Jumaat, 16 November 2012

Hakikat Rezeki



KH Abdullah Gymnastiar mengatakan rezeki terbahagi kepada tiga kategori: iaitu rezeki yang dijamin, rezeki yang digantung dan rezeki yang dijanjikan. 
1. Rezeki yang dijamin
Rezeki yang dijamin ialah rezeki yang tidak perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Semua makhluk yang hidup di dunia ini masing-masing dikurniakan oleh Allah dengan rezeki seperti ini.
Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 6 yang bermaksud:
"Dan tidak ada sesuatu binatang melata pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya dan Dia mengetahui tempat tinggalnya dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)."  
Contoh rezeki yang dijamin ialah makanan dan minuman. Daripada semut yang halus hingga kepada gajah yang besar, Allahlah yang mengurniakan rezeki.
Bahkan, manusia, termasuk bayi yang tidak berdaya juga mendapat kurniaan rezeki daripada Allah. Boleh dikatakan, sukar kita hendak bertemu dengan kejadian orang tidak makan tiap-tiap hari atau tidak ada air untuk diminum, di tempat-tempat yang aman dan makmur.
Maka kita tidak perlu bimbang, tidak akan mendapat rezeki yang dijamin. Apa yang patut kita bimbangkan ialah takut-takut rezeki itu tidak halal atau kita tidak ingat kepada Allah semasa menerima dan menikmati rezeki itu.
Rezeki yang dijamin ini dikurniakan Allah sebagai rezeki asas bagi membolehkan setiap makhluk-Nya meneruskan kehidupan. 
2. Rezeki yang digantung
Rezeki yang digantung hanya dikurnia kepada seseorang, bergantung kepada daya usaha orang yang berkenaan.
Allah berfirman dalam Surah ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, maka dia akan mendapat upah. Tetapi jika dia tidak berbuat apa-apa, maka dia tidak akan mendapat sebarang upah. Upah yang diterima oleh orang berkenaan adalah contoh rezeki yang digantung.
Contoh yang lain ialah tentang seseorang yang membuka satu outlet perniagaan dengan pendapatan RM100 sehari. Tetapi jika dia membuka dua outlet, mungkin dia akan memperolehi pendapatan RM200 sehari. Maknanya, besar atau kecil pendapatan orang berkenaan bergantung kepada berapa banyak outlet yang dia ada.
Dengan lain perkataan, Jika seseorang itu banyak berusaha, maka Allah akan mengurniakan rezeki yang lebih kepadanya. Sebaliknya, jika dia kurang berusaha, maka kuranglah rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya.
Bagaimanapun keberhasilan daya usaha seseorang itu tergantung kepada keizinan Allah semata-mata.
Allah berfirman dalam Surah al-Isra' ayat 30 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."
Namun kita tidak boleh bersifat pasif dan hanya berserah diri, kerana Allah memerintahkan kita mencari rezeki masing-masing.
Allah berfirman dalam Surat al-Jumu'ah ayat 10 yang bermaksud:
"Apabila solat telah selesai dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung."
Hakikatnya, rezeki kita adalah kurniaan daripada Allah. Manakala tugas kita ialah berikhtiar mencari rezeki berkenaan.
3. Rezeki yang dijanjikan
Rezeki yang dijanjikan ialah rezeki yang dikurniakan kepada seseorang, di samping rezeki yang dijamin dan rezeki yang digantung.
Namun rezeki yang dijanjikan hanya dikurniakan kepada mereka yang bersyukur kepada Allah sahaja. 
Maksud bersyukur ialah berterima kasih kepada Allah yang telah mengurniakan rezeki kepadanya, dengan melakukan segala kebaikan dan menjauhi segala perbuatan yang mungkar. 
Allah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Kami pasti akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmati-Ku) sesungguhnya ahzab-Ku sangat pedih."
Maksud rezeki yang dijanjikan ialah rezeki banyak, diberkati Allah dan membawa kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. 
Allah berfirman dalam Surah at-Thalaq ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:
"Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal  kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya." 
Bagaimanapun, kita dilarang menyalahgunakan rezeki yang dikurniakan kepada kita. 
Allah berfirman  dalam Surah al Humazah ayat 1 hingga 4 yang bermaksud:
"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungkannya. Dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Pasti dia akan dilemparkan ke dalam neraka Hutamah."
Wallahualam.
_______________________________________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.