Selasa, 12 Februari 2013

Kenderaan Terhumban Ke Sungai 3 Maut

Beginilah keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terhumban ke dalam sungai ketika melalui jembatan kayu. Foto: Sinar Harian

Kenderaan terjunam ke Sungai Tekal. Foto: Berita Harian


JERANTUT - Tiga rakan maut akibat lemas setelah terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki terhumban dalam sungai ketika melalui jambatan kayu dekat Matau Balak Kota Gelanggi 5/6 menuju ke arah Jalan Mat Daling, malam kelmarin. 
Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, ketiga-tiga mangsa iaitu pemandu, Hamzah Muhammad, 52, dan dua penumpang, Abd Zahran Asran, 28, dan Roshaizad Abd Rashid, 29, dalam perjalanan pulang ke rumah di Maran setelah balik dari memancing di Hutan Lepar-Kota Gelanggi 5/6. 
Bapa Roshaizad, Abdul Rashid Awang Ngah, 61, berkata, kali terakhir dia jumpa mangsa, Sabtu lalu dan dapat tahu anak kemalangan sekitar jam 8 pagi semalam. 
“Saya ketika itu berada di kebun dan dimaklumkan rakannya yang turut sama pergi memancing,” katanya. 
Nenek Roshaizad, Kamaliah Ismail, 75, berkata, Roshaizad tidak menunjukkan petanda pelik sebelum kejadian. 
“Arwah memang gemar memancing kerana itu memang hobinya. Dia teruja mengikut rakannya ke sana walaupun saya menasihatinya supaya jangan pergi. 
“Tiada perubahan ditunjukkan arwah kecuali dua atau tiga hari sebelum kejadian, dia ada bercakap dengan kerbau peliharaannya dan kerbau itu seolah-olah faham apa dikatakan. Itulah kejadian pelik saya lihat sebelum dia pergi,” katanya. 
Sementara itu, isteri Abd Zahran, Badariah Daud, 31, berkata, suaminya ada memaklumkan akan pulang semalam (kelmarin) selepas masuk hutan, Sabtu lalu. 
“Mereka pergi beramai-ramai. Kali terakhir arwah menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada saya ialah pada Sabtu lalu ketika dia berada di Jengka. 
“Selepas itu, saya ada hubunginya, namun mungkin tiada talian di sana. Hari ini (semalam), jiranberitahu, arwah terlibat dalam kemalangan,” katanya memberitahu arwah turut meninggalkan seorang anak lelaki, Amar Bilal Abd Zahran, 4. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, ketiga-tiga mangsa datang dari jalan tanah merah kawasan pembalakan dan kenderaan dipandu Hamzah hilang kawalan semasa melalui jambatan kayu dan terjatuh ke dalam sungai. 
“Ketiga-tiga mangsa tidak dapat keluar dari kenderaan dan dipercayai mati lemas di tempat kejadian. 
“Mayat mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba pada dari kenderaan tersebut sekitar jam 4 pagi. Bagaimanapun, kenderaan dinaiki mereka masih belum dapat dibawa keluar,” katanya. 
Katanya, ketiga-tiga mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besar Jerantut dan berdasarkan bedah siasat, semua disah meninggal akibat lemas. 
Turut hadir, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib. 
Jenazah Hamzah dan Abd Zahran dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Chedung, Maran manakala jenazah Roshaizad di Tanah Perkuburan Islam Mentenang, Maran. - Sinar Harian

Anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa dari pacuan empat roda terbabit. Foto: Sinar Harian


MARAN - “Ayah dah nak pergi.” Itu bisikan terakhir Abd Zahran Asran, 28, kepada anak sulungnya sebelum keluar rumah untuk menyertai aktiviti lasak dalam kawasan hutan di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, yang berkesudahan dia bersama dua rakan menemui ajal, malam kelmarin. 
Abd Zahran bersama Hamzah Muhammad, 52, dan Roshaizad Abd Rashid, 29, terbunuh dipercayai lemas selepas terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda mereka yang jatuh dalam sungai. 
Kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika Jip Cherokee yang dipandu Hamzah hilang kawalan ketika melalui jambatan kayu merentangi Sungai Tekal di Jalan Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling. 
Difahamkan jambatan kayu berkenaan setinggi 10 meter daripada permukaan sungai sedalam dua meter. 
Jip dinaiki tiga sahabat karib itu terbalik dalam keadaan keempat-empat tayar ke atas. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.