Ahad, 20 Januari 2013

Gerai Pesara Polis Di Kuantan Musnah Terbakar

Mokhtar hanya mampu melihat peralatan kedainya yang musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan lapang Taman Balok Baru, Kuantan, petang kelmarin. Foto: Sinar Harian


KUANTAN- Seorang pesara Polis Hutan hilang mata pencarian selepas gerai masakan panas yang diusahakan hangus dalam kebakaran petang kelmarin. 
Kebakaran kira-kira jam 7.45 malam itu menyebabkan gerai milik Mokhtar Mamat, 64 yang terletak di kawasan lapang Taman Balok Baru dekat sini hangus terbakar bersama segala perkakasan membabitkan kerugian kira-kira RM3,000. 
Mokhtar yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan itu berkata, dia buntu untuk memulakan kembali perniagaan memandangkan segala peralatan musnah terbakar. 
“Saya terpaksa mencari modal untuk memulakan perniagaan ini namun sebagai pesara yang bergantung kepada wang pencen tidak seberapa, saya tidak tahu bagaimana caranya. 
“Walaupun hasil daripada peniagaan ini tidak seberapa, namun itulah sumber pendapatan saya untuk menyara keluarga," katanya ketika ditemui di tapak gerainya yang telah hangus. 
Menurutnya, dia bercadang untuk mencari kedai yang lebih selesa memandangkan gerainya yang terbakar itu berada atas tanah kerajaan malah berkemungkinan di-arahkan pindah pada bila-bila masa. 
“Belum sempat saya mencari gerai baru, gerai yang diusahakan sejak setahun lalu ini pula terbakar. 
“Saya tidak mampu menyewa di luar (Balok) kerana sewanya terlalu mahal sedangkan pendapatan harian yang diterima sekadar cukup makan,” katanya. 
Justeru dia memohon bantuan modal atau peralatan memasak daripada mana-mana pihak yang sudi membantunya supaya dia boleh kembali berniaga. 
Menceritakan kembali kejadian gerainya yang terbakar itu, Mokhtar berkata, kira-kira jam 7.45 malam dia menutup kedai seketika untuk pulang solat Maghrib. 
“Selepas itu salah seorang anak saya datang ke sini dan ternampak api menyala di bahagian dapur sebelum menyambar dan merebak ke seluruh bahagian. 
“Selepas diberitahu, saya datang ke sini (gerai) namun api sudah terlalu besar menyebabkan semua peralatan memasak termasuk dua peti ais, peti ais krim, projektor, televisyen gagal diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian. 
Mokhtar berkata, kebakaran yang dipercayai berpunca akibat kebocoran kepala tong gas itu berjaya dipadamkan pasukan bomba dari Balai Gebeng selepas dihubungi. 
“Sedih tu sudah semestinya, sebab saya berhasrat untuk berniaga di tempat baru menjelang ulang tahun kelahiran saya yang ke-64 hari ini (semalam) namun segala perancangan sudah musnah malah gerai yang sedia ada juga terbakar,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.