Rabu, 6 Februari 2013

Pasangan Gila Judi Biarkan Anak Sendirian

Orang sedang berjudi. Foto: imej google

Foto: apaorangkata.blogspot

Mesin judi. Foto: imej google

Foto: imej google


KUALA LUMPUR - Akibat gila judi, sepasang suami isteri tergamak meninggalkan empat anak mereka, termasuk seorang berusia empat tahun hampir setiap malam untuk berjudi. 
Pasangan itu yang berusia 50-an dan 40-an, antara lapan individu yang ditahan dalam empat serbuan di Pusat Perniagaan Metro Prima, Kepong, malam kelmarin, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan judi. 
Serbuan jam 8.30 malam oleh Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuala Lumpur, atas maklumat risikan kegiatan judi yang semakin berleluasa di kawasan itu. 
Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata siasatan mendapati pasangan suami isteri itu antara pelanggan tetap pusat perjudian terbabit sejak mereka berpindah ke sebuah taman perumahan berhampiran dua bulan lalu. 
Kita mendapati mereka baru berpindah dari Sabah. Lelaki itu bekerja sebagai kontraktor, manakala isterinya seorang suri rumah. Hasil soal siasat mendapati hampir setiap malam mereka meninggalkan anak di rumah untuk berjudi di premis itu. 
Difahamkan, perjudian dilakukan melalui internet dengan nilai pertaruhan minimum RM10. Malah, pasangan itu mengakui sering memperoleh keuntungan melalui pertaruhan, lebih-lebih lagi jika membabitkan nilai pertaruhan besar, katanya. 
Azman berkata, semua individu ditahan warga tempatan dan mengesahkan 127 komputer serta pelbagai peralatan komunikasi dirampas dari keempat-empat premis terbabit, selain wang tunai RM1,110 dipercayai hasil pertaruhan haram. 
Sementara itu, 32 individu ditahan Cawangan D7 Bukit Aman dalam lima serbuan di Jalan Kampung Pandan Luar, di sini, kelmarin. 
Dalam serbuan diketuai Ketua Unit Anti-Perjudian D7 Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Tin Heng, sejumlah 150 mesin judi dan wang tunai RM2,258, dirampas. 
Mereka yang ditahan termasuk enam penjaga premis dan 26 kaki judi, dengan sebahagian besar penduduk tempatan berusia 20-an hingga 40-an. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.