Ahad, 10 Februari 2013

Jalan Raya Sesak 10km Lima Jam Kerana Kemalangan

Kereta Kenari yang bertembung dengan lori. Foto: Sinar Harian


JERMAL - Hampir lima jam sesak, begitulah keadaan yang terjadi di Jalan Bagan Jermal apabila tiga kenderaan berlanggar sesama sendiri. 
Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi semalam itu bertambah buruk apabila aliran masuk kenderaan bertambah pada waktu tersebut. 
Seorang saksi, Mohamad Zulfahmi berkata, kejadian berlaku setelah sebuah kereta Kenari yang dipandu seorang lelaki gagal memotong kenderaan di hadapannya. 
Menurutnya, kemudian ia bertembung dengan sebuah lori menyebabkan kenderaan tersebut bergesel dan berpusing dan kemudiannya melanggar sebuah lagi kereta lain. 
“Selepas terbabit dengan dua kenderaan lain, lelaki di dalam kereta Kenari itu tergamam seketika, namun orang ramai yang berada di sekeliling sempat menenangkannya. 
“Lelaki itu bernasib baik kerana lori tersebut tidak laju namun, yang menyebabkan ianya menjadi buruk apabila kenderaan sudah mula banyak,” katanya. 
Akibat perlanggaran itu, jalan di Bagan Jermal yang menghala ke arah Pusat Membeli Belah Gurney dan juga Batu Feringghi itu sesak hampir lima jam. 
Ia bermula dari Jalan Masjid Negeri sehingga ke Jalan Bagan Jermal sejauh kira-kira 10 kilometer. 
Jalan sesak berikutan orang ramai sudah mula bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina. 
Sementara, di Jalan Tanjung Bungah menghala ke Batu Feringghi juga berlaku kemalangan kecil sehingga menyebabkan kesesakan selama lebih dua jam. 
Kemalangan itu berlaku dipercayai berpunca daripada sebuah kereta di bahagian lorong kanan yang cuba memasuki lorong sebelah kiri secara tiba-tiba. 
Kenderaan yang dipandu oleh pelancong dari Kuala Lumpur itu dimaklumkan tidak mengetahui selok-belok jalan di Tanjung Bungah menyebabkan beliau terpaksa membelok ke kiri jalan setelah mendapati di lorongnya terdapat kereta yang membelok ke arah lain. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.