Sabtu, 23 Mac 2013

Termakan Coklat Berulat

Hati-hati ketika membeli coklat, jangan terbeli coklat yang berulat (gambar hiasan). Foto: ucc.ml.my
Susu kultur segar memang bagus tapi yang sudah lupus membahayakan kesihatan (gambar hiasan). Foto: sususejat.com


KOTA BHARU - Keseronokan sebuah keluarga berhujung minggu dengan menikmati coklat yang dibeli dari sebuah pasar raya, di sini bertukar pengalaman meloyakan apabila mereka termakan beberapa ekor ulat. 
Lebih menjijikkan, ulat itu ditemui masih hidup di dalam coklat berjenama berkenaan. 
Ulat pada coklat dan anak muntah minum susu yang rosak.
Kakitangan sebuah pertubuhan kebajikan yang hanya mahu dikenali sebagai Su, 35, berkata, beliau dan anaknya sempat makan kepingan pertama coklat itu sebelum menyedari coklat berkenaan berulat. 
“Mulanya saya ternampak garis-garis pada kepingan coklat itu, saya ingat biasa sahaja dan saya makan. Tapi apabila berasa pelik, saya koyakkan semua kertas pembungkus dan terkejut mendapati banyak ulat di dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 
Menurutnya, menyedari coklat yang dimakan hanya akan luput lima bulan lagi iaitu pada Ogos 2013, beliau kemudian membawa semula coklat tersebut ke pasar raya berkenaan. 
“Mereka bersetuju untuk menukarkan coklat itu dengan makanan lain. Namun, saya kesal apabila mereka hanya memberi alasan bahawa coklat itu berulat sebab dari pertukaran suhu semasa proses penghantaran,” katanya. 
Tidak cukup dengan coklat berulat, susu kultur yang digantikan dengan coklat itu juga rosak apabila anaknya yang berusia tiga tahun disahkan doktor mengalami keracunan makanan selepas susu itu diminum. 
“Walaupun susu itu hanya akan luput pada 29 Mac 2013, anak saya muntah serta-merta menyebabkan saya membawanya ke klinik. 
“Semua ini disahkan doktor dan saya begitu kesal dan kecewa dengan kecuaian pihak pasar raya berkenaan dan akan membuat laporan kepada pihak berwajib,” katanya. 
Penolong Pegawai Tadbir Unit Aduan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Rozihan Abd Ghani berkata, sebarang masalah pengguna yang bersabit dengan masalah makanan seperti harga mahal dan luput tarikh (termasuk berulat) boleh dirujuk di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu. 
“Pengguna boleh membawa makanan terbabit ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu untuk siasatan dan tindakan seterusnya,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.