Jumaat, 8 Februari 2013

Guru Besar Didakwa Rasuah

Warga Sekolah Kebangsaan Kajang Utama. Foto: skkjgutama.blogspot.


SHAH ALAM — Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lepas. 
Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. 
Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013. 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011. 
Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama. 
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.