Selasa, 13 November 2012

Bahaya Ketagih Main Video




KUALA LUMPUR - Ketagih bermain permainan video dalam kalangan kanak-kanak terutamanya pada musim cuti persekolahan sekarang salah satu punca mereka mengalami masalah gagal menguasai kemahiran bersosial dan berkomunikasi. 
Pensyarah Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail berkata, sindrom itu berlaku akibat kurangnya pendedahan dan pergaulan dengan masyarakat. 
Mereka, katanya, akan menjadi pendiam dan lebih gemar bersendirian. 
"Dari segi psikologi, ciri ketagihan permainan video sama seperti ketagihan lain iaitu keinginan yang sangat tinggi untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki. 
"Ketagihan ini boleh membawa kepada masalah lain seperti kemerosotan kesihatan dan pengurusan diri serta masa yang tidak teratur," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 
Menurut Khaidzir, faktor yang mendorong ketagihan tersebut berpunca daripada unsur ganjaran dan sikap ingin mencapai tahap tertinggi dalam satu-satu permainan video. 
Menurut Khaidzir, selain bermain video di rumah, kesan ketagihan yang sama di kafe siber juga membimbangkan kerana kanak-kanak terdedah kepada kemungkinan terlibat dengan kejadian jenayah seperti samun dan dadah. 
"Pengaruh rakan yang turut terlibat dalam hal ini akan menambahkan lagi ketagihan. Adanya dorongan daripada rakan-rakan memburukkan lagi keadaan," ujarnya. 
Sebelum ini, pada awal tahun ini seorang remaja mati mengejut di sebuah kafe siber di Taiwan akibat kemaruk bermain permainan video selama 40 jam tanpa henti. 
Bulan lepas, seorang remaja Amerika Syarikat berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas bermain permainan video selama empat hari tanpa henti. 
Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Nurhazreen Mohd. Nor berkata, selain kanak-kanak, ia juga memberi kesan buruk kepada orang dewasa. 
"Sindrom yang sama boleh menyebabkan tekanan dalam hubungan antara suami isteri kerana kurang rasa hormat antara satu sama lain. 
"Oleh kerana terlalu asyik dengan permainan video, suami kurang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga," jelasnya. 
Justeru, Nurhazreen mengesyorkan supaya ahli keluarga memainkan peranan penting bagi memberi sokongan kepada ahli keluarga yang mempunyai masalah ketagihan permainan video. 
"Dalam sebuah keluarga harus ada seorang yang bertindak sebagai perancang untuk mengembalikan interaksi sesama ahli keluarga termasuk menghentikan tabiat ketagih permainan video," jelasnya.
_______________________________________________________________________

Tak sangka... permainan yang sepatutnya menghiburkan... boleh mengundang ketagihan bagi sesetengah orang... 
Tak sangka pula... ada remaja Amerika boleh main video empat hari terus menerus sampai pengsan... 
Lagi tak sangka... ada remaja Taiwan sanggup main video 40 jam tanpa henti sampai mati! 
Tapi itu remaja... kalau dewasa ... boleh tergugat rumah tangga..! kalau lelaki yang ketagih... bini boleh cabut lari... kalau isteri... suami akan kahwin lagi! 
Itu bagi yang dah kahwin... bagi yang bujang... boleh terlajak... umur lebih 40 tahun... masih syok main video... sampai terlupa nak mengorat!
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.