedulikan leteran isterinya. Dia terus melangkah menuju ke sungai, sekalipun azan Maghrib dari surau kedengaran memecahkan keheningan senja.
Sampai saja di sungai, dia tidak bertangguh menebarkan jala. Semasa menarik jala, dia dapat merasakan getaran ikan menunjalkan kepala mahu melepaskan diri.
Itulah nikmat yang hendak dirasakan oleh Mat Resat. Namun kegelapan malam akan mengganggu keseronokan dia menjala. Mana tahu ada ular termasuk ke jala.
Sebab itu Mat Resat memilih waktu samar-samar senja pergi menjala. Dia percaya ketika itu ikan berkeliaran mencari tempat berehat. Tentu ikan-ikan yang berkeliaran itu mudah masuk ke dalam jalanya.
"Hah, banyak sangat sampah-sarap," rungut Mat Resat apabila menarik jalanya yang dipenuhi oleh sampah sarap. Tidak seekor ikan pun yang tersangkut di jalanya.
Beberapa kali Mat Resat menebar jala, masih juga tidak tersangkut ikan. Sedangkan senja semakin samar.
Mat Resat terus mudik ke hulu sungai menebar jala melalui bengkang-bengkok sungai yang ditumbuhi belukar teberau di kiri kanan.
Semasa melalui selekoh sungai berhampiran pokok kelepung rendang di tebing, Mat Resat terdengar bunyi orang menebar jala.
"Siapa pula tu...?" Mat Resat cuba menduga. Di kampung itu tidak ramai yang suka menjala.
Dalam keadaan samar-samar senja itu, Mat Resat memanjangkan leher memerhati keadaan di sekelilingnya. Tetapi dia tidak melihat siapapun. Hanya kedengaran bunyi timah jala jatuh ke air semakin dekat.
Tidak jadi Mat Resat menebar jala sebaik terdengar bunyi orang lain menebar jala. Dia hanya menunggu saja di situ mahu memastikan siapakah yang sama-sama menjala dengannya di kala senja begitu.
Beberapa lama menunggu, barulah Mat Resat nampak bayangan orang menebar jala.
Perlahan-lahan Mat Resat melihat seorang lelaki bertelanjang bulat dan berkepala botak sedang menyerak-nyerakkan pasir ke sungai. Dia dapat melihat lelaki itu bukan sedang menjala.
"Hoi, siapa awak?" tegur Mat Resat.
Lelaki itu berpaling. Tubuhnya kelihatan keputih-putihan di celah samar-samar senja.
"Awak menjala ikan juga ke?" tanya Mat Resat sekalipun sudah mengetahui lelaki itu tidak memegang jala di tangan.
Lelaki itu tidak menyahut. Dia membongkok mengambil pasir di dasar sungai. Kemudian dia menyerak-nyerakkan pasir itu ke air sehingga kedengaran seperti timah jala ditebarkan.
Berdebar juga hati Mat Resat kerana lelaki itu mendiamkan diri saja. Hendak dikatakan pekak, mustahil pula, sebab lelaki itu berhenti sejenak semasa ditegur oleh Mat Resat tadi.
Dia terus mendekati lelaki yang bertelanjang bulat itu. Apabila sudah hampir, didapatinya lelaki itu bukanlah bertelanjang bulat, tetapi seolah-olah memakai pakaian dari getah nipis berwarna putih.
"Hoi, siapa awak ni?" Mat Resat memegang bahu lelaki berkenaan.
Perlahan-lahan lelaki itu berpaling. Apabila mereka bertentangan, Mat Resat terkejut kerana lelaki berkenaan tidak mempunyai muka. Kepalanya bagaikan kundur terletak di atas tunggul.
Tetapi Mat Resat tidak takut. Memang Mat Resat pernah mendengar orang-orang di kampungnya menemui lembaga botak di kawasan sungai tersebut. Tetapi dia tidak pernah pula menemuinya selama menjala ikan di waktu senja sebelum ini.
"Kalau sahabat kau pergi, kalau musuh kau nanti," seru Mat Resat dengan jampi menteranya sambil dihembuskan perlahan ke arah lembaga berkepala botak yang tidak bermuka itu.
"Hai Mat Resat, sini bukan tempat kau," lembaga itu mencemik dengan suara garau. Sekali gus pula lembaga itu melemparkan pasir ke arah Mat Resat.
"Aku bukan nak cari kau, aku nak jala ikan!" sahut Mat Resat mengetap bibir.
Marah benar dia diganggu oleh lembaga tersebut. Belum pernah dia diganggu sedemikian.
"Kau tak tau ke, orang nak berehat dengan anak bini. Kenapa buat bising malam-malam ni?" rungut lembaga itu marah.
"Memangpun kau tak bermata!" jerkah Mat Resat berdiri tegak di tengah air.
"Kau tak tau ke, sekarang ni senja. Belum pun malam lagi...!" sambung Mat Resat keras.
"Sini rumah tangga orang, kenapa diganggu?" soal lembaga itu meninggikan suara.
"Kau bukan raja nak memerintah aku!" jawab Mat Resat.
"Keras betul kepala kau..." gerutu lembaga berkepala botak itu.
"Aku tak cari kau, tapi kau yang sengaja nak menakut-nakutkan aku! " bentak Mat Resat.
Kemudian dia menyeru, "Hai nenek guru tujuh petala langit, setinggi-tinggi sampai ke langit, anak cucu nak minta tolong bantu, hu..." Mat Resat mengisar dua tapak tangannya, sambil ibu jari kaki ditekankan ke pasir.
Ketika itu, air tempat lembaga itu berdiri menggelegak.
"Wah, kau nak tunjuk pandai ye," semakin marah lembaga itu terhadap Mat Resat.
"Kalau dada kosong, aku tak akan datang senja-senja begini hai puaka air," bentak Mat Resat.
Air mendidih di tempat lembaga berdiri kelihatan berasap seolah-olah terlalu panas. Segera lembaga itu melompat ke tebing. Kepalanya yang bulat seperti kundur itu tiba-tiba saja berlubang di bahagian mata.
Mat Resat tidak sempat naik ke tebing. Dia terpaksa menunggu di tengah air sungai. Tiba-tiba dia melihat api merah keluar dari bahagian mata yang berlubang.
Kemudian Mat Resat merasa benda lembut seperti agar-agar memaut dan menarik kakinya. Dia juga terasa pasir sungai menjadi lembut seperti lumpur.
Mat Resat menyeru melalui jampi serapah yang diajarkan oleh Tok Sepet, dukun kampung yang menjadi gurunya, yang mengajarkan cara-cara mengubati penyakit.
Tetapi dia merasa seolah-olah ditewaskan walaupun sudah berulang kali menyeru, "hai datuk petala guru, sehabis-habis sampai ke mambang, engkau bertiga saudara, berempat bersama aku, tolong bantu aku dalam bencana..."
Setiap kali Mat Resat menyeru, lembaga itu lari beralih tempat. Dari lubang mata lembaga itu nampak asap keluar berbau busuk menyebabkan Mat Resat terbatuk-batuk. Namun kaki Mat Resat masih juga dipaut dan ditarik dari bawah air.
Mat Resat menyeru lagi, "hai nenek tujuh petala bumi, sehabis-habis engkau sampai ke bawah bumi, tolong bantu aku dalam bencana!".
Mat Resat merasa tubuhnya ditolak dari bawah untuk melepaskan kakinya yang dipaut. Kemudian dia ternampak bayangan seperti bayi dalam kandungan di permukaan air. Tetapi bayangan itu tidak lama. Apabila bayangan itu hilang, dia merasa kakinya dipaut semula oleh lembaga lembik dari bawah.
"Ah, sampaikah ajal aku ini...?" bisik hati Mat Resat. Tapi semangatnya keras. Dia tidak mahu menyerah kalah.
Dalam keadaan terdesak itulah Mat Resat mengeluh, "ya Allah, apalah syaitan yang mengganggu aku ini. Aku mohon pertolongan-Mu ya Allah".
Sekali gus Mat Resat merasa kakinya terlepas dari pautan lembaga lembik. Kakinya yang sakit berdenyut-denyut mulai pulih, walaupun masih terasa sengal-sengal. Segera dia naik ke tebing menyelamatkan diri.
"Mat Resat, kau fikir kau sudah cukup pandai ye?" sindir lembaga itu yang berdiri di tebing seberang.
"Aku tak berilmu," sahut Mat Resat tegas. "Aku hanya berlindung kepada kepada Allah yang menjadikan aku dan juga kau," ujar Mat Resat enggan mengalah.
"Aku tau kau berguru dengan Dukun Sepet," suara parau lembaga itu terketar-ketar.
"Aku tak berguru dengan sesiapapun!" ujar Mat Resat. Dalam hatinya kini sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah. Kekesalan mulai menyusup ke dalam hatinya kerana mengabaikan solat. Ketika ini hatinya bulat menyerahkan segalanya kepada Allah.
"Lain kali jangan tunjuk pandai," lembaga itu terus mengejek.
"Kau pun jangan tunjuk pandai!" sahut Mat Resat tidak merasa gentar.
"Wah, kau lagi keras kepala..." sekali gus lembaga itu melayang dari seberang sungai hendak menerkam ke arah Mat Resat.
"Kau syaitan dilaknati Allah!" pekik Mat Resat mengertap bibir sambil bersedia menggunakan jala di tangan sebagai senjata untuk mempertahankan diri.
Lembaga itu hanya berlegar-legar di udara seolah-olah tidak dapat menghampiri Mat Resat. Kemudian dia terdengar sayup-sayup suara ayah mertuanya, Itam Sidin menyuruhnya azan tujuh kali. Tidak bertangguh Mat Resat melaungkan azan tujuh kali.
Selepas itu dia terdengar suara yang sama menyuruhnya membaca Ayat Kursi 33 kali. Mat Resat mengikut apa yang disuruh. Semasa dia membaca Ayat Kursi, Mat Resat melihat kilat memancar di udara dengan dentuman yang kuat. Sekali gus kilat itu menyinggahi lembaga berkenaan menyebabkan dia terhumban ke sungai.
"Bacakan Surah al-Ikhlas 11 kali..." bisik suara itu lagi sayup-sayup.
Dalam keadaan terdesak itu, Mat Resat sentiasa mematuhi. Lagipun dia hanya disuruh membacakan ayat-ayat Quran yang mudah.
Apabila Mat Resat melihat ke dalam sungai, dia nampak tiga lembaga botak berpelukan. Air di sekeliling lembaga itu mendidih dan berasap.
"Kau diselamatkan oleh ayat-ayat itu, Mat Resat!" gerutu lembaga itu terketar-ketar bagaikan menyimpan dendam.
"Tidak, aku diselamatkan oleh Allah SWT," ujar Mat Resat dengan penuh yakin.
Lama kelamaan lembaga botak tiga beranak itu tenggelam bersama arus. Manakala malam kian larut.
Mat Resat pulang ke rumahnya malam itu dalam keadaan letih dan kesal.
Sampai di rumah, Endon hairan melihat keruntung suaminya kosong. Tidak ada seekor ikan yang diperolehinya. Tidak pernah Mat Resat pulang dengan tangan kosong sekiranya pergi menjala.
"Hah, banyak awak dapat ikan?" sindir Endon sebaik suaminya naik ke rumah.
Mat Resat tidak menyahut. Setelah meletakkan keruntung di pelantar dapur dan menyangkutkan jala di dinding, dia terus mandi dengan tidak berrcakap sepatahpun. Selepas mandi dia mengambil wuduk.
"Awak tak makan dulu?" tanya Endon semasa Mat Resat melintas di depannya.
Mat Resat hanya menggilingkan kepala. Dia mencapai sejadah dan terus ke hujung serambi mendirikan solat. Terkejut Endon melihat perubahan suaminya. Selalunya selepas mandi, Mat Resat akan makan terlebih dahulu sebelum tidur terlentang di tengah rumah melepaskan penat.
Selesai solat, Mat Resat berwirid panjang. Selepas berwirid, barulah Mat Resat menjamah nasi yang dihidangkan oleh isterinya. Hingga selepas makan pun, dia tidak berapa menghiraukan pertanyaan Endon.
"Macam mana boleh tak dapat ikan?" Endon berlembut setelah melihat suaminya mendiamkan diri sahaja.
"Tak ada rezeki," jawab Mat Resat pendek. Selepas itu dia tidak melayani lagi pertanyaan isterinya. Mat Resat terlelap malam itu disebabkan terlalu letih.
Sebenarnya, Endon tahu, Mat Resat bukannya tidak mempunyai pengetahuan agama sehingga sanggup meninggalkan solat dan puasa. Semasa remaja, memang Mat Resat pernah belajar pondok. Tetapi setelah berkahwin dengan Endon, perangainya berubah.
Dia bukan sahaja jarang mendirikan solat, malah lebih gemar menuntut ilmu-ilmu dukun, seolah-olah dia lebih yakin ilmu-ilmu berkenaan dapat membantunya mengharungi hidup.
Tengah malam itu, Endon terkejut dari tidur apabila mendengar tangisan di hujung serambi. Apabila dia mengendap, dia mendapati Mat Resat sedang khusyuk meratip dan berzikir di atas sejadah.
Sedutan cerita dari buku Sumpahan Ilmu Syaitan, karya Tok Awang Ngah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.