Ahad, 24 Februari 2013

Mencuri: Hukum Mati Atau Potong Tangan?

Gagal mencuri seguni pisang nyawa melayang tapi yang berjaya mencuri hasil negara berjuta ringgit masih disanjung tinggi. Foto Kosmo!


TANAH MERAH – Gara-gara didakwa mencuri pisang, nyawa seorang pemuda melayang apabila dibelasah sehingga mati dengan kayu oleh beberapa orang lelaki dalam kejadian di Kampung Rahmat Luar di sini malam kelmarin. 
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Mohd. Khairul Azman Mohd. Shaufi yang berusia 37 tahun cedera parah di kepala setelah dibelasah oleh suspek-suspek sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli pada pukul 11.50 malam. 
Polis kemudian menahan empat lelaki yang berumur antara 28 hingga 37 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu. 
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah dilihat oleh seorang suspek sedang memikul seguni pisang di Kampung Jakar di sini yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Kampung Rahmat Luar. 
“Suspek cuba menangkap si mati, berlaku pergelutan tetapi mangsa berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di situ. 
“Selepas itu, suspek telah memaklumkan kepada bapa saudara dan dua lagi rakannya untuk mencari mangsa,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 
Abdul Aziz seterusnya berkata, empat lelaki itu kemudian terserempak dengan mangsa di Kampung Rahmat Luar dan memukulnya sehingga cedera parah. 
Mohd. Khairul yang bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai isteri serta empat orang anak disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli pada pukul 11.50 malam. 
“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan,” katanya. 
Abdul Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan mangsa didapati mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.