Isnin, 3 Disember 2012

Ditembak Kerana Cuba Leraikan Pergaduhan

Wek Shu sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Johor

JOHOR BAHRU - Seorang juruwang di sebuah kafe siber, Lew Wek Shu, 37, selamat walaupun terkena empat das tembakan ketika cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan lelaki di Jalan Johar 4, Taman Desa Cemerlang di sini kelmarin. 
Menceritakan semula kejadian pukul 10.15 malam itu, Wek Shu berkata, ketika itu dia yang sedang bekerja telah mendengar satu pertengkaran di tepi jalan berdekatan dengan premis tempatnya bekerja. 
Tidak tahan mendengar pertengkaran tersebut yang berlarutan hampir setengah jam, dia memberanikan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian tersebut. 
Bagaimanapun, niat baik lelaki tersebut tidak disenangi apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata yang tidak sedap didengar. 
"Disebabkan tak mahu panjangkan cerita, saya terus beredar dan tanpa saya sangka salah seorang ahli kumpulan itu melepaskan tembakan dan terkena di bahagian belakang badan saya. 
"Seingat saya, selepas itu beberapa das tembakan dilepaskan lagi dan entah dari mana kekuatan saya dapat, saya berlari dan sempat duduk di kerusi. 
"Ketika itu, saya lihat badan saya mula berlumuran darah dan anggota badan saya mula rasa sangat sakit sebelum saya jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Johor (HPJ) di sini semalam. 
Empat tembakan terkena bahu kanan dan kiri, dada selain di bahagian belakang badan Wek Shu sementara lengannya mengalami sedikit kecederaan.
_______________________________________________________________________

Berita di atas mengingatkan saya kepada kejadian yang pernah saya alami sendiri di Chow Kit, KL beberapa tahun yang lalu. Kejadian itu berlaku antara jam 8.00 - 9.00 malam. Kebetulan ketika itu orang tidaklah begitu ramai. 
Pada waktu itu, saya bersama isteri sedang melihat-lihat barang yang dijual oleh para penjaja di kawasan itu. 
Tiba-tiba saya terdengar suara orang bertengkar. Saya curi-curi dengar. Berdasarkan tutur kata orang-orang bertengkar itu, saya rasa mereka dari Indonesia. 
Dalam masa beberapa minit, keadaan menjadi tegang kerana pertengkaran tadi menjadi semakin panas. Saya mula rasa tak sedap hati. 
Saya pandang keliling. Namun saya lihat penjaja-penjaja yang ada di sana selamba sahaja, seolah-olah mereka tidak mendengar pertengkaran itu.
Saya rasa serba salah namun saya sempat memberi isyarat kepada isteri saya supaya bertenang dan rileks. 
Tidak ada sesiapa di tempat itu yang cuba mendamaikan pertengkaran itu. Kelibat polis juga tidak kelihatan. Akhirnya pertengkaran bertukar menjadi perkelahian. 
Kemudian berlakulah adegan kejar mengejar. Saya sempat melihat, orang yang mengejar itu memegang pisau! Saya juga terlihat kesan darah di atas aspal. Mungkin ada di antara orang yang bergaduh itu luka. 
Kejadian berlaku begitu pantas. Hanya selepas mereka yang bergaduh itu pergi jauh, barulah para penjaja di tempat itu bersuara. 
Isteri saya sempat bertanya kepada seorang penjaja di situ, adakah dia sedar pergaduhan sebentar tadi. Dia menjawab, itu adalah perkara biasa bagi mereka. 
Tapi dia memberi nasihat supaya kita buat-buat tak tahu dan jangan pedulikan mereka yang bergaduh di tempat itu kalau mahu selamat!.
Esoknya, saya membelek-belek surat khabar. Namun tidak ada berita pergaduhan di Chow Kit dalam siaran surat khabar.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.