Rabu, 26 Disember 2012

Catatan Perjalanan Naik Tren ETS Ke Ipoh

Jam 7.50 tren LRT yang kami naiki tiba di KL Sentral. Rancangan kami ialah hendak menaiki tren ETS ke Ipoh jam 8.00 pagi

Tapi kaunter tiket ETS telah ditutup. Sedangkan pada bulan Mac lalu saya membeli tiket ETS di sini

Rupanya penjualan tiket ETS sudah dipindahkan ke kaunter penjualan tiket KTM antarabandar. Alhamdulillah sempat beli tiket.

Selepas beli tiket, kami bergegas ke Platform B sebab tren ETS akan bertolak ke Ipoh jam 8.05 minit.

Kami menaiki Koc A. Tapi koc ini tak ada tandas. Terpaksalah berjalan ke Koc B kalau nak guna tandas.

Terdapat skrin tv yang menayangkan video tanpa suara (hanya catatan dialog sahaja)

Melalui skrin tv kita dapat melihat kelajuan tren ini. Tren ini dibina pada tahun 2010 oleh Syarikat Hyundai, Korea Selatan.

Perlahan-perlahan pemandangan bangunan kilang, rumah dan pencakar langit mula bertukar kepada pemandangan hijau.

Tren ETS tiba di Stesen Ipoh jam 10.30. Rupanya kaunter tiket ETS (kiri) juga sudah tutup dan berpindah ke kaunter KTMB (kanan)

Sampai dikaunter tiket, saya dan keluarga buat keputusan balik ke KL dengan tren ETS jam 11.00 pagi

Maka tak sempatlah nak merayau jauh-jauh. Hanya sekadar memandang Pejabat Pos Ipoh dari Stesen Ipoh

Melihat bangunan antik Dewan Bandaran Ipoh yang tidak jauh letaknya dari stesen

Melihat projek pengindahan di hadapan stesen yang pemalu (sebab tertutup).

Memandang bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh dari jauh.

Menikmati keindahan seni bina bangunan Stesen Ipoh. Tapi tak sempat makan tengahari

Jam 11.05 pagi, tren ETS bertolak dari Stesen Ipoh. Nasib baik saki-baki bekalan dari KL masih ada

Sebaik tiba di KL Sentral, kami terus bergegas ke Food Court untuk makan tengah hari. Rancangan asal terpaksa diubah

Lepas makan tengah hari, kami pun bergegas nak naik LRT balik ke pangkalan...

Mengikut rancangan yang telah diatur, saya dan keluarga pada hari ini akan menaiki Electric Train Service (ETS) ke Ipoh yang bertolak jam 8.00 pagi dari KL Sentral. Berdasarkan rancangan yang telah dipersetujui bersama, kami akan bertolak ke KL Sentral dengan menaiki LRT dari Stesen Titiwangsa. 
Namun atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, saya sekeluarga terlewat bertolak dan hanya tiba di KL Sentral jam 7.50 pagi. 
Sebaik tiba di KL Sentral, saya bergegas ke kaunter tiket ETS. Tapi kaunter berkenaan pula kosong. Sedangkan pada bulan Mac lalu, di kaunter inilah saya membeli tiket ETS untuk pergi ke Ipoh. 
Rupa-rupanya tiket ETS di jual di Kaunter Tiket Antarabandar KTM secara manual. Namun masa untuk tren ETS bertolak ke Ipoh kini kurang sepuluh minit. Sempatkah beli tiket? 
Alhamdulillah semasa tiba di kaunter tiket, penjualan tiket ETS masih belum ditutup. Maknanya kami masih boleh membeli tiket. Bagaimanapun petugas kaunter tiket mengarahkan kami agar segera pergi ke Platform B kerana tren ETS akan bertolak pada jam 8.05 pagi. 
Sebaik mendapat tiket kami terus berjalan laju ke Platform B. Berdasarkan tiket, kami sepatutnya menaiki Koc A. Namun disebabkan bimbang tren ETS akan bertolak, kami terus masuk ke dalam koc yang paling hampir dengan tangga Platform B. 
Ketika kami masuk ke dalam koc berkenaan, seorang petugas perempuan tengah berleter kerana seorang petugas pembersihan lelaki merokok di dalam tandas. Memang ketara bau asap rokok pada ketika itu.
Mungkin disebabkan petugas perempuan itu 'dalam mood berleter', dia mengarahkan kami keluar semula ke platform dan tidak membenarkan kami menggunakan laluan dalam koc berkenaan untuk pergi ke Koc A.
Kami akur dan segera keluar dari koc berkenaan walaupun hati ini berdebar, takut tren bertolak sebaik kami keluar. Lagipun saya berpendapat, tak baik bertengkar pada pagi-pagi hari. 
Alhamdulillah, kami akhirnya dapat menaiki Koc A dan mencari tempat duduk masing-masing dengan mudah kerana Koc A masih kosong ketika itu. 
Tepat jam 8.05 pagi, tren mula bertolak meninggalkan KL Sentral dan bergerak keluar dari pusat Bandaraya KL. Selepas stesen Rawang, pemandangan bangunan pencakar langit, kawasan perumahan dan kilang-kilang mulai digantikan dengan pemandangan tumbuhan hijau dan Banjaran Titiwangsa. 
Kelebihan menaiki tren ETS ini ialah ia tidak sesak macam menaiki komuter ke Kajang atau ke Shah Alam. Lagipun setiap penumpang mempunyai tempat duduk masing-masing. Maka tak ada penumpang yang berdiri macam naik komuter. 
Seperkara lagi, jika tren komuter lebih ramai dinaiki oleh pendatang Indonesia, Bangladesh dan Afrika, tetapi tren ETS lebih ramai dinaiki penduduk tempatan. Nampak penumpangnya lebih bersopan.
Bagaimanapun, Koc A yang kami naiki ini rupa-rupanya tidak mempunyai tandas. Maka terpaksalah kami berjalan ke koc sebelah yang ada tandas jika hendak 'melepas'. Tandasnya bersih dan selesa. 
Lebih kurang jam 10.30 pagi, tren ETS yang kami naiki tiba di Stesen Ipoh. Perjalanan kami dari KL ke Ipoh mengambil masa lebih kurang dua jam tiga puluh minit. 
Sebaik sampai di Stesen Ipoh, saya bergegas pula ke kaunter tiket ETS. Namun sama seperti di KL Sentral, kaunter tiket ETS di sini juga telah ditutup dan tiket ETS dijual di kaunter  KTMB. 
Mengikut rancangan asal, kami akan balik ke KL dengan tren ETS jam 1.00 tengahari. Bagaimanapun cuaca di Ipoh ketika itu panas terik dan kami tak larat hendak berjalan jauh-jauh dari stesen. 
Akhirnya, apabila sampai di kaunter saya tukar fikiran dan membeli tiket ETS ke KL yang akan bertolak jam 11.00 pagi dari Ipoh. Disebabkan kesuntukan masa, maka kami tak sempat makan tengahari sebelum bertolak balik ke KL. Setelah bersiar-siar di sekitar kawasan stesen, kami segera menaiki tren.
Jam 11.05 pagi, tren ETS bertolak meninggalkan Stesen Ipoh. Mengikut rancangan asal, kami sepatutnya turun di stesen Bandaraya apabila sampai di KL. Bagaimanapun rancangan itu terpaksa diubah kerana ahli rombongan mengadu lapar. 
Maka tempat yang difikirkan paling sesuai untuk mengisi perut ketika itu ialah Food Court di KL Sentral kerana tidak perlu berjalan jauh untuk mencari tempat makan. Maka kami membuat keputusan turun di KL Sentral.
Lebih kurang jam 1.30 tengahari kami selamat tiba di KL Sentral. Selepas makan tengahari, badan mula terasa letih dan mata mula terasa mengantuk. Akhirnya kami menaiki tren LRT untuk kembali pulang ke markas.

1 ulasan:

  1. terima kasih tuan , dapat saya tau sikit sikit info mengenai ets .
    saya duk taiping , nak tak nak kena guna ktmb juga lah hahaha..
    toilet kecil

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.