Isnin, 25 Februari 2013

Bas Ekspres Kemalangan Di Bukit Tagar Tiga Maut

Bas terbabas melanggar pembahagi jalan berhampiran Plaza Tol Bukit Tagar, Hulu Selangor jam 3.10 pagi

Pemandangan di tempat berlaku kemalangan

Kemalangan berlaku selepas bas bertukar pemandu di ibu negara kerana dipandu laju, kata penumpang yang terselamat

Keadaan tayar bas rosak teruk

Di antara penumpang yang terselamat dalam kejadian kemalangan tersebut


KUALA LUMPUR: Tiga penumpang maut apabila bas yang mereka naiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan berhampiran Plaza Tol Bukit Tagar, Hulu Selangor, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara awal hari ini. 
Mereka yang maut dalam kemalangan pada jam 3.10 pagi itu ialah Mohd Zamri Rani, 42, berasal dari Kedah, Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25, dari Simpang Renggam, Johor Baharu dan seorang penumpang wanita yang belum dikenal pasti. 
Ketua Polis Derah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas berkenaan gagal mengawal kenderaan itu sebelum melanggar pembahagi jalan. 
"Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju utara itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan mengakibatkan pembahagi jalan itu tertusuk ke dalam bas," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 
Beliau berkata pemandu bas berkenaan cedera dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala 13 penumpang lain tidak cedera. - BERNAMA

Dari myMetro



Hulu Selangor: “Bas memang laju, saya tidak boleh tidur kerana terlalu takut,” kata seorang penumpang bas ekspres yang terselamat selepas bas dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 420.2 Lebuh raya Utara Selatan (Plus) arah utara, berhampiran susur Bukit Tagar, di sini. 
Mangsa, Eliana Tan, 30, berkata, dia yang duduk di bahagian tengah menyedari bas berkenaan dipandu laju selepas pemandu kedua mengambil alih tugas terbabit daripada rakannya ketika berhenti di ibu negara. 
Menurut Eliana yang dalam perjalanan ke Taiping, Perak bersama salah seorang saudaranya untuk menghadiri upacara keagamaan, tragedi itu menakutkan dan sukar untuk dilupakan.
Katanya, sebaik keluar dari pusat bandar Kuala Lumpur, bas berkenaan dipandu laju secara ‘menggila’ menyebabkan keadaan bas terhuyung-hayang ketika melalui beberapa selekoh tajam. 
“Saya tidak dapat melelapkan mata meskipun perjalanan masih jauh dan hanya berdoa agar tidak berlaku sebarang perkara buruk namun ia benar-benar terjadi apabila kami terbabit dalam kemalangan ini,” katanya.
Menurut Eliana yang dalam perjalanan ke Taiping, Perak bersama salah seorang saudaranya untuk menghadiri upacara keagamaan, tragedi itu menakutkan dan sukar untuk dilupakan.


Dari Sinar Harian


Pemandu bas cedera parah. Foto: Sinar Harian


HULU SELANGOR – “Ya ALLAH.. ALLAHU AKBAR.. itu saja yang saya ungkapkan berulang kali sebaik mendengar bunyi seretan bas yang bergesel dengan besi pembahagi jalan sampailah saya lihat besi menembusi bas dan menghimpit penumpang di depan saya,” kata Sutirah Miswari, 47, menceritakan detik cemas kemalangan menimpa bas ekspres yang dinaiki awal pagi semalam. 
Tiga maut dan seorang parah apabila sebuah bas ekspres yang membawa 16 penumpang terbabas dan melanggar besi pembahagi lebuh raya di Kilometer 420 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Ipoh, dekat Bukit Tagar, Hulu Selangor jam 3.10 pagi semalam. 
Menurut Sutirah, sebaik bas terhenti dia terus mencari jalan keluar dan terpaksa melangkah tangan mayat salah seorang penumpang yang duduk di depannya sambil meminta tolong. 
Menurutnya, dia juga terpaksa merangkak di bawah lekukan besi untuk menyelamatkan diri melalui pintu depan bas. 
“Sambil mengucap saya menendang pintu bas dan terus keluar meminta pertolongan sebab saya takut bas terbakar. 
“Lepas itu penumpang-penumpang lain turun menyelamatkan diri sampailah ada orang selamatkan kami semua,” katanya. 
Pemandangan dalam bas. Foto: Sinar Harian
Sutirah, warga Indonesia berkata, dia bersama 16 penumpang lain dalam perjalanan dari Skudai, Johor ke Sungai Nibong, Pulau Pinang. 
Menurutnya, bas ekspres yang terbabit kemalangan itu merupakan bas kedua yang mereka naiki selepas ditukar di Kuala Lumpur. 
“Sepatutnya, perjalanan kami ke Sungai Nibong hanya menaiki satu bas tetapi kami diarahkan menaiki bas lain ketika tiba di Kuala Lumpur sebab bas itu hanya sampai di Butterworth. 
“Jadi, kami tiada pilihan dan pemandu juga bertukar orang. Kemudian, tidak sampai sejam perjalanan kami kemalangan,” katanya. 
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, bas yang dalam perjalanan daripada Skudai, Johor ke Sungai Nibong, Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan berdekatan susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri itu. 
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Zamri Abd Rani, 42, yang berasal daripada Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Kedah dan Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25, daripada Simpang Renggam, Johor, manakala mangsa wanita dikenal pasti sebagai Intan Berliana Hutagalung, 34, berasal dari Bandung, Indonesia. 
Komander Operasi, Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Shamsul Majidi Hassan berkata, dua penumpang bas yang maut tersepit di tempat duduk penumpang akibat terkena besi pembahagi lebuh raya yang menembusi ruang dalam bas, manakala seorang lagi tercampak keluar melalui cermin depan. 
Dalam pada itu, seorang lagi penumpang, Elaina Tan, 40, berkata, sepanjang perjalanan daripada Kuala Lumpur hatinya tidak tenang kerana pemandu gantian itu dikatakan memandu laju. 
Menurutnya, ketika hampir di lokasi kejadian bas terbabit dikatakan terhuyung-hayang sebelum terbabas. 
“Saya tidak boleh tenang dan berdoa sepanjang perjalanan sebab pemandu bawa terlalu laju. 
“Penumpang di hadapan beritahu, dia nampak pemandu bas sedang berbual dalam telefon sebelum kejadian itu,” katanya yang mahu pulang melawat mendiang neneknya di Ipoh. 
Elaina seorang pekerja hotel di Johor berkata, sepanjang perjalanan daripada Skudai keadaan pemanduan selamat, namun selepas diambil alih pemandu gantian tiba-tiba hatinya tidak tenang sehinggalah insiden ngeri itu berlaku. 
Budi Prastio, 29, pula berkata, kematian tiga penumpang bas itu sangat ngeri kerana tersepit dan perut terburai. 
Dia yang baru sampai ke Malaysia bersyukur kerana terselamat daripada kemalangan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.