Ahad, 18 November 2012

Ular Dalam Kubur Wanita



Dari Pak Uduh saya mendengar cerita mengenai kisah kubur Naesah Lawa berasap seperti yang diceritakan oleh Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh memang di Melaka, tetapi dia bukanlah berasal dari Merlimau. Naesah Lawa itu ialah seorang janda muda yang mudah memikat hati pemuda-pemuda. Antaranya yang jatuh hati pada Naesah Lawa ialah Pak Uduh sendiri. 

Akhirnya Naesah Lawa berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak. Ketika berkahwin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai orang yang warak, Pak Uduh selalu menghabiskan masa di surau menunaikan ibadat, di samping belajar agama dari guru-guru agama yang diundang khas.

Naesah Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda. Sehingga pada suatu hari, ibu Pak Uduh terserempak Naesah Lawa sedang menjalin hubungan sulit dengan pemuda berkenaan. Perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh tidak terburu-buru. Dia meminta emaknya bersabar dulu, kerana dia belum melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu. Sejak itu emak Pak Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah Lawa menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikut perintahnya.

Sebenarnya, Pak Uduh bukanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang taat kepada perintah agama. Sebab itu dia masih boleh bersabar mendengar aduan daripada emaknya sendiri tentang kecurangan isterinya itu. Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh. Tidak lama kemudian, emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah darah. Ada bomoh mengatakan dia terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital, pihak hospital mengatakan dia terkena penyakit batuk kering. Hospital pula mengesyorkan supaya dia dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati selepas mengidap penyakit batuk darah. Pada mulanya, Pak Uduh tidak begitu percaya akan dakwaan bomoh yang mengubati penyakit emaknya itu. Pak Uduh sendiri sudah cuba mengubati emaknya dengan membacakan ayat-ayat Quran seperti yang dipelajarinya.

Setiap kali dia memberikan emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya muntah darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberapa helai rambut. Malangnya, Pak Uduh sudah terlambat mahu mengubati emaknya. Orang tua itu meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatinya dengan lebih mendalam.

Disebabkan terpengaruh dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya termakan santau, Pak Uduh telah mengerjakan sembahyang sunat Tahjud selama 44 malam. Dia tidak berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya emaknya itu, kerana gurunya berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya ialah memohon doa agar orang berkenaan bertaubat kepada Allah. Tidak sampai 44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat Tahjud, tiba-tiba Naesah Lawa isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam. Dia menuduh emak mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pemuda.

Disebabkan tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian isterinya pula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh meminta pertolongan kepada gurunya To' Kiayi Parjo dari Johor.

"Mengapa tak diubat sendiri?" tanya To' Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya.

"Hati saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan dengan perasaan bimbang.

"Kalau begitu kau tak tahan diuji," sahut To' Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak sabar, kalau mau cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu kau," ujarnya macam kesal dengan dengan sikap Pak Uduh.

Tetapi Pak Uduh tidak peduli mengenai kata-kata gurunya itu. Yang penting dia mesti selamatkan isterinya, Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri, setelah kehilangan emaknya.

"Sekarang, aku mahu kau sendiri mengubatnya," tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat. Pak Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk melihat sendiri penyakit isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo.

Ketika ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya. Dia terapung-apung di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh melihat tubuh isterinya, dia nampak Naesah Lawa terbaring dengan seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah keluuar dari lubang-lubang sebesar guli.

"Apa yang kau nampak?" dia mendengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari jauh.

"Badannya berlubang-lubang, ada darah dan nanah keluar," Pak Uduh memberitahu apa yang dilihatnya.

"Bacakan ayat ini dan hembuskan," perintah To' Kiyai Parjo.

Dia membacakan tiga kali ayat yang diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh Naesah Lawa. Sebaik saja dihembuskan, seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini Pak Uduh merasakan di sekelilingnya bagaikan dilanda ribut kencang, sehingga dia juga hampir-hampir diterbangkan.

"Mengapa?" soal To' Kiyai Parjo.

"Ribut kencang..." jelasnya cemas.

"Bacakan doa ini," To' Kiyai Parjo memberi panduan.

Sebaik dibacakan doa tersebut, ribut kencang tiba-tiba terhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah Lawa, tetapi dia melihat seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga putih sampai ke pusat. Dia memberitahu apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo. Tetapi apabila dia membacakan ayat yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu tersenyum lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh tidak mendengar lagi suara To' Kiyai Parjo yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing. Pak Uduh menyahut salam lelaki berjubah itu.

"Kenapa kau nak tolong orang yang nak mati?" lelaki berjubah itu bertanya.

"Mati hanya ditentukan oleh Allah..." sahut Pak Uduh keras.

"Kau orang berilmu," ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak mendalami ilmu kau. Ilmu Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu mempelajarinya," kata lelaki berjubah putih itu lagi.

Pak Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan kerana syaitan tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. bagaimanapun dia tidak berani bertanya siapakah lelaki berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat berhubungan dengan To' Kiyai Parjo ketika itu.

"Sekarang, baliklah kau," lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan tempat itu.

"Tidak... aku mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh.

"Isteri orang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah," suara orang tua berjubah putih itu keras. "Apakah kau mau seorang isteri yang dilaknati Allah?" sambung orang tua itu lagi.

"Kau syaitan, memang pendusta," sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula membakar hatinya. Dia cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya, tetapi sia-sia.

"Astaghfirullah al-azzim..." keluh lelaki tua itu kesal dengan sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang hak itu batil dan yang batil itu hak!" katanya mengingatkan.

"Jadi kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol.

"Orang berilmu mesti banyak bersabar," orang tua berjubah putih itu menasihati dia. "Aku tau To' Kiyai Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?" katanya mengingatkan Pak Uduh.

"Iya..." angguk Pak Uduh.

"Kau sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi. Pak Uduh angguk kepala.

"Sekarang, itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi.

Terbau di sekelilingnya harum semerbak yang belum pernah diciumnya. Sekali gus air mata Pak Uduh menitis.

"Maafkan saya To' Wali," Pak Uduh menangis terisak-isak.

"Sudahlah Uduh..." dia memujuk sambil mengusap-usap kepala Pak Uduh. "Sekarang baliklah kau," katanya sambil meninggalkan Pak Uduh.

Selepas itu barulah Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh meminta untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka mata dan dilihatnya Naesah Lawa masih terlentang menderita sakit.


"Saya fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai..." bisik Pak Uduh. 

To' Kiyai Parjo tersenyum. "Kalau kau dah kata begitu, terpulanglah," ujar To' Kiyai Parjo perlahan.

Tiga hari selepas itu, perut Naesah Lawa pun menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi busung hingga kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui makrifat jelas berlaku kepada Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung, Naesah Lawa pun meninggal dunia.

Pada senja waktu Maghrib hari Naesah Lawa dikebumikan itulah Pak Uduh mendengar jeritan nyaring dari tanah perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang kampung. Selepas menunaikan fardhu Maghrib, Pak Uduh mengajak Selamat adik iparnya, pergi ke tanah perkuburan.

Jeritan itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak Selamat ikut sama melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai, rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan. Dari kuburnya, kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup, bolehlah dia melulut meminta ampun kepada emaknya bagi pihak Naesah Lawa. tetapi semuanya telah berlalu. Dia hanya dapat berdoa meminta pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa.

"Mat..." kata Pak Uduh sayu. "Kakak kau terseksa. Kau balik dan beritahu To' Kiyai Parjo. Biar abang tunggu di sini buat apa yang patut," bisiknya sedih. Bukan sedih kerana kematian isterinya, tetapi sedih atas penderitaan yang ditanggung oleh isterinya setelah disemadikan di dalam kubur. Kalaulah benar Naesah Lawa membuat hubungan sulit dengan lelaki lain, dia boleh melupakannya. Dia sedia mengampunkan dosa Naesah Lawa terhadapnya. Tetapi perbuatan Naesah Lawa tergamak memberikan emaknya racun santau hanya emaknya sajalah yang boleh mengampunkan.


Baliklah Mat, minta bantuan dari oorang kampung," katanya lagi menahan kesedihan.

"Baiklah bang," sahut Selamat perlahan. "Macam mana pun abang sabarlah. Apa nak buat dah nasib dia..." Selamat cuba mententeramkan perasaan Pak Uduh. Selamat terus balik ke rumah Pak Uduh, kerana di sana orang sudah berkumpul untuk mengadakan kenduri arwah. To' Kiyai Parjo juga menunggu di rumah Pak Uduh. Segala kejadian yang dilihatnya di kubur kakaknya diceritakan oleh Selamat kepada mereka yang ada di situ.

"Abang Uduh minta To' Kiyai ke sana," ujar Selamat.

Beberapa orang yang ada di atas rumah turun ke tanah. Mereka bersama-sama To' Kiyai Parjo mengikut Selamat menuju ke kubur Naesah Lawa. Apabila sampai di kubur, mereka dapati Pak Uduh sedang membacakan Yassin dengan tenang. Bunyi jeritan juga mulai mengendur. Kepulan asap juga sudah mula berkurangan. Tetapi keadaan demikian sementara saja. Selepas itu asap dari kubur semakin menebal dan jeritan suara meminta tolong semakin kuat. Sekali-sekala api keluar dari kepulan asap itu.

Semakin kuat Surah Yassin dibacakan, semakin kedengaran jeritan nyaring tidak ketahuan.

"Begini Uduh..." To' Kiyai Parjo menepuk bahu Pak Uduh. "Kalau kau izinkan kita gali semula kubur Naesah ni, kita mandikan dia dengan air Yassin," ujarnya menahan kesedihan.

Pak Uduh hanya mengangguk. Lidahnya sudah tidak terucapkan apa-apa lagi.

"Kalau begitu kau Selamat, bawalah kawan-kawan," To' Kiyai Parjo berpaling kepada Selamat. "Bawa cangkul, bawa lampu gaslin dan bawa air segeluk," perintahnya.

Selamat tidak menyahut. Dia terus mengajak beberapa orang pemuda balik semula mengambil barang-barang yang dipesan oleh To' Kiyai Parjo. Sementara itu, bahang panas dari kubur Naesah Lawa sudah dirasakan oleh Pak Uduh. Bagaimanapun dia tidak berundur daripada menahan panas yang semakin membahang. Tok Kiyai Parjo berdoa sambil menghembus ke arah kubur Naesah Lawa. Lama To' Kiyai Parjo berdoa, barulah terasa bahang panas itu berkurangan. Pak Uduh juga ikut sama berdoa seperti yang pernah diajarkan oleh To' Kiyai Parjo kepadanya.

Tidak lama kemudian Selamat bersama dua tiga orang pemuda tadi datang semula membawa cangkul dan lampu gaslin. Air sejuk di dalam jag diberikan kepada To' Kiyai Parjo. Setelah diperintahkan gali oleh To' Kiyai Parjo, mereka pun sama-sama menggali semula kubur tersebut. Ketika menggalinya, Selamat merungut kerana terasa panas. Tetapi To' Kiyai Parjo menasihatkan supaya tidak disebut-sebut bahang panas itu.

Setelah digali semula, Selamat cuba membuka papan penutup liang lahad. Tetapi tiba-tiba dia terkejut dan cepat-cepat melompat naik ke atas. Mukanya pucat ketakutan.

"Kenapa Mat...?" tanya Pak Uduh.


Selamat tidak menjawab. Dia terpaku tidak berkata apa-apa. Untuk memastikan keadaan sebenarnya, mereka yang lain mendekatkan lampu gaslin ke tebing kubur. Pak Uduh sendiri membuka papan penutup liang lahad. Sebaik papan penutup dibuka, mereka dapat melihat ular-ular bisa berkumpul di dalam liang lahad sedang membelit jenazah Naesah Lawa yang baru saja dikebumikan siang tadi.

Dari mana datangnya ular-ular bisa tersebut?

"Hanya Allah Yang Maha Mengetahui," ujar To' Kiyai Parjo bila melihat kejadian tersebut. 

Tentulah mustahil terdapat ular di dalam kubur yang baru saja dikorek dan baru saja dikambus semula. Mustahil ada sarang ular di situ. Kalau ada ular bersarang di situ, bagaimana pula dengan api dan asap yang kelihatan di atas kubur tersebut. Anehnya apabila sudah digali tidak ada langsung kesan asap atau api di situ.

"Jangan difikirkan sangat," To' Kiyai Parjo menasihatkan mereka yang terpegun melihat kejadian tersebut. "Pengetahuan Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit. Kita yang hidup ini insaflah..." jelasnya dengan linangan air mata, bukan kerana kesedihan tetapi gementar dengan kekuasaan Allah. Kemudian dia menyiramkan air sejuk dalam jag yang sudah dibacakan Yassin ke atas jenazah Naesah Lawa yang dibelit ular-ular bisa. Setelah disiram air Yassin, ular-ular tersebut lari menyusup di dalam liang lahad dan hilang entah ke mana. To' Kiyai Parjo turun ke dalam kubur lalu mengepal tanah tiga kepal. Dia berdoa sambil mengembus kepalan tanah itu.

Dengan tidak menghiraukan sesiapa dia terus meletakkan tanah yang dikepal tadi di kepala mayat. Setelah semuanya selesai, To' Kiyai Parjo memerintahkan supaya kubur Naesah Lawa dikambus semula. Hari berikutnya tidak kedengaran lagi jeritan dari kubur Naesah Lawa. Sementara di rumahnya, Pak Uduh membaca Yassin setiap malam seperti yang diingatkan oleh To' Kiyai Parjo.
Sedutan cerita dari buku Berkelahi Dengan Syaitan Siri Ke-2 karya Tok Awang Ngah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.