Jumaat, 12 April 2013

Barang Kemas RM50,000 Hilang Dari Simpanan Polis


Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang wanita hari ini membuat laporan polis selepas mendapati barangan kemas bernilai lebih RM50,000 milik keluarganya yang dijadikan bahan bukti dalam kes pembunuhan ibunya pada 1999 hilang dalam simpanan polis. 
Tuan Rozita Tuan Kechil, 46, berkata barangan kemas itu berupa seutas rantai leher bermutiara, sepasang subang, seutas loket, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang didakwanya hilang selepas disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. 
Tuan Rozita telah membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam pada 15 September lalu serta menghubungi Pegawai Penyiasat kes berkenaan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini. 
"Saya dimaklumkan pegawai terbabit telah berpindah ke tempat lain, saya gagal menghubunginya lagi. Saya hanya mahu mendapatkan semula barangan kemas milik arwah ibu saya yang dimaklumkan kepada saya yang telah hilang," katanya dengan ditemani peguamnya Mohd Fadzli Mohd Ramly ketika membuat laporan di Balai Polis Kuantan hari ini. 
"Kes sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana itu merupakan barangan kes dalam simpanan polis dan tidak sepatutnya hilang apabila dituntut semula," katanya. 
Mohd Fadzli pula berkata, kehilangan harta pusaka milik keluarga mangsa menimbulkan persoalan sama ada peti besi yang menyimpan barang kemas itu diceroboh atau sebaliknya namun berharap polis dapat menjalankan siasatan semula dengan teliti dan telus. 
"Kami berharap kes ini dapat diselasaikan dengan segera dan jika tiada apa-apa maklum balas diterima, kami tidak menolak kemungkinan akan memfailkan tuntutan sivil di mahkamah bagi memastikan keluarga mangsa mendapatkan semula hak mereka,” katanya. 
Ibu Tuan Rozita, Nik Khazanah Wan Yaakob, 50, seorang peniaga barang kemas ditemui rentung dalam van miliknya selepas dibakar tiga penagih di Kampung Kempadang di sini pada 4 Jun 1999.
Kesemua mereka kemudiannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2001. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.