Sabtu, 9 Mac 2013

Khabar Dari Manila

Agbimuddin Kiram Masih Hidup
Abraham Idjirani bersama Jamalul Kiram III. Foto: aljazeera

Jacel Kiram. Foto: interaksyon

MANILA - Agbimuddin Kiram, yang dikenali sebagai Raja Muda Sulu, dilaporkan masih berada di Lahad Datu tetapi beliau bersama pengikutkan dipercayai berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan kerana sentiasa melarikan diri bagi mengelak daripada bertembung dengan pasukan keselamatan Malaysia. 
Jurucakap Jamalul Kiram III, Abraham Idjirani berkata, pengikut Agbimuddin berkumpul semula selepas diserang pada 1 Mac lalu. 
“Mereka sentiasa bergerak, tidak ada bot dan tiada juga pengangkutan lain. Mereka hanya berjalan kaki dan kelaparan,” kata Idjirani pada sidang media semalam. 
Dipetik Philippine Daily Inquirer, Idjirani menambah, beliau ada berhubung dengan Agbimuddin sekitar jam 2.30 petang semalam. 
Terdahulu, anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel Kiram memberitahu media yang bapa saudaranya itu masih selamat di Lahad Datu meskipun pihak polis dan tentera Malaysia terus-menerus menyasarkan kedudukan mereka. 
“Arahan untuk pengikut bapa saudara saya ialah bertahan dan perlu bersedia menghadapi serangan. Tetapi mesti bertahan, bukan melakukan sebarang serangan,” kata Jacel. 
Jacel turut menambah yang pihaknya berharap agak kerajaan Filipina sendiri campur tangan bagi menangani konflik berkenaan. 
Dua hari lalu menyaksikan sultan sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk berbincang dengan Presiden Aquino bagi menyelesaikan konflik di Sabah. 
“Dari awal lagi barisan kami sentiasa terbuka untuk berbincang secara terus dengan presiden tetapi hampa,” kata Jacel. - Sinar Harian

Filipina Siasat Penasihat Jamalul Kiram
Timbalan Pengarah Perisikan NBI, Reynaldo Esmeralda. Foto: gmanetwork.com


Biro Siasatan Negara (NBI) Filipina sudah memulakan siasatan kemungkinan wujud elemen 'konspirasi' di sebalik tindakan menceroboh Lahad Datu, Sabah melibatkan pengikut Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu. 
NBI memanggil pakar strategi politik dan Setiausaha Agung Majlis Hal Ehwal Filipina (COPA), Pastor "Boy" Saycon agar menghadap biro itu Selasa ini. 
Beliau difahamkan perintah itu telah ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Perisikan Perkhidmatan, Reynaldo Esmeralda dan dihantar oleh ejen NBI pada jam 4 petang semalam. 
Jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani berkata, ia merupakan permulaan tindakan keras oleh kerajaan ke atas Jamalul. 
“Saya bagaimanapun tidak mengetahui isi kandungan itu tetapi ia mungkin siasatan berkaitan dengan sokongan saya terhadap Sultan Jamalul Kiram III,” kata Saycon. 
“Saya berfikir yang kerajaan hanya mahu meletakkan konspirasi tanpa sebarang asas dan menyalahkan orang lain, bukannya mahu menyelesaikan krisis yang semakin meruncing di Sabah,” katanya dipetik lama web www.philstar.com. 
Saycon turut mengakui menjadi penasihat kepada Jamalul dalam membawa tuntutan mereka ke atas Sabah dan juga rayuan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 
Beliau juga menggambarkan dirinya sebagai penasihat mengenai hubungan luar, ekonomi dan kebudayaan Jamalul sejak 12 tahun lalu. 
Beliau sebelum ini pernah membuat penafian terlibat dalam tindakan pencerobohan pengikut Jamalul di Lahad Datu bulan lalu. - Sinar Harian

Seorang Lagi Dakwa Dirinya Sultan Sulu
Ramai yang mengaku Sultan Sulu. Ini pula ialah Sultan Sulu yang 'ditabalkan' di Kampung Likas, Kota Kinabalu pada 2.2.2011.

MANILA - Di sebalik kesahihan Jamalul Kiram III sebagai waris Kesultanan Sulu, masih ada lagi pihak yang menuntut gelaran Sultan Sulu walaupun setakat ini tiada sebarang bukti untuk mengesahkan perkara itu. 
Badaruddin D. Mohammed Bataraza mendakwa beliau sultan sebenar Sulu kerana merupakan anak kepada isteri pertama Sultan Jamalul Alam yang menandatangani perjanjian 1878 untuk memajak Sabah kepada British North Borneo Company. 
Menurut dokumen lengkap dihantar kepada Philippine Daily Inquirer, wakil Badaruddin pernah cuba mendapatkan pengiktirafan kerajaan Filipina sejak 25 Julai lalu. 
Pihaknya juga pernah menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon untuk mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Sulu sebenar. 
Jurucakap Badaruddin, Arturo Sampana berkata yang kononnya sultan yang sudah berusia 74 tahun itu masih lagi bersembunyi tetapi akan mendedahkan dirinya yang sebenar tidak lama lagi untuk bercerita mengenai sejarah dan susur galur keturunannya. 
Difahamkan, Badaruddin merupakan putera keempat dari lima orang anak Almarhum Puteri Aishah bersama Datu Mohammad Bataraza. 
Aishah pula merupakan puteri kepada Sharifah Zainab atau juga dikenali sebagai Puteri Indok, yang merupakan isteri kepada Sultan Badaruddin II yang memerintah Sulu dari tahun 1881 hingga 1884. 
Katanya, Badaruddin II merupakan pengganti kepada Sultan Jamalul Alam selepas meninggal dunia akibat diracun manakala ahli keluarganya yang lain termasuk Aishah berjaya menyembunyikan diri. 
Kata beliau, Jamalul Kiram III yang kini dikehendaki Malaysia merupakan keturunan isteri kedua Jamalul Alam. 
“Mengikut tertib Kesultanan Sulu, waris sah memegang tahta hanya dari keturunan isteri pertama sultan,” tambah beliau. 
Ujarnya lagi, Badaruddin dan keluarganya tinggal di Sabah pada tahun 1970-an dan kembali ke Filipina pada tahun 2009 tetapi kekal bersembunyi untuk menjamin keselamatan mereka sekeluarga. - Sinar Harian

Jamalalul Kiram III Kata Dia Rela Dipenjara

Jamalul Kiram kata dia bersedia dipenjara. Foto: taipeitimes.com


MANILA, Filipina - Lelaki yang mendakwa dirinya pewaris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III menegaskan, dia bersedia untuk dipenjarakan, menurut sebuah akhbar dalam talian semalam. 
Kenyataan itu dibuat Kiram III semasa dia melahirkan kesediaan untuk hadir di pejabat Biro Siasatan Nasional (NBI) di sini selepas mendapat perintah berbuat demikian. 
"Sebenarnya, saya telah menunggu untuk perintah ini ke atas saya. Jika mereka (pihak berkuasa) mahu saya masuk penjara, teruskan," kata Kiram III. 
"Saya sedia menjalani hukuman penjara," tambahnya. 
Menurutnya, dia bersedia untuk masuk penjara kerana mahu membuktikan bahawa tuntutan ke atas Sabah dibuat bukan kerana wang. 
Warga emas berusia 74 tahun yang menjalani rawatan dialisis dua kali seminggu itu sebaliknya berkata, dia menuntut hak daripada aspek sejarah dan moral untuk mengetuai pengikut-pengikutnya kembali ke tanah air mereka. 
"Tiada wang menjadi taruhan dalam isu ini. Apa yang penting ialah maruah dan kehormatan kami. Impian saya adalah untuk meninggalkan legasi untuk tanah air kami," jelas Kiram III. 
"Kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memiliki bukti dan hak untuk tinggal di sana (Sabah)," tambahnya. 
Malah, pemimpin tersebut percaya Sabah adalah sebahagian daripada tanah pusaka mereka selepas menerima kawasan di Borneo Utara itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu Kesultanan Brunei menewaskan satu pemberontakan pada 1704. 
Kelmarin, jurucakap Kiram III, Abraham Idrijani mengumumkan bahawa NBI memerintahkan pemimpin itu supaya hadir di pejabat agensi tersebut lusa. - Agensi / Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.