Selasa, 26 Februari 2013

Nyaris Maut Ditikam Penyamun

Kes jenayah di negara ini semakin teruk sehingga penyamun tergamak hendak membunuh mangsa. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Seorang warga emas berusia 64 tahun nyaris maut ditikam dua lelaki bermotosikal yang bertindak menyamun mangsa dalam kejadian di belakang tokong Cina, Jalan Maharajalela, di sini, petang tadi. 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Wong Kock Hin berseorangan melalui laluan pejalan kaki. 
“Secara tiba-tiba mangsa dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal lalu bertindak cuba menyamun mangsa. Difahamkan berlaku pergelutan menyebabkan suspek menikam perut mangsa menggunakan pisau pemotong sayur. 
“Mangsa rebah dengan pisau melekat di perutnya. Suspek memecut laju meninggalkan mangsa dan orang awam yang melihat kejadian itu menghulurkan bantuan,” katanya. 
Wong terbaring kesakitan selepas ditikam dua lelaki bermotosikal. Foto: myMetro
Zainuddin berkata, mangsa yang menetap di Bandar Bukit Jalil, dekat sini kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. - myMetro


Berita 27.2.2013


Polis Teliti Rakaman CCTV


KUALA LUMPUR - Polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian seorang warga emas berusia 64 tahun yang nyaris maut akibat ditikam selepas disamun dua lelaki bermotosikal di Jalan Maharajalela, di sini, petang kelmarin. 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya giat mengesan dan mengenal pasti kedua-dua suspek terbabit. 
“Polis sudah meneliti beberapa rakaman dari CCTV berhampiran lokasi kejadian, namun setakat ini belum ada petunjuk positif yang boleh membantu siasatan. 
“Bagaimanapun, polis yakin dapat mengesan kedua-dua suspek dalam masa terdekat berdasarkan maklumat yang diperoleh termasuk keterangan daripada mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Harian Metro semalam, melaporkan seorang warga emas berusia 64 tahun nyaris maut ditikam dua lelaki bermotosikal yang menyamun mangsa dalam kejadian di belakang tokong Cina, Jalan Maharajalela, di sini. 
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Wong Kock Hin dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal yang cuba menyamun mangsa sebelum menikam perut mangsa menggunakan pisau pemotong sayur. 
Mangsa menerima 20 jahitan selain pisau berjaya dikeluarkan dan cedera di bahagian organ dalaman. - myMetro



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.