Selasa, 29 Januari 2013

Mangsa Culik Di Lahad Datu Mungkin Masih Hidup

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib (tengah)

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Foto: imej google

Lokasi tempat penculikan berlaku. Sumber: google

Kumpulan bersenjata Filipina. Foto: imej google

Pemandangan di Felda Sahabat Resort, Lahad Datu. Foto: imej google


KOTA KINABALU - Polis percaya kedua-dua mangsa penculikan membabitkan seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya di Lahad Datu Nov lepas masih hidup dan usaha untuk memastikan pelepasan mereka sedang giat dijalankan. 
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata setakat ini, beberapa perbincangan antara kedua-dua negara bagi melepaskan mangsa sedang giat dijalankan di peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 
"Pihak Bukit Aman masih lagi berhubung dan bekerjasama dengan Filipina dan kedua-dua mangsa masih hidup. 
Kes itu merupakan kejadian culik dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961. Kita juga ada laporan yang mengatakan mereka selamat," katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini. 
Hamza yang sebelum itu menghadiri perhimpunan bulanan pertama bagi tahun ini anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik diminta mengulas mengenai kes membabitkan dua rakyat tempatan di pantai timur Sabah pada Nov tahun lepas. 
Lima lelaki bersenjata api dilapor menculik kedua-dua mangsa dari ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai iaitu bersebelahan Felda Sahabat 15, kira-kira 50 kilometer dari pekan Lahad Datu. 
Dalam kes berasingan, Hamza berkata pihaknya menahan seorang warga Filipina kerana memiliki pasport palsu dan dokumen perjalanan tidak sah pada Khamis lepas. 
"Suspek ditahan kerana mempunyai identiti yang meragukan dan penahanannya tiada kena-mengena dengan skim penipuan di Filipina," katanya. 
Suspek disiasat mengikut Seksyen 12 (1)(D) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
Beliau berkata sehingga kini pihak polis tidak dimaklumkan tentang permintaan rasmi dari Filipina berhubung suspek yang dikehendaki atas kesalahan jenayah di negara itu. 
Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran itu melalui prosedur yang betul bagi menjamin keharmonian antara kedua-dua negara. 
Akhbar tempatan melaporkan seorang lelaki yang dipercayai melakukan skim penipuan wang di Filipina melarikan diri ke negara ini tahun lalu dan ditahan di Ranau, di Kota Kinabalu pada Khamis lepas. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.