Ahad, 17 Mac 2013

Rupanya Lembu Boleh Ramal Cuaca

Mengikut Universiti Arizona, lembu akan berdiri lebih lama bila keadaan panas. Foto: teguhtriatmojo

Lembu akan duduk apabila hari hampir hujan. Foto: ahbengkoboi

WASHINGTON - Tanggapan bahawa lembu akan duduk apabila hari hampir hujan dan berdiri lebih lama bila keadaan panas, membuktikan ada kaitan rapat antara tindak tanduk haiwan itu dan cuaca, menurut kajian terbaru saintis. 
Kajian itu memberi kredibiliti kepada cerita rakyat Britain yang mengisahkan ‘sekawan haiwan’ yang berbaring adalah petanda hujan akan turun. 
Saintis haiwan secara khusus mengkaji suhu badan ternakan lembu di barat Amerika Syarikat kerana apabila lembu terlalu panas, ia menjejaskan pengeluaran susu. 
Kajian yang dilakukan oleh Universiti Arizona dan Northwest Missouri, mendapati lembu berdiri lebih lama dalam keadaan panas kerana ia membantu menurunkan suhu badan. 
Dengan mendedahkan lebih banyak anggota badan, ia membolehkan haba tubuh haiwan itu terlerai di udara. Apabila lembu terlalu panas, ia lebih banyak membuang air kecil, kurang makan dan kurang mengeluarkan susu. 
Lembu duduk apabila mahu memelihara haba dan tenaga dan penternak terutama dalam cuaca panas perlu cuba menggalakkan ternakan mereka lebih banyak duduk. 
Namun itu juga mungkin menjelaskan mengapa cerita lama itu benar iaitu lembu duduk apabila hujan akan turun dalam cuaca sederhana. 
Seperti diketahui peminat cuaca, hujan selalunya didahului oleh tekanan rendah yang mudah dikesan dan juga petanda keadaan akan menjadi lebih sejuk. - Agensi / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.