Jumaat, 1 Februari 2013

PM Thailand Nafi Abangnya Kuasai Kerajaan

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra. Foto: BBC

Bekas Perdana Menteri dan abang Yingluck, Thaksin Shinawatra. Foto: Guardian

Pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan. Foto: thailandnewsworth


BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, semalam menolak laporan akhbar New York Times yang mendakwa keputusan penting dibuat abangnya, bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dari di luar negara menerusi Skype. 
Yingluck menegaskan beliau adalah Perdana Menteri sebenar yang menguruskan pentadbiran di negara itu dan keputusan dasar dibuat Kabinet yang dipimpinnya, apabila diminta memberi komen berhubung laporan itu. 
Katanya, beliau tidak dapat menghentikan orang ramai meluahkan pendapat tetapi mahukan kritikan yang adil. 
“Tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan kepemimpinan saya diterima rakyat,” katanya sambil menambah beliau mahu pencapaian kerajaan membuktikan kewibawaannya. 
Menyentuh satu kenyataan Thaksin mungkin bercakap dengan Kabinet menerusi Skype, Yingluck berkata orang ramai perlu mempertimbangkan dan mengkaji laporan berita berkenaan secara analisis. 
Malah, penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan ketika mesyuarat Kabinet. 
Sementara itu, pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan menafikan khabar angin beliau cuba menumbangkan kerajaan Yingluck. 
Jatuporn daripada Barisan Demokrasi Bersatu Menentang Pemerintahan Diktator (UDD), berkata beliau menyifatkan diri sendiri sebahagian Parti Pheu Thai dan kumpulan Baju Merah serta tidak akan bertindak menentang pemerintahan diterajui parti itu. 
“Memang ada perbezaan dalam pandangan antara UDD dan kerajaan, tetapi ia boleh diselesaikan menerusi perbincangan,” katanya. 
Jatuporn percaya khabar angin dihasilkan saingan politik yang cuba mencetuskan konflik antara kerajaan dan UDD.
AGENSI / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.