Khamis, 14 Februari 2013

Maut - Kereta Terjunam Ke Dalam Lubang Kumbahan

Lubang pembetung air sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Haji Taha. Foto: myMetro

Anggota bomba menaikkan Paul yang ditemui lemas selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam saluran kumbahan di Kuching.


KUCHING - Seorang anggota Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam saluran loji rawatan kumbahan yang dalam pembinaan di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini semalam. 
Kejadian pukul 3.30 pagi itu mengakibatkan P. Paul, 25, mati di tempat kejadian akibat lemas apabila kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandunya merempuh penghadang besi di atas saluran yang mempunyai kedalaman 10 meter. 
Sebelum kemalangan, mangsa yang berasal dari Johor Bahru dalam perjalanan dari Jalan Haji Taha ke pusat bandar. 
Kejadian berlaku apabila Paul dikatakan gagal mengawal kereta lalu melanggar tebing jalan sebelum melambung dan terjunam ke dalam saluran tersebut. 
Seorang pekerja warung, Effiz Kamil, 24, berkata, dia yang sedang bersiap hendak pulang terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dari arah saluran tersebut sebelum bergegas ke tempat kejadian. 
"Sebaik tiba, saya lihat sebuah kereta telah terjunam ke dalam saluran itu," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi memberitahu, bomba mengambil masa selama tiga jam untuk menyedut air bagi mengeluarkan mangsa bersama keretanya. 
Katanya, siasatan awal mendapati kereta itu terjunam selepas pemandunya gagal mengawal ketika melalui selekoh tajam. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.