Ahad, 31 Mac 2013

30 Tahun Guna Batu Meteorit Proses Daging Salai

Lopez (kanan) menunjukkan meteorit yang digunakan sebagai alat pemproses daging. Foto: EPA

SEBUAH batu yang digunakan keluarga peladang Sepanyol bagi memproses daging salai sejak 30 tahun lalu, rupa-rupanya adalah serpihan batu meteorit dianggarkan bernilai tidak kurang 3.5 juta pound (RM16.5 juta). 
Faustino Asensio Lopez memberitahu, batu seberat 100 kilogram ditemui bapanya di kawasan ladang ternakan milik keluarga mereka berhampiran Ciudad Real pada 1980. 
Menurut Lopez, bapanya percaya batu itu adalah tinggalan perang saudara di negara itu. 
"Kami mula mengesyaki batu ini adalah serpihan tahi bintang selepas menonton laporan sebuah stesen televisyen yang mendedahkan kewujudan batu itu di Sepanyol. Kemudian, saya menghubungi ahli geologi, Juan Carlos Gutierrez Marco," kata Lopez dipetik dari MailOnline. 
Selepas melakukan beberapa ujian, Marco mengesahkan bahawa batu yang digunakan keluarga pengeluar daging salai itu adalah meteorit logam pra sejarah. 
Menarik sekali, ia adalah meteorit keempat ditemui di Sepanyol selepas penemuan terakhir pada 1950. - Sinar Harian

Maut Ketika Sedang Mencuri

Lelaki ini maut terkena renjatan elektrik ketika memotong kabel elektrik. Foto: Bomba dan Penyelamat Kajang
Kecurian kabel boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Foto: Sinar Harian


KAJANG - Gara-gara mahu mencuri kabel, seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong gelungan kabel elektrik bawah tanah berhampiran kilang di Bukit Angkat, malam kelmarin. 
Menurut sumber, mangsa melakukan kerja itu sendirian. 
Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui orang awam dalam lubang sedalam dua meter. 
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejar ke lokasi kejadian. 
“Penutup lubang terbuka separuh dan mangsa berpakaian lengkap ketika ditemui," katanya. 
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. - Sinar Harian

Virus Baru Lebih Bahaya Daripada SARS Dikesan

Pesakit yang dijangkiti koronovirus akan mengalami simptom kesukaran bernafas, demam, batuk dan radang paru-paru dalam tempoh 48 jam

Pakar berpendapat virus tersebut mungkin disebarkan oleh spesies kelawar Asia

LONDON - Virus baru yang yang menyebabkan kematian kedua di Britain, minggu lalu didakwa lebih berbahaya dari SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk). 
Koronovirus misteri yang menyerang sistem pernafasan dan dipercayai berasal dari Timur Tengah itu mula dikenal pasti awal tahun lalu. 
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan angka kematian kini mencecah 11 orang dan dua daripadanya ialah warga Britain. 
Ahli mikrobiologi, Yuen Kwok-yung berkata, jika virus tersebut mengalami mutasi ia mungkin akan menjadi wabak pembawa maut. 
"Virus baru ini boleh menyerang banyak organ dan membunuh sel dengan cepat berbanding SARS," katanya menurut laporan MailOnline. 
Sebanyak 17 kes dilaporkan sejak WHO mengeluarkan amaran berjaga-jaga pada September lalu. 
Pembawa koronovirus itu juga masih tidak dapat dikenal pasti, namun saintis Netherlands mendakwa hasil penyelidikan ke atas sampel darah pesakit menunjukkan ia mungkin disebarkan oleh spesies kelawar Asia. - Sinar Harian


Dapur Gas Meletup Cederakan Warga Emas

Keadaan ruang dapur rumah mangsa yang terjejas akibat letupan yang berlaku. Foto: Sinar Harian

Kebocoran gas selalunya disebabkan kepala gas tersalah pasang atau hos getah bocor digigit haiwan. Foto: Berita Harian Online

Flat kediaman di Danau Kota (gambar hiasan). Foto: kualalumpurcity

Kondominium Danau Kota berdekatan sekolah (gambar hiasan). Foto: kualalumpurcity


KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita warga emas untuk menyediakan sarapan untuk ahli keluarganya tidak kesampaian apabila ruang dapur kediamannya di Danau Kota, di sini meletup semalam dan mengakibatkan beberapa bahagian badannya melecur. 
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa berusia 60-an itu mahu menghidupkan api dapur tanpa menyedari ruang dapur tersebut dipenuhi gas. 
Sebaik api dinyalakan, berlaku letupan yang turut menyebabkan pintu serta tingkap di ruang terbabit pecah. 
Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Robert James berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian letupan dan bertindak atas maklumat itu, satu jentera dihantar ke lokasi kejadian. 
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati injap silinder gas tersebut tertanggal dan gas kemudiannya terkumpul di ruang dapur itu disebabkan ketiadaan sistem pengudaraan yang baik. 
“Mangsa melecur di bahagian kaki dan tangan akibat letupan itu. Tiga lagi ahli keluarganya yang turut berada di rumah berkenaan selamat kerana berada di ruang tamu. 
“Kejadian tidak menyebabkan kebakaran tetapi bomba memantau dan memastikan tiada sisa gas,” katanya. 
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan. 
Robert mengingatkan orang ramai supaya lebih peka sekiranya terhidu bau ganjil kerana gas memasak mempunyai bau agak kuat. - Sinar Harian

Misteri Kelibat Tiga Lelaki Di Kampung Tanduo

Mayat penceroboh Sulu yang dibalut dengan karpet ini ditemui pasukan keselamatan Malaysia di Kampung Tanduo. Foto: fotowarung

Anggota Forensik PDRM menunjukkan satu daripada 16 mayat pengganas yang dibedah siasat di Hospital Lahad Datu. Foto: mStar

Apapun, yang mati tetap mati. Kelibat yang dilihat mungkin kerja syaitan untuk memperdayakan iman manusia. Foto: unic77


LAHAD DATU - Ketahanan mental anggota keselamatan yang bertugas di Kampung Tanduo di sini terus diuji apabila mereka dipercayai sering terlihat kelibat tiga lelaki sedang berkeliaran di kawasan tersebut. 
Sumber memaklumkan, kelibat tiga lelaki itu dipercayai roh pengganas Sulu yang ditembak mati dalam pertempuran 1 Mac lalu. 
Katanya, kelibat lelaki itu hanya dapat dilihat pada waktu Maghrib. 
"Perkara ini tidak logik tetapi inilah yang didakwa dialami anggota keselamatan. 
"Mereka lihat tiga lelaki berkeliaran dengan seorang daripadanya memakai serban putih," dakwa sumber itu di sini semalam. 
Selepas beberapa saat, kelibat tiga lelaki itu akan hilang. 
"Di kampung tersebut ada tiga lubang kubur yang menempatkan ramai mayat pengganas. 
"Kebanyakannya mempunyai tangkal di pinggang yang kononnya bertujuan menjadikan mereka kebal," tambahnya. - Kosmo!

Sabtu, 30 Mac 2013

Mangsa Pencerobohan Meraung Lihat Rumah Musnah

Siti Aminah Haya, 21, menangis melihat rumahnya yang musnah terbakar akibat serangan penceroboh Sulu. Foto: Bernama

Salah sebuah rumah penduduk Kampung Tanjung Batu musnah terbakar akibat pertempuran hampir sebulan. Foto: Sinar Harian

Sebahagian kemusnahan tempat tinggal penduduk yang dapat dilihat di Kampung Tanjung Batu. Foto: Sinar Harian

Rumah, kereta pacuan empat roda dan kereta salon turut rosak akibat serang penceroboh Sulu. Foto: Sinar Harian

Rumah ini habis musnah terbakar akibat pertempuran antara penceroboh dengan pasukan keselamatan. Foto: Sinar Harian

Sebahagian penduduk Kampung Tanjung Labian berdoa memohon keselamatan kampung mereka terpelihara. Foto: Sinar Harian


LAHAD DATU - Meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir adalah antara reaksi spontan 21 keluarga dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, yang dibenarkan melawat rumah mereka hari ini.Mereka bersama pasukan keselamatan, penilaian dari Pegawai Daerah dan Majlis Keselamatan Negara dibenarkan meninjau selepas sebulan menjadi mangsa serangan pengganas dari selatan Filipina dengan berlindung di pusat pemindahan seliaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Felda. 
"Sakit hati tengok. Macam mana hendak masuk balik dan tinggal di sini dengan keadaan begini. Macam mana hendak bayar hutang yang masih banyak lagi itu!" kata Norhaya othman, 27, yang terus menangis sambil memeluk suaminya, Abdul Jabbar Bavotty, 39, ketika melawat Kampung Tanjung Labian. 
Peniaga kedai runcit itu juga semakin sayu apabila menceritakan bahawa dua anaknya sering bertanya bilakah mereka sekeluarga boleh pulang ke rumah yang telah tiada itu. 
Krisis pencerobohan di Lahad Datu sejak 12 Februari lalu, telah menyebabkan 3,500 penduduk di sekitar gugusan Tanjung Labian dan Tanjung Batu melarikan diri ke pusat pemindahan dan rumah saudara, termasuk puluhan rumah dibakar dan rosakkan pengganas dalam pertempuran Operasi Daulat dengan pasukan keselamatan. 
Seorang lagi penduduk, Siti Aminah Hiya, 21, tergamam kerana beliau langsung tidak percaya melihat rumahnya hangus serta kelengkapan perahu dan enjin bot miliknya hilang, sekali gus menjejaskan punca pencarian rezekinya di laut. 
Katanya, sebelum kejadian, beliau baru sahaja membuat pinjaman bernilai RM1,500 untuk kelengkapan perahunya dan kini beliau rungsing memikirkan bagaimana hendak membayar pinjaman itu. 
Sambil terduduk dan seakan-akan tidak percaya melihat apa yang berlaku, beliau kemudian menangis dan terus menjauhkan diri dari media. 
Seorang lagi penduduk yang tidak mahu dikenali, hanya mampu bersandar dan duduk di dalam keretanya kerana tidak sanggup melihat keadaan rumah dan kedai motosikalnya yang musnah dan rosak ekoran insiden itu. 
Daripada tinjauan terdapat kira-kira 16 rumah di kampung Tanjung Batu perlu diperbaiki manakala 26 buah rumah lagi musnah sama sekali. 
Taksiran akhir jumlah kerugian rumah dan harta benda kesemua penduduk kampung yang terlibat dijangka disiapkan pegawai daerah tidak lama lagi. 
Sepanjang insiden pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 68 militan, manakala 121 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 ditahan atas pelbagai kesalahan. - Bernama

Penceroboh Sulu Jahil Tak Tahu Mengucap

Mayat-mayat penceroboh Sulu di Hospital Lahad Datu.

Disebabkan tidak mempunyai asas agama, penceroboh Sulu ini sanggup memakai tangkal dan sanggup mati dalam keadaan syirik.


SEMPORNA – Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam. 
Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu. 
“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam. 
“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. 
“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 
Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan. 
Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal. - Kosmo

Lelaki Maut Selepas Rentung Separuh Badan

Patou sedih selepas membuat pengecaman mayat suaminya di kedai bateri kenderaan milik mereka. Foto: Sinar Harian

Mayat Hong Bin dibawa ke HTAA untuk bedah siasat. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas separuh badannya rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah kedai bateri kenderaan di Taman Indera Sempurna, di sini, pagi semalam. 
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemilik kedai, Leong Hong Bin, 28, ditemui maut dalam sebuah bilik di kedai terbabit oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang memadam kebakaran. 
Saksi kejadian, Zarin Mohd Taib, 35, berkata, dia ternampak asap keluar dari bahagian depan pintu kedai tersebut kira-kira jam 11 pagi. 
Menurutnya, dia kemudiannya memanggil beberapa rakan yang berada di kawasan berkenaan dan membuka pintu kedai itu. 
“Sebaik sahaja membuka pintu kedai, saya lihat api sudah marak namun kami tetap cuba memadamkannya namun gagal. 
“Saya terus menghubungi pihak bomba kerana api sukar dikawal. Waktu itu saya tidak tahu ada orang di dalam kedai berkenaan kerana tidak mendengar sebarang jeritan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 
Zarin berkata, mangsa kebiasaannya membuka kedainya pada awal pagi namun tidak berbuat demikian semalam. 
Isteri mangsa, Patou, 23, yang merupakan warga Laos berkata, suaminya keluar ke kedai kira-kira jam 9.30 pagi semalam. 
Katanya, kebiasaannya, suami bergilir-gilir menguruskan kedai itu bersama ibu bapanya namun sejak seminggu lalu mangsa bekerja sendirian kerana ibu bapanya melancong ke Vietnam. 
“Sepatutnya saya menemaninya ke kedai, tapi saya penat, jadi dia pergi ke kedai bersendirian,” kata ibu dua anak berusia 2 tahun dan 9 bulan itu. 
Sebelum itu, Patou dan adik perempuan mangsa diminta membuat pengecaman mayat Hong Bin. 
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.45 pagi sebelum dua jentera bergegas ke lokasi kejadian. 
“Pihak bomba dan penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak kira-kira 40 minit kemudian. 
“Hasil pemeriksaan, anggota bomba menemui mayat mangsa yang sudah rentung terbaring di atas lantai dalam pejabat premis berkenaan,” katanya. 
Anuar berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan bagi bedah siasat. 
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. 
Operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mat Lazim Jaafar bersama 10 anggota dan turut mendapat kerjasama anggota dari Balai Bomba Kuantan. - Sinar Harian

Mahathir Akui BN Kini Tak Lagi Kuat

Dr Mahathir berucap pada program Bicara Minda di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Foto: Sinar Harian


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) akan mencapai keputusan baik pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), walaupun ia dilihat tidak kuat seperti yang diharapkan. 
BN kini cuba pulih daripada 'tsunami' pilihan raya umum 2008 katanya sambil menambah, bukan mudah untuk kembali setelah mengalami kekalahan banyak kerusi dan negeri pada pilihan raya umum lalu. 
"Buat kali pertama, BN tidak sekuat sebagaimana sepatutnya. BN akan mencapai keputusan baik (dalam pilihan raya umum ke-13) namun persoalannya berapa banyakkah kerusi yang akan dimenangi mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhary di sini hari ini. 
Katanya PRU 13 merupakan pilihan raya yang penting kerana pihak pembangkang telah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan. 
"Pembangkang telah bersatu supaya mereka boleh mencabar BN ... tetapi mereka bersatu bukan sebagai gabungan tetapi, hanya 'pakatan'. Mereka juga tidak mempunyai satu pun simbol atau mempunyai agenda khusus. saya rasa rakyat akan dapat membuat pilihan yang baik," katanya. 
Terdahulu dalam ucapanya, Dr Mahathir berkata, rakyat perlu menilai kembali nikmat yang mereka kecapi ketika ini dan tidak terlalu termakan hasutan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, pada PRU13. 
Katanya, tidak sepatutnya berlaku rakyat mahu menukar kerajaan pada ketika mereka menerima pelbagai faedah tetapi mengungkit apa yang mereka tidak peroleh. 
"Kita suka cari kesalahan di sana sini. Ada orang tak hargai segala yang diterima. Ungkit konon negara tak bebas, kerajaan zalim...tekan rakyat, tak beri kebebasan, sedangkan kita terima macam-macam. 
"Bukan ada sebab pun nak tukar kerajaan, nak tukar hanya atas sebab kebencian. Kena fikir baik-baik, utamakan orang yang berbakti, bukan kepada orang yang langsung tak boleh diterima. Kalau dia boleh jadi pemimpin buat apa tukar," 
Merujuk Kedah sekarang yang tidak mempunyai pemerintahan yang cekap, beliau berkata banyak pembangunan yang dinikmati Kedah adalah daripada kerajaan pusat dan orang yang mendapat kekayaan adalah kerana dasar kerajaan pusat. 
"Kena tentukan siapa boleh siapa tak boleh (jadi kerajaan). Nak ada kerajaan yang berwibawa. Kalau tak, kita jadi mangsa. Janganlah mengundi kerana marah," katanya. 
Dr Mahathir turut ditanya mengenai hasrat kerajaan Filipina untuk kembali membuat tuntutan ke atas Sabah sebagai sebahagian wilayah mereka. 
Beliau berkata itu hak Filipina untuk berbuat demikian tetapi untuk membawanya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak. 
"Boleh bawa ke mahkamah hanya jika kita setuju sama. Kalau dia sendiri takkan diterima. Kalau nak rayu kepada UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) mereka boleh buat tetapi sama ada UN nak sokong adalah perkara lain. 
"Selain itu, sama ada kita akur kepada UN jika buat keputusan memihak kepada Filipina tiada undang-undang yang nak memaksa kita ikut UN jika rayuan dibuat satu pihak sahaja," katanya. 
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan yang besar untuk usaha membangunkan semula Pekan Rabu Alor Setar, yang merupakan satu lokasi ikonik bagi Kedah dan bandar raya ini. 
"Saya merupakan peniaga di Pekan Rabu sebelum ini. Saya pernah menjual pisang goreng di Pekan Rabu. Ia keputusan yang baik untuk membaik pulih Pekan Rabu. Namun, setelah anda memulihkannya, ia harus dikekalkan," katanya. 
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan pusat akan membangunkan semula Pekan Rabu dengan peruntukan RM55.58 juta. 
Ismail berkata projek Yang diletak di bawah kementeriannya itu akan melibatkan kerja meroboh bangunan lama dan diganti dengan bangunan baru setinggi tujuh tingkat.- Bernama

Tiga Sekeluarga Lemas Di Pantai Chendering




KUALA TERENGGANU: Tragedi malang menimpa ahli keluarga bekas wakil rakyat PAS, Ustaz Mohd @ Harun Jusoh, apabila dua anak dan seorang cucunya disahkan meninggal dunia akibat lemas. 
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam di Pantai Pandak Chendering Kuala Terengganu ketika program perkelahan keluarga sempena cuti persekolahan. 
Beliau yang menjadi Adun Bandar pada PRU 1990 menyifatkan kejadian mati lemas melibat dua anak serta seorang cucunya itu sebagai takdir dengan kehendak Allah SWT. 
Sebelum itu, katanya sempena berbaki musim cuti persekolahan semua ahli keluarga yang berada di luar Terengganu balik bercuti di Kampung Kuala Ibai. 
“Saya pun tak sangka, kami keluarga anak-beranak berkumpul cuti sekolah yang berada di luar Terengganu pun balik, kami semua gembiralah dengan anak-cucu yang ramai ini. 
“Tapi…hari ini, semua dengan kehendak takdir Allah Taala, Tuhan ambil dua orang anak saya dan seorang cucu, saya redha, sudah sampai masa-Nya,” ujarnya dengan hiba. 
Beliau yang juga Ketua Keselamatan PAS Terengganu menambah, tragedi lemas itu bermula dari salah seorang cucunya yang dibawa arus deras dan anak-anak yang lain cuba membantu. 
Harakahdaily dimaklumkan, mangsa yang meninggal dunia ialah Saifuddin Mohd @ Harun, 49, adiknya, Mohd
Mohd Hafiedz
Hafiedz, 32, (gambar) dan Adam Daniel Mohd Hafiedz, 7, manakala dua orang lagi menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
 
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Adam Daniel dilaporkan lemas ketika sedang mandi di pantai berkenaan sebelum bapa dan bapa saudaranya itu cuba menyelamatkan mangsa namun usaha itu gagal dan mereka turut mengalami kesulitan di air. 
Berikutan itu, dua lagi saudara dari keluarga berkenaan Burhanuddin Helmi Harun, 43, dan Idzham Tayib, 41, turut serta membantu bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa-mangsa itu. 
Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan sebuah jentera enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan pantai. 
Kesemua mangsa lemas tersebut berjaya ditemui selepas 20 minit kejadian. 
Allahyarham Mohd Hafiedz adalah Setiausaha Kerja Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Burok yang baru bertugas sejak hampir dua bulan lalu dan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS kawasan Kuala Terengganu. 
Beliau pernah menjadi pemandu khas kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, tahun 2008 dan pemandu pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus. 
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan mengimamkan solat jenazah mereka pada jam 9.00 pagi ini di Masjid Kampung Kolam, Kuala Ibai dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kolam, Kuala Ibai. - Harakah Daily


Jumaat, 29 Mac 2013

Keracunan Kerana Main Masak-masak

Pelbagai jenis racun rumput di pasaran. Foto: putikalam

Lagi racun rumput. Sepatutnya racun seperti ini disimpan jauh daripada capaian kanak-kanak. Foto: putikalam


KOTA BHARU - Keseronokan tiga beradik bermain ‘masak-masak’ bertukar tragedi apabila serbuk warna ungu kristal yang disangka pasir tidak berbahaya itu adalah sejenis racun rumput dan serangga. 
Kejadian itu yang berlaku di Kampung Berangan, Tumpat menyebabkan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7, Muhammad Arsyad, 6, dan Nur Amanina,5, mengalami muntah-muntah dan lemah tubuh badan. 
Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superitendan Sharifuddin Yusof berkata, kejadian tersebut disedari oleh ibu mangsa, Siti Fatimah Yaacob, 36, kira-kira jam 6 petang semalam. 
“Sebaik sahaja melihat perubahan kepada tiga beradik tersebut, ibu dan bapa mangsa membawa mereka ke Hospital Kelaboran untuk rawatan pada jam 7.30 malam. "Mereka kemudian dirujuk kepada Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) pada jam 9.30 malam untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 
Menurutnya, ketika kejadian bapa mangsa, Mohd Mat Haluwi Yusof, 49, bekerja sebagai buruh binaan tidak berada di rumah manakala ibu, Siti Fatimah menjaga kedai runcit miliknya di hadapan rumah tersebut. 
Beliau berkata, ketiga beradik tersebut yang dipercayai terhidu racun jenis ‘faradon’ itu kini berada dalam keadaan stabil, dan sudah boleh bercakap serta minum dengan baik. 
Sharifuddin berkata, racun tersebut disimpan di stor belakang rumah dalam keadaan terdedah di mana bapa mangsa merupakan petani sambilan. 
“Racun tersebut didakwa digunakan untuk membunuh rumput atau serangga dalam tanah dengan kegunaan ditanam ke dalam tanah. 
“Semasa kejadian faradon disimpan dalam beg plastik lusuh dan berbentuk serbuk warna ungu kristal,” katanya. 
Beliau berkata, menurut pegawai perubatan HRPZ II, kesan daripada menghidu racun tersebut boleh menyebabkan mangsa merasa pening dan muntah-muntah. 
Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain "masak-masak" berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumah mereka. 
Dari kiri, Muhammad Aiman, Nuramanini dan Muhammad Arsyad yang terhidu serbuk racun rumput kini stabil.
“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Ketiga-tiga adik saya ambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan dijadikan sebagai permainan. Mereka kemudian mengalami pening dan muntah-muntah sebelum ibu dan ayah membawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, hari ini. - Sinar Harian


Kerja Roboh Tembok Berlin Diteruskan

Orang ramai berkumpul di sepanjang Tembok Berlin bagi bantahan kerja-kerja meruntuh. Foto: Sinar Harian

Tembok Berlin semasa mula-mula dibina selepas tamat Peperangan Dunia Kedua pada tahun 1945

Sejak kewujudannya, Tembok Berlin telah memisahkan penduduk di bahagain barat dan timur Berlin


Bagaimanapun Tembok Berlin mula diruntuhkan selepas kemerosotan kuasa komunis pada tahun 1989


BERLIN - Pihak kontraktor meneruskan kerja-kerja meruntuhkan sebahagian daripada Tembok Berlin berusia 30 tahun yang masih kukuh itu, ketika orang ramai melancarkan demonstrasi membantah tindakan itu. 
Jurucakap polis berkata, sebanyak empat bahagian tembok diruntuhkan bermula 5 pagi waktu tempatan dan dijangka mengambil beberapa hari untuk meruntuhkan keseluruhan tembok berkenaan. 
"Ruang seluas lima meter yang terdedah itu akan digantikan dengan pagar," katanya dipetik AFP. 
Media tempatan melaporkan, kira-kira 250 anggota polis ditugaskan mengawal keadaan ketika kerja-kerja meruntuhkan dilakukan. 
Penunjuk perasaan terdiri daripada anggota-anggota parti pembangkang mula mengadakan demonstrasi di tembok sepanjang 1.3 kilometer itu ketika bahagian pertamanya diruntuhkan pada awal bulan ini. - Sinar Harian

Pelajar Lemas Selepas Main Bola

Mayat Hafizul Alimi diusung pasukan penyelamat sebaik ditemui di dasar sungai untuk dihantar ke HGM. Foto: Sinar Harian


GUA MUSANG - “Saya lihat dia terkapai-kapai dihanyutkan arus deras, tetapi saya tidak dapat menolongnya kerana saya sendiri turut dihanyutkan arus," kata Dzulaqma Budriz Shah, 14, rakan Hafizul Alimi Nuzul, 14, yang ditemui mati lemas, pagi semalam. 
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa bersama 11 rakan lain mandi di Sungai Ketil berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas bermain bola di padang Taman Wangi. 
Mayat Hafizul Alimi, ditemui di dasar sungai itu kira-kira 11.15 pagi hanya 200 meter dari tempat mangsa terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras oleh sepasukan anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama buruh binaan rumah PPR itu. 
Mangsa pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 (SMKTIP1) yang tinggal di Kampung Tanah Puteh dikatakan bermain bola sepak di padang bola Taman Wangi kira-kira jam 8.30 pagi sebelum ke sungai itu 9.45 pagi. 
Ketika menceritakan detik cemas kejadian itu, Dzulaqma, berkata, sebelum kejadian mangsa kelihatan biasa sahaja ketika turun ke sungai untuk mandi bersama-sama. 
Katanya, sebaik sedang mandi, mangsa berjalan ke lokasi lain sebelum kaki tergelincir dan dihanyutkan arus hingga ke kawasan lebih dalam menyebabkan cemas untuk menolongnya. 
Beliau berkata, dia sempat menyelamatkan mangsa, tetapi sekali lagi berlaku demikian hingga tidak lagi sempat berbuat demikian hingga Hafizul Alimi hilang dihanyutkan arus. 
“Saya sedaya upaya cuba menyelamatkan mangsa apabila ternampak dia tenggelam timbul dalam keadaan mulut berbuih, tetapi saya pula hampir lemas menyebabkan saya berenang untuk menyelamat diri sendiri. 
“Sebaik saya sampai ke tebing, saya lihat dia sudah hilang sambil saya melaungkan rakan yang lain supaya cepat mencari mangsa, namun kebanyakan rakan itu tidak mahu kerana takut dengan kejadian terbabit,” katanya. 
Dzulaqma Budriz berkata, sudah biasa bagi kumpulannya mandi di sungai itu setiap kali selepas bermain bola kerana sungai berkenaan juga terletak berhampiran padang bola terbabit. 
“Saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan mangsa untuk kali kedua disebabkan arus deras dan air dapat menyebabkan saya sendiri hampir lemas dibawa arus, tetapi bersyukur saya masih selamat,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan. - Sinar Harian

Selepas 25 Hari Op Daulat Musuh Kurang 10 Orang

Seorang anggota tentera mengawasi rombongan yang meninjau keadaan di Kampung Tanjung Batu dan media. Foto: Bernama

Musuh kini tinggal kurang daripada 10 orang. Foto: RTM

LAHAD DATU - Selepas 25 hari Operasi Daulat dilancarkan, pasukan keselamatan mengesahkan jumlah musuh kini kurang daripada 10 orang. 
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata angka itu mengambil kira jumlah musuh yang ditembak mati dan ditangkap berbanding bilangan musuh semasa mula bertapak di Kampung Tanduo, 12 Feb lepas iaitu kira-kira 200 orang. 
"Saya tidak boleh mengatakan bahawa musuh tidak ada atau sebaliknya...kami yakin musuh memang ada tetapi jumlahnya amat berkurangan, mungkin kurang dari 10 orang," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini. 
Sepanjang insiden pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 68 militan, manakala 121 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 ditahan atas pelbagai kesalahan lain. 
Beliau berkata gerakan ofensif yang disusuli operasi menggeledah dan membersih sehingga kini berjaya membersihkan tiga dari lima kampung yang menjadi lokasi persembunyian dan pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas. 
Hamza berkata selepas Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian dibersihkan, pasukan keselamatan kini memberi tumpuan kepada kawasan Tanjung Bilis dan Lok Buani. 
Beliau berkata penduduk Kampung Tanjung Labian akan dibenar pulang selepas ketua-ketua keluarga dan ketua kampung dibawa melawat ke kediaman mereka bersama-sama pasukan penilaian esok. 
Bagi penduduk Kampung Tanjung Batu, Hamza berkata seramai 20 hingga 25 penghuni yang rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk akan dibenar pulang ke rumah masing-masing esok, manakala pemilik yang rumahnya musnah dibenar untuk terus tinggal di pusat pemindahan sementara. 
Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, anggota keselamatan akan terus ditempatkan di kampung berkenaan untuk berkawal dan mendominasi kawasan itu. 
"Selain itu kami juga akan melaksanakan khidmat kepolisan lain untuk memulihkan keyakinan penduduk apabila berada di kampung itu," katanya. - Bernama


Penduduk Tanjung Batu Sedih Lihat Rumah Rosak

Penduduk Kampung Tanjung Batu berjalan dengan kawalan polis untuk melihat keadaan kampung mereka

Seorang penduduk kampung rasa terharu melihat keadaan rumahnya yang telah musnah

Penduduk kampung memohon doa selamat dan doa kesyukuran

Kampung Tanjung Batu masih dikawal pasukan tentera Malaysia

Anggota tentera sedang meronda sekitar Kampung Tanjung Batu

Sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu terdapat kesan-kesan tembakan akibat pertempuran dalam Op Daulat. Foto: Bernama

LAHAD DATU - Peluru bertaburan di jalan raya, rumah yang dibina dan dihuni sejak 40 tahun lepas penuh berlubang dengan kesan tembakan dan ada di antaranya musnah sama sekali akibat dibakar kumpulan militan dari selatan Filipina yang bertempur dengan pasukan keselamatan. 
Keadaan sayu itu menyambut kepulangan ketua-ketua keluarga penduduk Kampung Tanjung Batu yang pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan mereka setelah hampir sebulan ditempatkan di pusat pemindahan berikutan kejadian pencerobohan militan Sulu. 
Kampung Tanjung Batu adalah lokasi yang menjadi pilihan penceroboh militan Sulu untuk menyusup masuk ke negara ini melalui jalan pantai dan hutan selepas mendarat di Kampung Tanduo 12 Feb lepas. 
Kumpulan militan itu dipercayai menggunakan perkampungan berkenaan untuk berteduh dan mengumpulkan anggota mereka sebelum mula menyerang dan menawan kampung itu. 
"Saya memang terkejut. Saya tidak sangka jadi begini sehingga rumah hangus. Saya reda kepada Tuhan atas kejadian ini," kata Mahmud Mallang, 72, ketua Kampung Tanjung Batu apabila melihat kemusnahan yang dialaminya. 
Kejadian itu bukan sahaja memusnahkan rumahnya malah empat rumah anaknya juga hangus terbakar, selain turut kehilangan kereta dan motosikal. 
Beliau berkata walaupun mengalami kemusnahan yang teruk, rata-rata penduduk kampung sepakat untuk terus menetap di perkampungan itu memandangkan itulah kampung halaman mereka dan tempat mereka mencari rezeki. 
Kesayuan jelas tergambar di wajah ketua-ketua keluarga yang dibawa masuk ke kampung itu untuk menilai kerosakan yang mereka alami dan bagi John Dulahap, 62, walaupun sedih melihat kemusnahan itu, beliau yakin kerajaan pasti akan membela nasib mereka dengan menyediakan bantuan khas bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk. 
"Rumah anak-anak saya juga hangus dan ada juga yang dipenuhi bekas tembakan. Peralatan rumah turut rosak," katanya. 
"Rumah adik dan kakak saya hancur," luah pula Ajimain Mahmud, 35, yang masih trauma selepas ditampar dua kali oleh anggota militan semasa menceroboh kampung itu. 
Mereka adalah antara 20 ketua keluarga yang dibawa masuk ke Kampung Tanjung Batu bersama kumpulan penilaian terdiri daripada pegawai daerah dan Majlis Keselamatan Negara bagi membuat taksiran kerosakan harta benda sebelum penduduk yang mempunyai dokumen dibenar pulang Sabtu ini. 
Petugas media yang turut dibawa bersama dapat melihat sendiri dengan jelas kemusnahan di kampung itu yang boleh diibarat umpama 'padang jarak padang terkukur'. 
Sebaik melepasi papan tanda 'Selamat Datang ke Kampung Tanjung Batu' jelas kelihatan ribuan peluru dan kelongsong peluru bertaburan di atas jalan raya dan kawasan sekitar termasuk di perkarangan rumah dan kawasan semak samun. 
Hampir setiap rumah berlubang, rosak, tidak lengkap dengan ada atap dan pagar rumah hancur. Penulis turut menemui kesan darah, pisau dan parang kecil di beberapa rumah serta kasut but hitam milik pengganas di satu daripada anak sungai. 
Berhampiran lokasi itu, penulis menemui dua kenderaan jenis Perodua Kancil dan Ford Ranger tersadai dan dipenuhi kesan tembakan. Kenderaan itu dipercayai dicuri penceroboh militan dan diguna ketika menyerang pasukan keselamatan. 
Selain itu bau bangkai juga dapat dihidu, dipercayai daripada haiwan ternakan yang mati akibat kejadian itu. - Bernama


Khamis, 28 Mac 2013

'Awang Hitam' Paling Ramai Terbabit Penipuan

'Awang Hitam' marah selepas rakan dibelasah Rela mengganggu tukang cuci wanita. Foto: nurizspace

Awang Hitam dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana mengedar 22.159 kilogram (kg) kanabis. Foto: Sinar Harian

Awang Hitam ditangkap kerana cuba memukul pengawal keselamatan di Bandar Sunway. Foto: zamani84

Awang Hitam ditangkap kerana membuka perniagaan restoran yang tidak sah. Foto: mynewshub

Awang Hitam ditangkap kerana menyalahgunakan pas pelajar. Foto: Berita Harian

Awang Hitam terlibat dengan pergaduhan di Kondominium Venice Hill, Batu 9. Foto: nurizspace

Awang Hitam ditangkap kerana memperdaya ramai wanita melalui laman sosial


KUALA LUMPUR: Warga Nigeria merupakan rakyat asing paling ramai iaitu seramai 378 orang yang ditahan tahun lalu berkaitan pelbagai kesalahan jenayah penipuan komersil. 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata warga. 
Taiwan di tempat kedua paling tinggi iaitu seramai 175 orang, diikuti China dan Indonesia masing-masing seramai 154 dan 136 orang. 
"Seramai 1,796 warga asing dari 44 buah negara termasuk Afrika Selatan, Filipina, Pakistan, Bangladesh, India, Nepal, Thailand, Vietnam dan Myanmar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah komersil di negara ini yang kebanyakannya dilakukan tahun lalu. - myMetro

Bayar RM50 Untuk Jadi 'Tentera Sulu'

Kad pengenalan milik Komander Habib Musa A. Abdullah yang mati ditembak pasukan keselamatan Malaysia pada 7 Mac lalu.

Di sinilah Jamalul Kiram III tinggal. Beliau sebenarnya bukan orang kaya dan beliau tidak mempunyai angkatan tentera

Siapakah yang sebenarnya membiayai  'Tentera Sulu' yang dihantar menceroboh Lahad Datu ini?


SEMPORNA - Jamalul Kiram III dan ketua gerombolan pengganas Sulu, Azzumuddie Kiram mengarahkan orang-orang kanan mereka ke Sabah untuk menawarkan keahlian sebagai askar pengganas Sulu kepada penduduk tempatan beberapa tahun sebelum pencerobohan berlaku. 
Menurut sumber, borang keahlian tersebut telah diedar untuk diisi penduduk tempatan dan setiap ahli akan diberi sekeping kad sebagai bukti keahlian. 
Setiap keahlian dikenakan caj sebanyak RM50. 
"Wang tersebut telah digunakan oleh orang kanan Jamalul Kiram III untuk membuat kad keahlian kesultanan diraja Sulu, walhal kos asal kad itu tidak sampai RM5. 
"Baki duit tersebut kemudiannya akan dihantar terus kepada Jamalul Kiram III sebagai perbelanjaan dia di Filipina," katanya semalam. - Kosmo!