Isnin, 11 Februari 2013

Disamun Ketika Mengisi Minyak Kereta Di Kajang

Stesen minyak yang menjadi tempat seorang lelaki disamun di Kajang baru-baru ini.


KAJANG - Seorang lelaki mengalami detik cemas apabila dilibas dengan sebilah parang ketika sedang mengisi minyak dekat Plaza Tol Batu 9, Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini baru-baru ini. 
Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari, 31 Januari lalu, mangsa berusia lingkungan 40-an diserang sebelum dua suspek yang menaiki sebuah motosikal melarikan beberapa barangan milik mangsa. Nilai kerugian dianggarkan RM3,000. 
Menurut sumber, suspek dikesan bijak mengambil kesempatan dengan memilih mangsa yang berada di luar kawasan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut. 
"Ketika sedang mengisi minyak, mangsa didatangi dua lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah motosikal. 
"Suspek yang memakai topi keledar menutup muka kemudian melibas kepala mangsa, merampas telefon bimbit dan meragut rantai lelaki itu sebelum melarikan diri. Ketika kejadian tiada pelanggan lain di situ," katanya ketika ditemui di sini. 
Tambahnya, mangsa yang cedera di kepala kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta berdekatan dan terpaksa menerima beberapa jahitan. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.