Isnin, 25 Mac 2013

Harimau Dahan Makan 10 Kambing Dua Hari

Harimau dahan ini  memakan 10 ekor kambing dalam tempoh dua hari berturut-turut. Foto: myMetro

Penduduk setempat mengambil peluang melihat harimau dahan yang berada dalam perangkap PERHILITAN. Foto: myMetro

Harimau dahan ini dihantar ke Taman Negara untuk memulakan hidup baru. Foto: Sinar Harian

GUA MUSANG - Seekor harimau dahan jantan yang dikatakan membaham 10 ekor kambing milik seorang peneroka Tanah Rancangan Felda Perasu, dekat sini, sejak Selasa lalu berjaya ditangkap awal pagi semalam. 
Harimau itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersebelahan kandang kambing milik peneroka terbabit dalam kawasan ladang sawit tanah rancangan itu sejak petang Rabu lalu. 
Kejayaan menangkap seekor harimau itu disedari peneroka terbabit yang juga penternak kambing, Mat Zain Deraman, 53, ketika memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 8 pagi untuk melihat perangkap dipasang itu. 
Katanya, setiap pagi dia sering melihat perangkap berkenaan dengan mengumpan dua bangkai kambing yang mati di baham harimau terbabit. 
“Saya percaya harimau memasuki perangkap yang dipasang itu antara jam 3 hingga 6 pagi tadi (semalam) kerana petang semalam (kelmarin) saya ada pergi melihat perangkap itu tetapi kosong,” katanya ketika ditemui di ladangnya pagi ini. 
Mat Zain mengakui kerugian RM10,000 apabila 10 ekor kambing yang diternaknya di kawasan ladang berkenaan di baham harimau dahan itu pada dua malam berturut-turut termasuk malam Selasa dan Rabu lepas. 
Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia segera meminta Jabatan Perhilitan Kelantan memasang perangkap kerana bimbang lima ekor kambing lagi akan turut dibaham jika tidak ditangkap secepat mungkin. 
“Mujurlah harimau itu berjaya ditangkap jika tidak mungkin saya akan menanggung kerugian lagi kerana masih ada lima lagi kambing yang berada dalam kawasan ladang berkenaan,” katanya. 
Katanya, kini dipercayai ada dua ekor lagi harimau yang berkeliaran dalam kawasan ladang sawit itu termasuk pasangan harimau dahan itu dan seekor lagi harimau kumbang. 
“Peneroka bimbang untuk ke ladang bagi menjalankan pelbagai pekerjaan selagi dua ekor harimau itu tidak dapat ditangkap termasuk harimau kumbang yang pernah mencakar seorang buruh ladang asing warga Indonesia pertengahan bulan lalu hingga parah,” katanya. 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani ketika dihubungi mengesahkan kejayaan pihaknya menangkap harimau dahan atau clouded leopard menerusi perangkap yang dipasang. 
Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mengesahkan haiwan yang ditangkap itu pernah membaham kambing peneroka tanah rancangan terbabit kerana kebiasaan harimau dahan itu tidak berkelakuan demikian. 
“Harimau dahan itu bersaiz kecil sahaja dan sentiasa aktif. Saya tidak boleh mengesahkan harimau itu membaham kambing peneroka tersebut atau tidak. 
“Harimau dahan ini sudah dihantar ke Taman Negara dan kami ingin memaklumkan, jika terdapat kesan-kesan baru, peneroka atau penduduk kampung perlu segera memaklumkan kepada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam. 
Beliau berkata, perangkap baru akan dipasang sekiranya masih terdapat gangguan harimau di kawasan berkenaan. 
“Jika gangguan harimau muncul lagi, penduduk kampung perlu segera memaklumkan kepada Perhilitan dan mereka diminta tidak menembak atau bertindak sendiri ke atasnya,” katanya. - Sinar Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.