Sabtu, 27 April 2013

Bahana Berhutang RM500 Dengan Ah Long

Zainuddin (tengah) menunjukkan antara senjata yang digunakan ah long untuk menakut-nakutkan mangsa. Foto: myMetro


JOHOR BAHRU - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai ah long dari rumahnya di sebuah taman perumahan di sini, semalam. 
Insiden itu ekoran suaminya dipercayai berhutang sebanyak RM500 dengan ah long terbabit dan gagal melunaskan semula pinjaman dibuat. 
Bagaimanapun, kekuatan memori suri rumah berusia 20 tahun itu mengingati nombor pendaftaran dan jenis kenderaan kumpulan penculik serta memaklumkan kepada suaminya berjaya membantu polis memberkas suspek. 
Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya mengenai kejadian itu, wanita berkenaan akhirnya ditemui selamat di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah, Nusajaya pada 6.45 petang, selepas dua jam diculik. 
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sejurus menerima laporan daripada suami mangsa termasuk maklumat mengenai kereta digunakan, pihaknya mengeluarkan arahan mengesan suspek. 
“Polis turut menemui beberapa senjata digunakan dipercayai untuk menakutkan mangsa seperti rotan, kayu, besi dan buku lima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini. 
Beliau berkata, mangsa turut memaklumkan suspek berusia antara 23 hingga 47 tahun itu ada mengugut membawanya lari ke Kuala Lumpur jika suaminya gagal membayar hutang tersebut. 
Katanya, semua suspek ditahan sementara di lokap polis IPD Johor Bahru Selatan sebelum mengemukakan penahanan reman kepada mahkamah untuk siasatan lanjut. 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.