Sabtu, 16 Mac 2013

30 Tahun Pengalaman Redah Hutan Cari Madu

Oleh Siti Salmiah A Hamid dan Mohd Sah Muda
Pak Lah bersama madu yang sudah dibotolkan. Foto: myMetro

Sepohon pokok mempunyai hampir 10 sarang lebah. Foto: myMetro

Pengguna lebih mudah mendapatkan madu di pasar raya. Foto: myMetro

Beberapa pengunjung di pasar tani cuba menikmati madu yang dijual Pak Lah. Foto: myMetro

“Mencari madu lebah di hutan bukan senang, saya pernah dikejar lebah lebih 20 kilometer selepas mengambil madu di kawasan hutan Rompin hingga ke Endau, Johor,” kata pencari lebah hutan, Mansor Said, 63 tahun. 
Itulah pengalaman pahit manis yang tak dapat dilupai selepas membabitkan diri mencari madu lebah hutan sejak 30 tahun lalu. 
Mansor yang lebih dikenali Pak Lah Madu dalam kalangan peniaga pasar tani dan pasar lambak di Mersing Kanan mengakui pada mulanya perusahaan madu lebah itu kurang mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat. 
Bagaimanapun katanya, selepas 10 tahun barulah masyarakat di daerah ini tahu menghargai madu yang penuh dengan khasiat perubatan malah menjadi makanan sunnah Nabi Muhammad SAW. 
Pak Lah berkata, dia mencari madu hutan di kawasan hutan sekitar daerah Endau dan Rompin, Pahang dengan mengenal pasti kawasan lebah membuat sarang sama ada di bawah atau di atas pokok. 
“Ada lebah yang membuat sarang di atas pokok yang tinggi, justeru saya terpaksa menggunakan tangga atau membuat tangga untuk memanjat bagi mengambil madu lebah. 
“Kebiasaannya, saya akan ambil madu secara berperingkat dan meninggalkan separuh dari sarang yang diambil bagi membolehkan ratu lebah dan koloni meneruskan proses penghasilan madu lebah. 
“Dalam tempoh dua minggu. saya akan kembali ke sarang yang sama,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 
Setiap madu lebah akan diproses dan tidak dicampur dengan bahan lain agar pelanggan dapat menikmati madu asli. 
Tambahnya, lebah hutan dianggap terbaik berbanding lebah diternak kerana lebah hutan menjalankan proses pembentukan madu dalam persekitaran hutan sebenar. 
“Rasanya juga berlainan kerana mengandungi bahan asli yang diambil dari bunga segar dalam hutan yang tidak terusik dek pembangunan,” katanya. 
Mereka yang ingin mendapatkan madu lebah hutan Pak Lah boleh berkunjung ke pasar tani di Mersing Kanan setiap Jumaat. 
“Harga yang ditawarkan tidak mahal, mengikut saiz botol sama ada kecil atau pun besar iaitu antara RM20 hingga RM40 sebotol. 
“Makanan berkhasiat ini mula mendapat permintaan ramai penduduk setempat malah pengunjung dari luar,” katanya. 
Hasil jualannya juga meningkat setiap minggu malah ada datang ke rumahnya di Kampung Teriang, Endau, Mersing. 
Permintaan yang menggalakkan turut diterimanya daripada pelancong luar negara seperti Singapura dan Brunei. 
Mereka yang mengamalkan meminum madu setiap hari menikmati kesihatan yang lebih baik. 
Dia dibantu isterinya, Kamisah Salim, 57, dan tiga anaknya yang selalu mengikutnya ke hutan untuk mendapatkan madu lebah itu. 
Menurutnya, terdapat dua jenis madu lebah hutan iaitu lebah yang membuat sarang di pokok yang rendah dan di pokok tinggi dikenali lebah tualang. 
“Untuk mendapatkan madu lebah hutan bukanlah mudah kerana perlu menunggu ia matang kemudian berulang-alik ke sarang lebah untuk mengambil madunya. 
“Proses mengeluarkan madu dari sarang perlu dibuat dengan baik dan teliti bagi mengelak ia rosak atau tercemar,” katanya.

INFO: 
Teknik mengambil madu hutan
  • Dilakukan pada siang atau malam hari.
  • Sekiranya dilakukan pada siang hari, kawasan sekitar perlu diperhatikan iaitu jumlah koloni lebah tidak lebih daripada 20 sarang dan lokasi sarang lebah jauh daripada penduduk dan binatang ternakan.
  • Peralatan diperlukan seperti pengasap, pelindung muka, pisau untuk memotong sisir sarang madu, tali, baldi, penapis dan botol.
  • Asapkan sarang untuk membebaskan sisir sarang daripada dikerumuni lebah dewasa.
  • Potong seluruh sisir sarang tetapi hanya sisir sarang yang mengandungi madu saja diambil.
  • Selepas mendapatkan madu dari pokok, tapiskannya ke dalam baldi dan terus dimasukkan ke dalam botol.

Cara betul memakan madu 
  • Mulakan dengan bacaan bismillah dan selawat. 
  • Madu diminum semasa perut kosong terutamanya di waktu pagi antara 30 minit hingga sejam sebelum bersarapan.  
  • Campurkan madu ke dalam air suam jika ingin meminumnya.  
  • Sekiranya batuk atau lelah, ambil satu atau dua sudu madu.  
  • Seelok-eloknya gunalah sudu plastik.

Khasiat madu

  • Sekiranya dicampur ke dalam minuman kanak-kanak membuatkan mereka tidur dengan nyenyak.
  • Amalkan sesudu besar madu bersama segelas air suam setiap pagi dapat memberikan kesegaran.
  • Titiskan sedikit madu jika mengalami sakit mata.
  • Sapukan madu pada bahagian luka akibat melecur api, air panas, ekzos motor, minyak panas atau sengatan serangga berbisa.
  • Pesakit diabetes boleh mengambil sesudu madu dan sesudu cuka asli (cuka nipah) kemudian dicampurkan dengan sedikit air suam.
  • Sekiranya mengalami luka atau kemalangan kecil, sapukan madu untuk menghentikan darah dan melindungi luka daripada kuman.
- myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.