Selasa, 30 April 2013

Bimbang Rumah Terlibat Tanah Runtuh

Ramlah bimbang kediamannya musnah akibat tebing sungai kini hanya 50 meter dari rumahnya.

KUANTAN – “Apabila cuaca gelap dan ada tanda hujan nak turun hati mula gelisah, bimbang berlaku lagi runtuhan tebing sungai yang semakin hampir dengan bahagian depan rumah." 
Demikian luahan penduduk Kampung Cherok Paloh, dekat sini, Ramlah Abdullah, 76, yang berhadapan dengan masalah tanah runtuh yang serius lebih-lebih lagi selepas musim tengkujuh dan kejadian hujan lebat serta banjir melanda hampir seluruh daerah ini, Disember lalu. 
Menurutnya, kejadian tanah runtuh berlaku sejak dua tahun lalu kini semakin hampir dengan rumahnya. 
"Rumah saya kini terletak hanya 50 meter dari tebing yang runtuh sebelum ini. 
“Saya sudah tinggal di kawasan ini sejak lahir dan ini merupakan rumah ketiga yang terpaksa dibina untuk menyelamatkan diri daripada bencana hakisan," katanya. 
Kata Ramlah, sebelum ini, dua buah rumahnya yang jarak kira-kira 200 meter dari situ sudah jatuh ke dalam air. 
“Tanah di sini semakin mudah mengalami runtuhan kerana menjadi laluan air yang merupakan pertembungan antara air sungai dan laut,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam. 
Ramlah berkata, kawasan tanahnya berkeluasan kira-kira 1.2 hektar namun kini hanya tinggal tanah lot rumah sahaja yang didiami. 
“Saya sangat bimbang kalau-kalau tanah ini juga akan jatuh ke laut memandangkan daripada seluas-luasnya tanah pusaka arwah ayah yang kami ada, hanya tapak rumah ini sahaja yang tinggal," katanya. 
Sekiranya tanah tapak rumah itu juga runtuh, Ramlah buntu tidak tahu ke mana lagi hendak tinggal. 
"Mungkin selepas ini kami terpaksa pula menyewa," katanya. 
Dalam pada itu, katanya, sebelum ini sudah ramai pihak yang datang melihat kawasan runtuhan untuk diambil tindakan lanjut namun sehingga sekarang tidak ada perubahan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.