Isnin, 7 Januari 2013

Bashar Muncul Beri Ucapan

Bashar Assad membuat ucapan keseluruh negara di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Dar al-Assad, Damsyik.

Assad menegaskan bahawa tawaran untuk mengadakan dialog tidak terbuka kepada orang-orang yang dianggapnya sebagai ekstremis atau menjalankan agenda asing

Ucapan Assad diselang-seli dengan tepukan di dewan yang tertutup ini, di mana beliau mengisytiharkan bahawa Syria telah berjuang menentang 'pencerobohan luar'

Assad berkata dalam ucapannya bahawa tenteranya telah memerangi kumpulan 'penjenayah pembunuh' dan elemen jihad.

Assad dan para penyokongnya.





DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad berkata, negaranya belum menemui 'rakan sekutu' bagi menyelesaikan krisis politik di negara ini yang telah berlanjutan selama 21 bulan. 
Beliau berkata demikian pada ucapan pertamanya dalam tempoh tujuh bulan di hadapan sejumlah orang di sini semalam. 
"Hanya kerana kita tidak menemui sekutu, ia tidak bermakna kita tidak berminat berhubung penyelesaian politik," kata beliau ketika berucap di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Dar Al-Assad. 
Katanya, konflik yang berlaku bukan melibatkan pemerintah dan pembangkang tetapi antara negara dengan pihak musuh. 
"Satu perkara yang pasti adalah orang-orang yang kita hadapi hari ini merupakan mereka yang membawa ideologi Al-Qaeda," kata Bashar. 
"Terdapat mereka yang ingin memecah-belahkan negara ini dan melemahkannya. 
"Bagaimanapun, Syria terlalu kuat dan akan kekal berdaulat. Itu yang membuatkan pihak Barat berasa susah hati." 
Penentangan terhadap pentadbiran Bashar mula tercetus pada Mac 2011. 
Sejak itu, lebih 43,000 nyawa terkorban dan kebanyakannya merupakan orang awam. 
Terdapat juga perangkaan yang menyatakan 60,000 orang telah terbunuh di Syria. 
Kebangkitan penduduk yang berjuang dalam pertempuran menentang tentera Bashar berlaku kerana mereka marah dengan kepimpinannya. 
Bashar dilihat gagal membawa pembaharuan pentadbiran terutamanya seperti isu-isu kebebasan bersuara. 
Pertempuran tersebut berlaku selepas kebangkitan penduduk menuntut demokrasi berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.