Isnin, 18 Februari 2013

AS Terima Pendatang Sebagai Rakyat

Rumah Putih, merupakan pejabat dan kediaman rasmi Presiden AS. Foto: wikipedia

Kumpulan penyokong hak pendatang berkumpul di Liberty State Park, Jersey City. Foto: AP 


WASHINGTON - Rumah Putih merangka satu pelan membenarkan pendatang haram untuk menjadi warga tetap sah Amerika Syarikat dalam masa lapan tahun, lapor majalah USA Today semalam. 
Rancangan terbabit akan memperuntukkan dana keselamatan tambahan dan memerlukan pemilik perniagaan untuk memeriksa status imigresen mana-mana pekerja baru dalam masa empat tahun. 
Dianggarkan 11 juta pendatang haram di Amerika juga boleh memohon visa ‘Bakal Imigran Sah’, kata laporan itu. 
Berdasarkan draf berkenaan yang didakwa USA Today diedarkan di kalangan pelbagai agensi kerajaan, pemohon visa juga perlu lulus pemeriksaan latar belakang jenayah, maklumat biometrik dan membayar yuran. 
Sebaik diluluskan, mereka dibenarkan untuk tinggal di Amerika secara sah, bekerja dan meninggalkan negara itu dalam tempoh singkat tanpa kehilangan status mereka. 
Satu kad pengenalan baru juga akan membuktikan pendudukan sah mereka di negara itu. 
Dalam masa lapan tahun, mereka boleh memohon kad hijau untuk mendapatkan taraf penduduk tetap sah jika mempelajari bahasa Inggeris, sejarah serta Kerajaan Amerika. Malah mereka juga dikehendaki membayar tunggakan cukai. 
Dengan memiliki kad hijau, pendatang terbabit boleh memohon untuk mendapatkan kerakyatan Amerika. - AFP / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.