Selasa, 2 April 2013

Kedai Runcit Terbakar Kerugian RM300 Ribu

Beginilah keadaan kedai runcit milik Ng Kau Tee yang musnah kerana kebakaran pada hari Ahad. Foto: myMetro

Para pekerja sedang membersihkan kedai selepas kebakaran. Foto: myMetro


KAPAR - “Tiada kata yang mampu saya ungkapkan selepas melihat kedai runcit yang diusahakan bersama keluarga sejak enam tahun lalu hangus dijilat api. Walaupun terpaksa menanggung kerugian RM300,000, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” kata Ng Kau Tee mengenai kejadian kebakaran kedai runcitnya di Batu 10, Pekan Kapar, di sini, awal pagi semalam. 
Dipercayai kejadian berlaku jam 2.50 pagi itu, tujuh rumah kedai masing-masing dua kedai runcit manakala sebuah kedai barangan terpakai, bengkel motosikal, kedai gunting rambut, kedai pakaian dan sebuah kedai kosong musnah. 
Kerugian dialami semua pekedai terbabit mencecah RM1 juta berikutan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dalam kedai masing-masing. 
Menurut Ng, 65, dia mengetahui kedai runcitnya yang disewanya itu terbakar jam 3 pagi selepas dimaklumkan rakannya yang melalui jalan berkenaan ketika kejadian. 
Katanya, sebaik tiba, dia hanya mampu melihat kedainya sudah terbakar dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang berikutan api marak. 
“Barangan dalam kedai tidak dapat diselamatkan termasuk stok barangan seperti beras dan minyak yang baru sampai dihantar pengedar Jumaat lalu dan semuanya dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit. “Saya belum terfikir untuk mencari lokasi kedai baru kerana mahu membersihkan kedai runcit ini terlebih dulu kerana barangan yang hangus perlu dibuang supaya memudahkan pemilik membaiki kerosakan kedai berkenaan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam. 
Tinjauan Harian Metro ke tempat kejadian semalam mendapati ada pemilik kedai membersihkan premis masing-masing. 
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.55 pagi dan jentera pertama tiba di tempat kejadian jam 3.10 pagi. 
Beliau berkata, dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, BBP Sungai Pinang dan BBP Kota Raja dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran. 
“Bomba dapat mengawal sepenuhnya kebakaran jam 4.10 pagi dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan. 
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan pasukan forensik bomba dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya. Operasi memadam kebakaran diketuai Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Zaidi Safuwan dibantu 29 anggota. Pengarah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Jabatan Perdana Menteri D Ravindran ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya melalui Jabatan Perdana Menteri akan menyalurkan bantuan kepada semua pekedai terbabit dalam kebakaran itu. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.