Rabu, 3 April 2013

Meninggal Dunia Sebelum Sempat Terima Ijazah

Keadaan kereta Perodua Viva yang terbabit dengan kemalangan. Foto: Sinar Harian

KIJAL – Dua remaja lelaki termasuk mahasiswa cemerlang Kolej Universiti Tati (Tatiuc), maut dalam dua nahas berasingan yang berlaku dalam tempoh 22 jam, membabitkan empat kenderaan dan sebuah bas ekspres membawa seramai 11 penumpang di Teluk Kalong, dekat sini. 
Dalam kejadian di simpang tiga ke Taman Seri Kalongan, Teluk Kalong, kira-kira jam 7 petang, Sabtu lalu, penuntut tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Pembuatan, Muhammad Fadzlan Ramli, 23, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta jenis Perodua Viva.
Motosikal yang ditunggang Muhammad Fadzlan, 23, rosak teruk di bahagian depan selepas dirempuh Perodua Viva. Foto: Sinar Harian
Nahas berlaku kira-kira 400 meter dari pintu pagar utama kampus induk Tatiuc dan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) Tatiuc menuju ke arah Kuala Terengganu. 
Mangsa yang juga anak sulung daripada enam beradik sebelum itu menyiapkan projek acuan plastik bagi projek subjek ‘workshop’ di ITC. 
Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa dipercayai dirempuh Perodua Viva yang dinaiki empat pemuda dari arah bertentangan yang ingin masuk ke simpang kawasan taman. 
Lebih menyedihkan, mangsa tidak sempat menggenggam segulung ijazah kerana pengajiannya hanya berbaki dua minggu sahaja sebelum tamat pengajian. 
Arwah mahu bawa balik motosikal 
DALAM pada itu, bapa mangsa, Ramli Abdullah, 51, tidak menyangka hasrat arwah anaknya untuk membawa pulang motosikal ke rumah mereka di Paka, Dungun bertukar menjadi peristiwa duka. 
“Arwah janji dengan saya untuk balik hantar motosikal pada waktu petang. Katanya, dia kurang selesa bawa motosikal, lagipun sementara tunggu tamat belajar, dia mahu tumpang kereta rakannya ke kuliah. 
“Tapi kira-kira jam 7.30 petang semasa saya sedang menunggu arwah tiba di rumah, ada orang hubungi saya dan beritahu tragedi menimpanya,” kata Ramli ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman. 
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada 24 Mac lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap. 
“Biasanya setiap Jumaat dan Sabtu arwah akan pulang ke rumah tetapi minggu ini dia tidak pulang kerana siapkan projeknya,” katanya. 
Pada semester pengajian lalu Muhammad Fadzlan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan merupakan salah seorang penuntut yang disasarkan mendapat Anugerah Dekan. 
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman dan jenazah kemudiannya dikebumikan din Tanah Perkuburan Limbong, Dungun kira-kira jam 2 pagi. 
Kenderaan terbabas di laluan bertentangan 
SEMENTARA itu, dalam nahas berasingan di Kilometer 140.5, Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Mohd Sakhrullah Kamaludin, 19, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Kemaman pada jam 9.59 malam, selepas pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandunya merempuh sebuah bas ekspres di laluan bertentangan. 
Pacuan empat roda yang dipandu oleh Mohd Sakhrullah Kamaludin, 19, terpelosok bawah bas ekspress. Foto: Sinar Harian
Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa yang beralamat di Rumah Murah Kemasik, dipercayai mengantuk menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terperosok di hadapan bas terbabit yang dinaiki 11 penumpang. 
Pemandu bas, Asrul Ezuan Abd Malik, 30, berkata, dalam jarak kira-kira lima meter dia melihat pacuan empat roda itu masuk ke laluannya menyebabkan dia hanya sempat mengelak sedikit. 
“Waktu lihat pacuan empat roda itu melencong masuk ke laluan kami, saya dan penumpang hanya mampu jerit ‘Allahu Akbar’ kerana terlalu terkejut. 
“Dalam jarak yang sangat dekat ini, saya hanya mampu mengelak sedikit dan menekan brek kerana bimbang bas masuk cerun," katanya sambil meluahkan rasa syukur kerana semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk dirinya. 
Bas ekspres berkenaan berlepas dari Kuantan kira-kira jam 2.15 dan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu. 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman selain patah tangan dan kaki. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.