Khamis, 14 Mac 2013

Ahli Perniagaan Ditembak Mati Di Stesen Minyak


Kesan tujuh das tembakan yang terdapat pada kereta mangsa. Foto: Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 34 tahun, mati ditembak dari jarak dekat dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sentul di sini, semalam. 
Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki itu datang ke stesen minyak tersebut untuk mengisi minyak. 
Beliau berkata, ketika rakan mangsa keluar berurusan di kaunter, dua lelaki membonceng motosikal mendekati kenderaan mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan dan memecut meninggalkan lokasi. 
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tujuh kesan tembakan pada kenderaan dipandu mangsa. 
“Dua lelaki yang membonceng motosikal memakai helmet dengan penutup muka penuh. 
“Motif kejadian dan identiti mangsa masih belum diketahui, namun siasatan peringkat awal sedang berjalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 
Sementara itu, seorang pekerja stesen minyak tersebut dikenali sebagai Salem, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas menjaga kaunter. 
Menurutnya, dia melihat dua lelaki menaiki motosikal berlegar-legar dalam kawasan stesen tersebut sebanyak dua pusingan.
“Sebaik sahaja kenderaan mangsa berhenti, seorang lelaki keluar dari kenderaan untuk membayar di kaunter dan ketika itu, dua lelaki bermotosikal itu menuju ke arah kenderaan mangsa. 
“Selepas mendengar beberapa das tembakan, kenderaan mangsa berundur dipercayai hilang kawalan,” katanya. 
Lokasi kejadian menjadi tumpuan orang awam apabila berlaku sedikit kekecohan daripada sekumpulan individu dipercayai keluarga mangsa yang gagal mengawal emosi. - Sinar Harian

Anggota Unit Forensik polis memeriksa kereta mangsa. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Jangan ambil gambar...nanti semua orang mati,” kata seorang lelaki memarahi petugas media yang merakam gambar seorang ahli perniagaan yang mati ditembak ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Sentul, Sentul, di sini, semalam. 
Lelaki terbabit dipercayai anggota keluarga mangsa gagal mengawal emosinya sebelum dia menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat bagi menghalang gambar mayat mangsa dikenali sebagai Sivaraja, 34, dirakam jurugambar. 
Selain lelaki itu, 50 anggota keluarga dan rakan mangsa memenuhi tempat kejadian, sekali gus menghalang petugas media membuat liputan. Malah, kawasan sekitar stesen minyak berkenaan juga dikerumuni orang ramai untuk melihat mayat mangsa dengan lebih dekat. 
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria bersama seorang rakannya yang juga lelaki warga asing berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak dalam kejadian jam 8 malam. 
“Ketika kejadian, mangsa menunggu dalam kereta manakala rakannya itu masuk dalam kaunter premis untuk membayar minyak. 
“Mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar berpenutup penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan tujuh das tembakan ke cermin depan,” katanya yang melawat tempat kejadian. 
Beliau berkata, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan. 
“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan sudah dirancang rapi oleh suspek terbabit,” katanya. - myMetro


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.