Sabtu, 17 November 2012

Anak Raja Yang Ditolak Bumi Melaka

Replika Istana Melaka.

Alkisah maka tersebutlah perkataan anak Sultan Mansur Syah yang bernama Raja Muhammad itu; pada niat baginda Raja Muhammad itulah hendak dirajakan di Melaka. Maka Raja Ahmad dan Raja Muhammad telah besarlah kedua anakanda baginda itu. Akan Raja Muhammad itulah yang sangat dikasihi baginda. 
Sekali sepertua, Raja Muhammad pergi bermain-main berkuda ke kampung Bendahara Paduka Raja. Adapun pada masa itu Tun Besar, anak Bendahara, sedang bermain sepak raga di lebuh, dengan segala orang muda-muda. Maka Raja Muhammad pun lalu, ketika itu Tun Besar sedang menyepak raga; maka raga itu pun jatuh menimpa destar Raja Muhammad, jatuh ke tanah. Maka kata Raja Muhammad, "Ceh, jatuh destar kita oleh Tun Besar!" Sambil memandang mata penjawatnya. Maka berlari orang yang membawa puan baginda, ditikamnya Tun Besar, kena belikat terus ke hulu hati. Maka Tun Besar pun Mati. 
Maka orang pun gemparlah; segala anak buah Bendahara Paduka Raja pun semuanya keluar dengan alat senjatanya. Maka Bendahara Paduka Raja pun keluar bertanya, "Apa sebab gempar ini?" Maka kata orang itu, "Anakanda Tun Besar mati dibunuh oleh Raja Muhammad!" Maka segala perihalnya semua dikatakan orang pada Bendahara Paduka Raja. Maka kata Bendahara, "Mengapatah maka kamu semua berlengkap ini?" Maka sahut segala anak buah Bendahara, "Sahaya semua hendak berbalas akan kematian saudara sahaya semua!" maka kata Bendahara Paduka Raja, "Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua; nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan." Maka segala anak-anak Bendahara Paduka Raja pun diamlah sama-sama; masing-masing menyuruh menyimpan senjatanya. Mayat Tun Besar pun ditanamkan oranglah. 
Setelah Sultan Mansur Syah mendengar gempar itu, maka baginda pun bertanya, "Apa digemparkan orang itu?" Sembah Tun Indera Segara "Tun Besar, anak Datuk Bendahara tuanku, mati dibunuh oleh paduka anakanda Raja Muhammad." Maka segala perihal semuanya dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Maka titah baginda, "Apa kata Bendahara?" Maka sembah Tun Indera Segara, "Akan kata Datuk Bendahara, yang adat hamba Melayu tidak pernah derhaka, tetapi akan kita bertuankan anak raja seorang ini janganlah." 
Maka Sultan Mansur Syah pun memanggil Raja Muhammad; setelah datang, maka baginda pun murka akan anakanda baginda Raja Muhammad, titah baginda, "Celaka si Muhammad ini. Hei Muhammad! Apatah dayaku engkau ditolak muka bumi Melaka!" Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Bija Diraja ke Pahang. Maka Seri Bija Diraja pun datanglah. Maka Raja Muhammad pun diserahkan baginda kepada Seri Bija Diraja, disuruh rajakan di Pahang. 
Sedutan daripada buku Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, selenggaraan A. Samad Ahmad, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Kelapan 2000, halaman 152-153.
_______________________________________________________________________

Sesiapa yang susah sangat nak faham, atau tak faham langsung cerita di atas, kerana menggunakan bahasa Melayu klasik, berikut ini ialah ringkasan ceritanya. 
Kisah ini berlaku kira-kira 600 tahun yang lalu, iaitu semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. 
Raja Muhammad itu ialah anak Sultan Mansur Syah, Sultan Melaka ketika itu. Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar, anak Bendahara Tun Perak, kira-kira Perdana Menterilah, kalau zaman sekarang! 
Tun Besar sedang bermain sepak raga ketika Raja Muhammad melintas. Bagaimanapun, raga yang disepak oleh Tun Besar mengenai destar Raja Muhammad, menyebabkan destar itu jatuh ke tanah. 
Kesalahan ini kecil saja. Lagi pun berlaku secara tidak sengaja. Namun kejadian sekecil ini amat menyinggung perasaan Raja Muhammad, sehingga dia tergamak menyuruh Tun Besar dibunuh. 
Bagaimanapun, Tun Perak melarang para penyokongnya menuntut bela di atas kematian anaknya, kerana tidak mahu orang Melayu menderhaka kepada raja. 
Tetapi, beliau menyeru orang-orang Melayu ketika itu supaya tidak melantik Raja Muhammad yang telah membunuh anaknya, sebagai Sultan Melaka! 
Moral daripada cerita ini ialah, walaupun orang Melayu pada zaman dahulu taat kepada raja, tetapi anak raja yang terlibat dengan kesalahan jenayah tidak layak dilantik sebagai Sultan! 
Masih ada yang tak faham? 
Kamus: 
Sepak raga = sejenis permainan yang berevolusi menjadi permainan takraw sekarang ini 
Raga = bola yang dibuat daripada rotan untuk disepak 
Destar = sejenis kain yang dipakai di kepala, bukan di lutut 
Bukit = istana raja  Melaka atau pusat pemerintahan macam Putrajaya sekarang inilah 


1 ulasan:

  1. bagusla artikel ini. saya sgt faham. terima kasih.

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.