Isnin, 11 Mac 2013

Maut Berasingan Di Jempol dan Kota Tinggi

Bapa Dan Bayi Maut Kemalangan
Kereta Proton Wira (kiri) berlanggar dengan lori satu tan (kanan). Foto: Sinar Harian

JEMPOL - Seorang bayi lelaki tujuh bulan bersama bapanya maut setelah kenderaan yang dinaiki dirempuh sebuah lori satu tan di Jalan Besar Felda Palong Satu, dekat sini dalam kejadian kira-kira 8.15 malam kelmarin. 
Dalam kejadian itu, kereta Proton Wira dinaiki Nor Shahrizan Nordin, 32, bersama isteri, Noraini Atan, 27, dua anak, Muhammad Danish Irfan, 4, Muhammad Danish Farhan, 7 bulan; ayah mangsa, Nordin Sidek, 59 dan isteri, Sawiyah Tompang, 59, dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Palong Lapan. 
Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, sewaktu tiba di tempat kejadian, sebuah lori satu tan datang dari arah bertentangan dan dipercayai hilang kawalan
Kereta Proton Wira (kiri) remuk teruk dan meragut dua nyawa. Foto: myMetro
Menurutnya, lori itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa menyebabkan kereta remuk teruk di bahagian hadapan. 
“Muhammad Danish meninggal dunia ketika tiba di Klinik Kesihatan Gemas manakala ayahnya, Nor Shahrizan maut pada 2.45 pagi tadi (semalam) ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuah Najihah (HTAN), Kuala Pilah. 
“Nordin yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban manakala ahli keluarga lain menerima rawatan di Hospital Segamat. Pemandu dan kelindan lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam. 
Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Palong Lapan, semalam. - Sinar Harian


Tak Sempat Tunaikan Haji

Ahli keluarga membawa keluar jenazah Masiam yang terbunuh akibat kemalangan daripada Unit Forensik Hospital Kota Tinggi semalam. 

KOTA TINGGI - Hajat seorang wanita warga emas untuk mengerjakan ibadah haji bersama suaminya pada hujung tahun ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 22 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, pagi semalam. 
Anak bongsu mangsa, Mohd Arif Alimen, 20, berkata, ibunya, Masiam Sadir, 62, bersama bapanya, Alimen Alias, 72, keluar dari rumah mereka di Felda Kledang, di sini, kira-kira jam 7.20 pagi untuk ke Bandar Penawar bagi menghadiri kursus haji. 
Menurutnya, mereka dijadualkan mengerjakan ibadah tersebut pada hujung tahun ini. 
Jelasnya, tidak sampai setengah jam kedua orang tuanya itu keluar dari rumah, jiran memberitahu mereka terlibat dalam kemalangan dan dia bergegas ke lokasi. 
“Waktu itu, ayah masih boleh bercakap dan sempat mengucap dua kalimah syahadah manakala mak pula saya lihat sudah tidak mampu bersuara,” katanya kepada Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam. 
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal Suzuki yang ditunggang suami mangsa, bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Kota Tinggi. 
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta yang menghala ke arah Sungai Rengit dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bergesel motosikal mangsa. 
“Pembonceng motosikal meninggal dunia di HKT manakala penunggangnya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail,” katanya. 
Menurutnya, jenazah mangsa dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Felda Sening petang semalam, dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.