Rabu, 16 Januari 2013

Kereta Api Tergelincir Di Mesir

Orang ramai melihat kereta api yang tergelincir dari dekat. Foto: AFP

Beginilah keadaannya salah sebuah gerabak yang malang itu.


KAHERAH - Sebuah kereta api yang membawa lebih 1,300 anggota tentera Mesir tergelincir dan merempuh sebuah kereta api barang menyebabkan 19 askar mati semalam. 
Ketua Pihak Berkuasa Kereta api Mesir, Hussein Zakareya berkata, nahas itu berlaku kira-kira 30 kilometer ke selatan bandar raya ini. 
Presiden Mesir, Mohammed Morsi meluangkan masa melawat mangsa-mangsa di sebuah hospital tentera di sini. 
"Hari ini (semalam) merupakan hari yang sedih untuk rakyat negara ini. Saya menyampaikan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang mati syahid semasa dalam perjalanan untuk memenuhi tugas negara. Saya berdoa buat mangsa yang cedera supaya mereka cepat pulih," kata Morsi. 
Seramai 107 orang cedera dalam nahas tersebut. 
Perdana Menteri, Hisham Qandil melawat tempat kejadian itu. 
Kereta api yang membawa askar itu menuju ke sebuah kem latihan tentera di sini selepas bertolak dari selatan negara ini. 
Nahas itu berlaku di kawasan perumahan Giza di Badrashin. 
Berpuluh-puluh orang berkumpul di stesen kereta api di Kaherah selepas kemalangan berlaku sambil melaungkan slogan anti-Morsi dan menunjuk perasaan bagi membantah kelemahan pentadbiran pemerintah. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.