Sabtu, 30 Mac 2013

Lelaki Maut Selepas Rentung Separuh Badan

Patou sedih selepas membuat pengecaman mayat suaminya di kedai bateri kenderaan milik mereka. Foto: Sinar Harian

Mayat Hong Bin dibawa ke HTAA untuk bedah siasat. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas separuh badannya rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah kedai bateri kenderaan di Taman Indera Sempurna, di sini, pagi semalam. 
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemilik kedai, Leong Hong Bin, 28, ditemui maut dalam sebuah bilik di kedai terbabit oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang memadam kebakaran. 
Saksi kejadian, Zarin Mohd Taib, 35, berkata, dia ternampak asap keluar dari bahagian depan pintu kedai tersebut kira-kira jam 11 pagi. 
Menurutnya, dia kemudiannya memanggil beberapa rakan yang berada di kawasan berkenaan dan membuka pintu kedai itu. 
“Sebaik sahaja membuka pintu kedai, saya lihat api sudah marak namun kami tetap cuba memadamkannya namun gagal. 
“Saya terus menghubungi pihak bomba kerana api sukar dikawal. Waktu itu saya tidak tahu ada orang di dalam kedai berkenaan kerana tidak mendengar sebarang jeritan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 
Zarin berkata, mangsa kebiasaannya membuka kedainya pada awal pagi namun tidak berbuat demikian semalam. 
Isteri mangsa, Patou, 23, yang merupakan warga Laos berkata, suaminya keluar ke kedai kira-kira jam 9.30 pagi semalam. 
Katanya, kebiasaannya, suami bergilir-gilir menguruskan kedai itu bersama ibu bapanya namun sejak seminggu lalu mangsa bekerja sendirian kerana ibu bapanya melancong ke Vietnam. 
“Sepatutnya saya menemaninya ke kedai, tapi saya penat, jadi dia pergi ke kedai bersendirian,” kata ibu dua anak berusia 2 tahun dan 9 bulan itu. 
Sebelum itu, Patou dan adik perempuan mangsa diminta membuat pengecaman mayat Hong Bin. 
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.45 pagi sebelum dua jentera bergegas ke lokasi kejadian. 
“Pihak bomba dan penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak kira-kira 40 minit kemudian. 
“Hasil pemeriksaan, anggota bomba menemui mayat mangsa yang sudah rentung terbaring di atas lantai dalam pejabat premis berkenaan,” katanya. 
Anuar berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan bagi bedah siasat. 
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. 
Operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mat Lazim Jaafar bersama 10 anggota dan turut mendapat kerjasama anggota dari Balai Bomba Kuantan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.